Sunday, November 2, 2014

(Fragmen) Tak Cinta Tak Apa - Bab 9

ISLAH menyusuri lorong menuju ke dapur. Tekak yang terasa kering perlu dibasahkan dengan air sejuk. Jarum jam sudah menunjukkan pukul 12.05 malam. Islah masih tidak dapat melelapkan matanya.
Islah masih teringat dengan kata-kata abahnya sewaktu mereka berdua berbicara di anjung rumah selepas makan malam tadi. Masakan kampung ikan patin gulai tempoyak membuka selera Islah setelah kepenatan meronda di sekeliling ladang dengan Mikael dan Hisyam sepetang. Permintaan abah terlalu berat buat Islah. Sehingga ke waktu ini, masakan Mak Cik Kamariah tidak dapat menawarkan gelisah Islah terhadap permintaan abahnya tadi.
Wajah sayu abah dan nada suara abah masih terngiang-ngiang di telinga Islah.
Islah mengambil tempat di belakang abahnya yang sedang duduk, ralit menatap bintang dan bulan di langit.
“Is ibarat bulan. Bintang pula adalah apa yang Is miliki sekarang. Tanpa bintang, bulan tidak akan secantik yang kita lihat sekarang.” Islah masih ingat dengan kata-kata ibu suatu ketika dulu.
“Kalau Is bulan, bintang adalah apa yang Is punya sekarang, habis... macam mana dengan abah dan ibu?” Islah mendongak membalas renungan lembut ibu.
“Kami berdua tentunya mentari.” Ibu mengusap lembut dengan penuh kasih sayang rambut Islah. Mata mereka berdua menerkam ke arah bulan yang menyinar penuh di langit, menerangi malam yang kian pekat hitamnya.
“Tanpa mentari... bulan tidak akan bersinar secantik begini, kan ibu?” Islah menambah. Dia masih teringat akan matapelajaran Sains di sekolah. Bulan mendapat cahaya daripada mentari. Terangnya bulan kerana mentari. Itu yang dia pasti.
Ya, dia adalah bulan yang sentiasa memerlukan mentari untuk menyinari malam hari.
Ah... memori bersama ibu tidak pernah luput dari ingatannya. Ke mana pergi, pasti mengingatkan dia akan ibu. Ibunya terlalu hangat dengan kasih sayang. Perginya ibu tiada pengganti.
Islah kemudian melirik ke arah Mikael dan Hisyam bagi meredakan perasaannya. Mereka leka menonton televisyen selepas masing-masing kekenyangan bagai ikan buntal setelah menikmati hidangan ala kampung hasil air tangan Mak Cik Kamariah. Mereka berdua tidak turut sama di anjung. Mungkin masing-masing ingin memberi peluang buat dia dan abahnya untuk berbual panjang. Membuka kotak memori lama dan merungkai kembali kisah dulu.
“Lima tahun Is bawa diri lepas apa yang abah buat pada Is dulu.” Abah memulakan bicara setelah mereka berdua mengambil angin malam di anjung rumah.
“Abah...” Perkataan abah disebut panjang, lembut dan bernada.
Islah sebolehnya mahu abah menerima kepulangannya dengan hati terbuka. Dia tidak mahu lagi mengenang kisah lama. Mengingati apa yang telah berlaku dulu bagaikan merobek seluruh urat sarafnya. Perasaannya pasti akan tercedera teruk kembali.
“Kita buka buku baru...” pinta Islah. Jemarinya melekap kemas di atas bahu abahnya. Kemudian, bahu lelaki itu dipeluknya erat dari arah belakang.
Bau abah masih seperti dulu. Sudah sekian lama Islah tidak memeluk bahu abahnya. Abah masih hangat seperti dulu. Namun, kasih abah masih seperti dulu lagikah? Islah baru saja tiba di sini. Dia masih perlu memerhati dan mengkaji. Sedangkan pasir di pantai berubah, inikan pula manusia.
Islah tidak mahu terus curiga. Kekecewaan dahulu menghambat Islah menjadi seorang yang berhati-hati. Tetapi abah, dia darah daging Islah. Islah jadi keliru...
“Is maafkan abah?”
Islah mengangguk mengiakan pertanyaan abahnya. Sudah sekian lama Islah maafkan abahnya. Cuma, dia tidak dapat melupakan apa yang telah abahnya lakukan pada dia dahulu. Semuanya akan lenyap dari ingatan. Ia akan memakan masa.
“Kita lupakan kisah lalu. Yang penting, Is dah balik untuk lengkapkan hidup abah, lengkapkan keluarga kita. Abah, Is dan Zam.” Ayat-ayat itu terbit dari bibir Islah jujur dan penuh harapan.
Abah kelihatan mengangguk lega. Hatinya bagaikan tenang menyambut kepulangan Islah di rumah ini.
“Macam mana dengan Ros?” Sekian lama abah membisu, abah bersuara kembali. Abah seakan cuba meneka perasaan dan rahsia hati Islah terhadap ibu tirinya.
Tekaan abah bagaikan menjentik telinga Islah yang sedang berkhayal di dalam dunia yang indah. Melihat abah tenang begini, Islah jadi tidak keruan. Bagaikan mendengar lagu berentak gembira sedangkan hati dilanda gelisah.
“Maksud abah?” Islah pura-pura tidak mengerti. Sebolehnya dia mahu mengelak dari berbicara tentang Rosina, perempuan yang sentiasa menjadikan dia musuhnya sekaligus ibu tirinya.
“Macam mana dengan Ros? Bukan ke dia sebahagian daripada keluarga kita jugak?” Latifi menambah dan menjawab pertanyaan Islah. Dia sudah pun tahu apa yang akan Islah jawab. Tetapi, dia sendiri mahu mendengarnya.
Abah mahu mengujinya. Islah yakin.
“Kita bincang perkara lain, boleh abah?” pinta Islah, cuba mengelak.
Tiba-tiba sahaja perbualan mereka yang baru saja mula berbicara mengenai Rosina pula. Entah Islah silap di mana sewaktu mereka memulakan perbualan malam itu. Dia belum bersedia mendengar cerita atau bercerita tentang Rosina. Segala perkara yang berkaitan dengan Rosina terasa pahit buat Islah. Dia tidak mengharapkan kehadiran Rosina untuk memperok-perandakan hidupnya sejak di bangku sekolah lagi. Namun, apakan daya...
“Abah ada satu permintaan.” Abah berhenti di separuh jalan. Kemudian, dia menyambung.
“Kalau abah minta, boleh Is tunaikan?”
Islah sudah beralih tempat. Pelukannya di bahu abah dilonggarkan. Dia merapati pagar kayu anjung itu lalu mendongak merenung langit. Malam ini bintang bertaburan di langit. Mengingatkan Islah tentang Iszam, adiknya.
Dulu, kala abah lebih suka mengurung diri di dalam bilik, Islah dan Iszam akan berdiri di anjung rumah ini. Mereka berdua akan mengira bintang di langit. Mencari-cari tahi bintang dan menyatakan hajat di dalam hati.
Islah akui dia terikut-ikut dengan cerita yang ditontonnya di television.
Setiap kali melihat tahi bintang, Islah pasti berdoa semoga ibu sentiasa bahagia di alam sana. Apabila ditanya adiknya itu akan menyatakan dia berhajat supaya abah mengambil berat akan dirinya. Kasihan Iszam, walaupun berusia tujuh tahun, Iszam bagaikan mengerti akan perilaku abah.
Kadang-kadang, ketika hujan turun Islah tidak akan terlepas berdoa. Dia ada terbaca di dalam buku bahawa berdoa ketika hujan, doa tersebut akan termakbul. Begitu juga berdoa sebelum berbuka puasa dan doa orang yang teraniaya.
Sekilas, bibir Islah mengukir senyuman. Zam, kakak akan satukan keluarga kita kembali. Abah akan kembali seperti arwah ibu masih ada. Zam akan merasa hangatnya kasih sayang abah. Kakak janji!
“Apa dia, abah? Kalau benda tu tak memaksa Is, Is akan tunaikan,” jawab Islah. Diakhir kata-kata bibirnya mengukir senyuman. Yakin bertaut dengan rasa teruja.
‘Mintalah apa saja, abah. Is akan berusaha bahagiakan abah.’ Desis hati kecil Islah.
“Boleh Is ambil alih tugas abah uruskan ladang? Abah nak berehat. Abah dah penat.” Latifi tenang mengungkapkan permintaannya.
Islah pula yang tergamam. Tubuhnya kaku berdiri di sisi pagar sambil tangan kanannya menggenggam erat tiang anjung itu.
Islah kembali ke kampung halaman cuma ingin membantu abah apa yang patut. Dia tidak menyangka abahnya akan mengajukan permintaan sebegini. Berat tugasnya mengendalikan ladang itu. Mengurus ladang, dia juga perlu menguruskan pekerja-pekerja di ladang itu.
Dia ibarat pengurus yang perlu menguruskan ladang dan pekerja yang berumah seramai 250 orang. Itu tidak termasuk dengan kegiatan pertanian, kebajikan pekerja dan keluarga, aktiviti sampingan serta menjaga keharmonian masyarakat setempat. Sungguh berat! Dan Islah tidak pernah belajar apa-apa tentang pengurusan ladang. Dia hanya pandai mengendalikan mesin, bukannya tanah ladang.
“Is tak layak, abah.” Tergagap-gagap Islah bersuara. Islah kehilangan punca untuk menolak. Dia juga yang beriya bersetuju tadi. Dia tidak mahu mengecewakan abahnya. Perasaannya berbolak-balik. Ditelan mati emak, diluah pula mati bapa.
“Is anak abah. Ladang tu milik Is.” Latifi mula mengeluarkan hujah. Wajahnya tenang saja. Cuma, dia sentiasa nampak letih.
Islah diam. Peluh kecil mula membasahi dahi. Dia akhirnya mengambil tempat berhadapan dengan abahnya. Dia duduk dan menghirup kopi ais yang dibuatnya sendiri tadi bagi menenangkan perasaan yang bergelora.
Permintaan abahnya sungguh berat. Bekerja sebagai jurutera cari gali tidaklah seberat tugas yang bakal dipikulnya nanti. Dia akan menjadi nakhoda kapal. Dialah yang akan menentukan arah tujuan anak-anak kapal. Jika tersilap langkah, semuanya tergalas di atas bahunya.
Sanggupkah Islah? Dia bukanlah sehebat Kapten Jack Sparrow di dalam cerita Pirates of The Carribean. Lelaki itu bijak mengatur strategi. Dia?
“Abah boleh menggaji mana-mana pengurus ladang untuk menguruskan ladang kita.” Islah mula mendapat akal.
“Abah boleh menggaji mereka lebih daripada apa yang mereka dapat sekarang.” Islah menambah. Dia meluahkan pendapatnya. Dia belum bersedia memikul tanggungjawab seberat itu. Sebolehnya, dia perlu mengelak. Apa akan jadi nanti jika dia yang mengambil alih? Musnah?
“Abah mahu Is yang uruskan. Tanah ini hasil titik peluh abah dan ibu. Kalau tak diwariskan kepada anak-anak, pada siapa lagi, Is?” Abah membalas tenang. Setenang wajah abah kini.
Jauh di sudut hati Latifi, dia berharap benar Islah akan bersetuju membantunya di ladang. Dengan cara itu sajalah dia dapat pastikan Islah tidak akan meninggalkannya lagi. Bukannya dia mahu mengikat Islah tetapi lebih kepada sayangkan anak gadisnya itu.
Tambahan pula dia kini sakit dan sudah tua. Lambat laun dia akan dijemput Tuhan. Waktu itu sudah pasti terlambat untuk Islah belajar.
“Is... Is...” Islah kehilangan kata. Dia cuba berlagak setenang yang mungkin.
“Sebelum abah menutup mata, abah nak lihat tanah ini selamat dalam tangan Is.” Abah menambah tenang.
“Abah, jangan cakap macam tu. Bukan Is tak mahu. Tapi Is tak arif. Is bimbang kalau Is ambil alih tugas abah, segalanya jadi kucar-kacir.” Pantas Islah mendapatkan abahnya. Jari-jemari lelaki itu digenggamnya erat. Mereka baru saja bertemu. Abahnya sudah mula bercerita tentang kematian. Dia belum bersedia menghadapi kehilangan buat kali kedua.
“Abah akui, jodoh, ajal, maut dan pertemuan... semuanya ALLAH yang tentukan. Abah cuma bimbang, Is. Nasib-nasib pekerja ladang dan keluarga mereka perlu dibela selepas ketiadaan abah nanti. Is orang yang paling dekat dengan abah. Is sajalah yang dapat bantu abah membela nasib mereka nanti. Abah tak mahu ladang kita jatuh ke tangan orang lain.” Panjang lebar abah mengeluarkan hujahnya.
“Abah...” Murninya hati abah. Abah masih seperti dulu. Abah masih membela nasib-nasib penduduk tempatan. Kenapa Islah menolak untuk mengikut jejak langkah murni abah?
“Abah beri tunjuk ajar pada Is.” Islah akhirnya memutuskan kata. Dia akhirnya bersetuju dengan permintaan abahnya. Jika bukan dia, siapa lagi yang akan membantu abah?
Senyuman abah membuatkan Islah lega. Walaupun terpaksa memikul tanggungjawab yang besar, Islah lega jika abah gembira. Bagaimana dengan pekerjaan Islah di pelantar nanti? Perlukah dia meninggalkannya atau dia akan bergilir-gilir bekerja di pelantar dan di ladang?
Dia masih perlukan pekerjaannya yang satu itu. Dia sayangkan kerjanya sekarang. Itulah cita-citanya sejak dia melangkah ke sekolah menengah lagi. Haruskah dia meninggalkannya begitu saja? Mujurlah kedai kucingnya ada Amin untuk menjaganya. Tetapi, sampai bila anak muda itu akan terus setia?
Mengapa abah tidak meminta isteri mudanya saja yang menguruskan ladangnya? Rosina graduan berijazah pengurusan ladang. Sudah tentu dia lebih arif berbanding Islah. Apakah abah sudah hilang kepercayaan terhadap isterinya itu?
“Kalau macam tu esok Is dah boleh mula kerja.” Latifi memberikan cadangan.
“Amboi, dah kena mula kerja ke? Berilah Is masa berehat dulu.” Islah mula merengek manja. Abah ni, esok juga dia minta kita masuk kerja. Kalau iya pun, berilah masa sikit. Seminggu ke. Biar hilang penat kerja di laut tu dulu.
“Kata jadi pengurus. Kenalah bersemangat.” Latifi mengusik anaknya. Islah bersetuju untuk membantunya di ladang pun sudah cukup baik. Dia amat berbesar hati ingin kenalkan Islah kepada pekerja-pekerjanya di pejabat.
“Bukan penguruslah, abah. Pembantu abah saja.”
“Abah, kalau Mikael dan Hisyam tolong kita, boleh?” Islah melirik ke arah kedua-dua orang jejaka yang sedang ralit menonton siaran televisyen. Entah apalah yang menjadi perhatian mereka kala ini. Sekejap-sekejap ketawa tak ingat dunia.
“Apa salahnya. Tapi ingat, jangan lupa bayar gaji pada dia orang jugak.” Latifi mengingatkan Islah tentang perkara yang satu itu.
“Terima kasih, abah. Kami akan berusaha sehabis baik.” Ceria suara Islah menyuarakan isi hatinya. Bersinar matanya membalas pandangan mata abahnya.
“Abah, Is mungkin boleh tolong abah waktu Is cuti ni saja. Is harap abah faham. Bila cuti Is dah tamat, Is kena balik semula ke laut.” Islah cuba terangkan kepada abahnya. Dia takut nanti abahnya salah sangka bahawa dia akan terus bekerja di sini membantu abahnya. Bukannya dia tidak mahu tetapi tuntutan kerjanya memaksa dia begitu.
“Berapa lama Is cuti?”
“Enam bulan.” Islah jawab ringkas.
Latifi terangguk-angguk tanda mengerti. Dalam tempoh ini pelbagai perkara mungkin terjadi. Mungkin Islah akan mengubah fikirannya dan terus tinggal di sini.
“Buat pengetahuan abah, Is dah buka kedai kucing di KL. Bila ada masa nanti, Is bawa abah ke sana. Nak?” Islah mendekati abahnya semula setelah mereka lama diam. Masing-masing melayan khayalan sendiri.
“Is bercadang nak ajak abah ke sana hujung bulan ni. Tu pun kalau abah tak keberatan.”
“Bila Is buka kedai kucing? Abah tak tahu pun.” Latifi mengiakan saja permintaan anak gadisnya itu. Sedikit sebanyak Islah mewarisi kemahirannya berniaga.
“Dah lama. Lima tahun lepas,” jawab Islah ringkas. Bahu abahnya dipeluk mesra. Dia tak sabar ingin memperkenalkan Amin kepada abahnya.
Apakah reaksi Amin nanti bila dia memaksa anak muda itu turut memanggil abahnya, abah? Mungkinkah Amin akan gembira? Ah, tak sabar rasanya melihat airmuka Amin tatkala diperkenalkan kepada abah. Selama ini dia hanya bercerita tentang keluarganya tapi kali ini Amin sendiri akan melihat abahnya.

Anak muda itu terlalu dambakan sebuah keluarga yang lengkap dengan kehadiran ibu bapa dan adik beradik. Selepas kehilangan ibu bapa dan terpisah dengan adik beradik, hidup Amin bagaikan diburu sepi. Islah berharap benar kali ini akan gembira. Biar tidak sama darah, dia sudah menganggap Amin seperti adiknya sendiri dan dia juga berharap abahnya pun turut begitu.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...