Sunday, November 9, 2014

(Fragmen) Tak Cinta Tak Apa - Bab 10

ISLAH sudah lengkap berbaju kurung dan berdandan. Dia menilik wajah di hadapan cermin. Setelah berpuas hati, dia berjalan menuju ke bahagian dapur mencari Kamariah di sana. Wanita itu tidak dijumpainya tetapi sarapan pagi sudah terhidang di atas meja.
“Cantik anak abah hari ni. Nak ke mana?” Latifi muncul secara tiba-tiba, mengejutkan Islah yang tekun mengacau kopi untuk dihidangkan.
Melihat abahnya mendekat, seraya gadis itu menarik jemari abahnya lalu dikucup lembut.
“Selamat pagi, abah,” ucapnya sopan. Pandangan mata mereka bersatu, masing-masing memancarkan sinar bahagia.
Semalaman mereka meluangkan masa bersama-sama. Pelbagai cerita suka dan duka dikongsi bersama. Peti kenangan dibuka kembali untuk mengimbau kisah lampau. Cerita dari bagaimana abah membesar sehinggakan cerita mereka bertemu kembali semalam bagaikan meniup satu semangat baru dalam diri Islah. Dia mula bertekad untuk membahagiakan abah dan adiknya walau apapun berlaku.
“Jemput duduk, abah.”
“Tak sangka mak cik awal-awal lagi dah sediakan sarapan untuk kita. Kalau Is tahu, boleh Is tolong apa yang patut. Tak mahulah menyusahkan mak cik lagi bila Is dah balik ni. Dia dah lama sangat dia berbudi dengan keluarga kita.” Islah mengambil tempat di hadapan abahnya.
“Mak cik Is tu datang masak masa Is balik aje. Sebelum ni abah makan kat luar. Dia datang sekali-sekala memasak kat sini bila abah tak sihat.” Giliran Latifi mengulas ringkas.
Selama ini, memang dia makan di luar saja. Itupun pada waktu pagi dan tengah hari. Malam pula masanya banyak dihabiskan di masjid. Usai berjemaah, dia akan ke warung bersama rakan-rakan jemaah yang lain menghirup teh tarik. Itu sajalah makan malamnya untuk menjaga kesihatan yang tak menentu sekarang ni.
“Lain kali Is nak minta mak cik kejutkan Is bila nak masak nanti.” Kuih Ketayap disorongkan ke dalam mulut lalu dikunyah perlahan. Hmm... sedapnya. Rasanya tak pernah berubah sejak dari dulu.
“Hisy... anak abah ni. Dah baca bismillah ke belum?” Latifi mengusap lembut rambut anak gadisnya dan turut sama mencapai kuih gulung hijau berinti kelapa di dalam pinggan.
“Dah... baca dalam hati pakej dengan doa makan sekali,” ucap Islah separuh jenaka.
Habis satu kuih gulung di tangan, Islah mencapai teko berisi kopi O dan dituangkan ke dalam cangkir abahnya dan dia.
“Mikael dan Syam belum bangun lagi ke?” Latifi menyambung bicara. Pinggannya yang kosong kini terisi nasi goreng. Tanpa menunggu masa dan jawapan Islah, dia terus menyuap sesudu ke dalam mulut lalu dikunyah perlahan.
“Alamak, Is lupa nak kejutkan dia oranglah.” Islah menepuk dahi. Ada tawa dihujung kata-katanya.
“Apalah tuan rumah ni. Dah, pergi panggil cepat...” Latifi mencubit lembut pipi anaknya sekaligus mengarah Islah ke bilik tetamu menjemput Mikael dan Hisyam untuk bersarapan bersama.
Islah berlalu ke ruang hadapan rumah. Sekejap saja, Islah terkocoh-kocoh kembali ke meja makan.
“Mike dan Syam tak nak makan.” Islah duduk di tempatnya kembali. Wajah gadis itu merah menahan bahang matahari yang mula menerjah masuk melalui cermin tingkap dapur.
“Pandailah kau. Amboi, makan tak ajak!” Hisyam tiba di meja makan dengan mulutnya petah berceloteh. Jari telunjuknya sempat ditujah di kepala Islah tanpa dia sedar Latifi turut memerhati.
“Siapa suruh tidur lepas solat Subuh. Rezeki tak masuk, tahu tak? Hah, inilah rezeki kau yang nyaris-nyaris tak masuk.” Islah menempelak. Bibirnya mencebir tatkala Hisyam mengetap bibir sambil sepasang telunjuknya diarahkan ke mata Islah.
“Mike tak tidur pun kau tak panggil. Hah, kes Mike ni macam mana pulak?” Hisyam menambah. Mempersoalkan apa yang diluahkan oleh Islah tadi. Selagi tak menang, dia tak akan mengaku kalah berdebat dengan Islah.
“Err... err.. yang tu...” Tergagap-gagap Islah ingin membidas. Akhirnya dia menggaru leher yang tak gatal.
“Yang Berhormat... Yang Berhormat... sudahlah tergagap-gagap, ada hati mahu berdebat dengan saya, Yang Berhormat?” Hisyam ketawa di hujung kata-katanya. Wajah Islah yang terkulat-kulat menyuap nasi ke dalam mulut mencuit hatinya.
“Sudahlah tu. Kau ni Syam, kalau dengan Islah ada saja nak cari pasal.” Mikael tiba dengan wajah bersih sekaligus mematikan percakaran antara Islah dan Hisyam. Tubuhnya masih tersarung baju melayu teluk belanga dan berkain pelikat. Jarang sekali dapat melihat lelaki bermata hijau berpakaian begitu. Namun, bagi Mikael, dia bagaikan sudah biasa mengenakannya.
“Assalamualaikum, semua.” Usai salamnya disahut, Mikael mengambil tempat di sebelah Hisyam. Matanya terus menangkap wajah Islah yang sudah bersiap.
“Is cantik hari ni dengan baju kurung, nak ke mana?” tanya Mikael. Tidak pernah dia melihat Islah berbaju kurung sebelum ini. Maklumlah, bekerja di pelantar takkanlah pula hendak melawa dengan baju kurung pula? Hari ini gadis itu kelihatan sopan sekali jika hendak dibandingkan pemakaian Islah di tempat kerja. Ibarat beluncas bertukar menjadi rama-rama cantik!
Panjang sengihan Islah dipuji oleh Mikael. Matanya bersinar-sinar membalas renungan Latifi. Semua mata menikam ke wajah Islah. Masing-masing menunggu jawapan Islah daripada menghadap hidangan pagi yang menyelerakan itu.
“Nak jumpa dengan boyfriend,” ringkas jawapan Islah. Langsung mengundang kerutan di dahi masing-masing.
“Sejak bila pulak kau ada buah hati ni?” Hisyam menduga, menggaru leher yang tiba-tiba terasa gatal tatkala mendengar pengakuan Islah.
“Lelaki semalam yang kita jumpa kat restoran tu ke?” Kali ini Mikael bersuara, mengundang renungan tajam dari Latifi.
“Betul ke, Is?” Soalan dari Latifi menarik dua pasang mata lagi menumpu ke arah Islah. Masing-masing menanti jawapan yang pasti.
“Bukanlah. Is nak hantar Iszam ke sekolah.” Islah mengalihkan pandangannya ke arah Latifi. Kata-katanya penuh makna. Latifi akhirnya turut tersenyum. Faham sudah dengan tujuan Islah berdandan pagi ini.
“Iszam? Bila masa pulak kau ada boyfriend nama Iszam ni, Is?” Hisyam mencelah. Memudarkan sinaran mata Islah.
“Hisy kau ni, Syam. Iszam tu kan adik Is. Berapa kali nak cakap, asyik lupa aje,” rungut Mikael.
Latifi sekadar memerhati kerenah dua orang tetamu rumahnya. Baru saja sehari hari mereka di sini, jiwanya yang kosong terisi. Ditambah pula dengan kepulangan Islah sekali, hidupnya ceria kembali.
 “Kau makan berapa ekor semut agaknya? Orang makan kismis nak bagi otak sihat. Kau makan semut. Kalau serdak tu, okeylah jugak. Makanan.” Islah menambah. Mulutnya dijuih ke arah Hisyam. Sengaja mahu mengundang cebikkan lelaki itu.
“Amboi, kau kalau bab menambah... nombor satu!” Hisyam mengetap bibir. Dia tahu Islah sengaja menambah tadi. Akhirnya, dia senyum sendiri bila teringat kata-kata emaknya. Jangan selalu bergaduh, lama-lama nanti kahwin dengan dia. Senyumannya bertukar tawa. Geli hati memikirkan jika dia dan Islah tinggal sebumbung nanti. Porak-peranda!
“Tengok... boleh pulak dia gelak.” Membuntang mata Islah mendengar Hisyam ketawa. Akhirnya, seluruh isi meja itu ketawa tanpa mengetahui sebab Hisyam ketawa. Ketawa memang berjangkit!
“Latifi!”
Tawa yang meledak di dapur serta merta mati mendadak.
“Latifi!”
Laungan dari arah luar rumah memaksa ahli meja itu bangun serentak. Mereka mengatur derap bersama-sama menuju ke hadapan rumah. Nasi di dalam pinggan Latifi masih lagi tinggal separuh ditinggalkan begitu saja. Kopi O pun masih tidak disentuhnya.
“Siapa pagi-pagi dah datang ke rumah kita?” Persoalan timbul di fikiran Latifi sekaligus terbit dari bibirnya. Dia berusaha setenang yang mungkin sambil menyusun langkah seiring dengan anak gadisnya.
Hisyam, Mikael dan Islah turut berteka-teki. Berkerut dahi masing-masing mendengar nama abah Islah dipanggil kasar dari luar rumah. Gerangan siapakah yang mengganggu mereka ketika menjamu makan pagi itu?
“Ada apa ni Abang Mansor... Abang Samad...”
Latifi menyoal sopan tatkala mereka tiba di muka pintu. Lima orang lelaki yang hampir sebaya dengannya sedang berdiri tegak di halaman rumah dengan wajah bengis. Dia berusaha setenang yang mungkin untuk menghadapi apa jua bakal dilalui nanti.
Latifi arif benar dengan perangai Mansor dan rakan-rakannya yang lain. Dia akan memberontak jika ada perkara yang membuatkan dia tak senang. Apa sebab mereka berkunjung ke rumahnya pagi hari begini?
Tangannya Latifi segera memaut erat bahu anak gadisnya. Islah yang akan menjadi kekuatan baginya jika apa-apa akan terjadi selepas ini.
“Kami takkan kerja selagi gaji dua bulan kami tak dibayar!”
Mansor, selaku kepala di antara kumpulan itu menyuarakan hasrat tatkala matanya tertancap pada batang tubuh Islah dan dua orang lelaki yang tidak dikenali. Benarlah, sudah heboh satu kampung Islah kembali semula ke sini bersama dua orang lelaki asing. Kata-kata penduduk kampung ketika dia bertandang di warung Mak Su semalam adalah benar.
“Pak Cik Mansor... masuklah dulu. Boleh sarapan sekali.” Islah cuba menenangkan diri. Dimaniskan wajah membalas pandangan lima orang lelaki di hadapan rumah itu yang mencerlung.
Kedatangan tetamu yang tidak diundang itu membuatkan dada Islah berdetak hebat. Pastinya ada perkara mustahak yang ingin dibincangkan memandangkan kedatangan mereka berlima bukanlah dengan wajah manis tetapi bengis.
“Ah... tak payah kau nak hidangkan sarapan pulak. Kau ingat dengan hidangkan kami makanan, kau dapat redakan kemarahan kami?” Mansor menyergah.
Kecut perut Islah dibuatnya. Terkulat-kulat Islah di sisi abahnya.
“Kami datang ni nak tuntut duit kami. Kamu dah berjanji dengan kami yang hari ni kamu akan lunaskan gaji kami.” Mata Samad menerkam terus pada anak mata Latifi. Wajahnya bengis. Parut kesan cakaran harimau tujuh tahun dahulu masih melekap di wajahnya menambah kebengisannya.
“Mana saya nak cekau duit sebanyak tu sekarang ni, Abang Samad. Lagipun, saya tak pernah berjanji akan bayar hari ni.” Latifi tenang bersuara.
“Kau jangan nak tipu aku, Latifi. Kau kata anak kau ni banyak duit, tentu dia boleh bayarkan,” bentak Mansor. Tangannya mula menghentak tiang rumah itu.
“Ya ALLAH, bawa bertenang abang. Bila masa pulak saya cakap macam tu?” Latifi menyangkal kata-kata Mansor. Berderau darahnya bila tangan Mansor menyentuh kasar tiang hadapan rumahnya.
Dada Islah mula berdegup kencang. Kata-kata Mansor dan abahnya membuatkan fikiran Islah keliru.
“Kau jangan nak kelentong aku pulak, Latifi. Kalau kau tak ada duit, kau kata kau akan jual saja anak kau tu. Langsai semua hutang kau nanti,” bidas Mansor. Dia sudah tidak mempedulikan Islah yang berubah riak. Yang penting hari ini dia akan mendapat duitnya seperti yang dijanjikan.
“ALLAH...” Sepantas itu juga air mata Islah tumpah. Dia tidak menyangka kata-kata hinaan itu akan terbit dari bibir Pak Cik Mansor. Bukan, dari bibir abahnya sendiri...
Hancur luluh hati Islah mendengar apa yang dikatakan oleh Mansor tadi. Benarkah abahnya ingin memperdagangkan darah dagingnya sendiri demi kepentingan diri?
“Abah... sampai hati abah nak jual Is semata-mata nak bayar hutang abah ni. Ni ke tujuan sebenar abah suruh Is balik ke sini?” Airmata mula membasahi wajah Islah tanpa segan silu. Sungguh dia tidak mengangka niat abahnya begitu. Apakah selama ini abahnya terlalu dendamkan dia sehingga sanggup menjual anak sendiri?
“Is... sumpah abah tak pernah cakap macam tu.” Latifi segera berpaling mendapatkan anaknya. Tubuh Islah dipeluknya erat. Sumpah!
Dalam hidupnya, Latifi tidak pernah berniat ingin memperdagangkan darah dagingnya sendiri. Islah adalah bukti cinta dia dan Manisah. Anak itu penyambung keturunannya dan keturunan Manisah. Tanpa Islah, hidup dia dan Manisah tidak akan bahagia.
“Sampai hati abah...” Islah menangis lagi. Pelukan abahnya tidak memberikan apa-apa makna buatnya. Hatinya sudah terguris. Luka yang lama berdarah kembali.
“Demi ALLAH, Is. Abah tak pernah cakap macam tu.” Latifi sudah bersumpah. Ubun-ubun Islah dikucupnya bertalu-talu.
“Ah... sudahlah. Jangan nak berdrama kat sini pulak. Cepat bayar gaji kami!” Samad membentak, merungkai pelukan Latifi di tubuh Islah.
“Pak cik, Is minta tempoh sampai esok. Is akan langsaikan hutang abah secara tunai.” Islah mengesat air matanya dengan belakang telapak tangan. Suaranya dikawal supaya tidak kedengaran esak.
“Esok pagi kami datang lagi.” Mereka berlima segera berlalu. Meninggalkan Islah dengan linangan air mata, Latifi dengan wajah yang keruh dan Mikael dan Hisyam dengan wajah yang keliru.
“Is... dengar dulu penjelasan abah.” Tubuh Islah digoncangnya Latifi. Dia benar-benar kecewa melihat air mata mengalir lesu di pipi anak gadisnya itu.
“Mike, Syam... kita ke bandar. Aku nak keluarkan duit dari bank.” Pinta Islah lesu. Wajah keruh Latifi tidak diendahkannya. Hatinya hancur luluh setelah mendengar kata-kata Mansor tadi.
Mikael dan Hisyam serentak mengangguk. Masing-masing serba salah. Antara Islah dan abahnya, siapa yang harus ditenangkan?
SUASANA di dalam kereta sunyi sepi. Hanya Mikael yang mengikut Islah ke bandar. Hisyam meminta diri untuk tinggal di rumah saja tadi. Dalam diam selepas melihat Islah berlalu ke bilik dan menangis di situ, Mikael dan Hisyam berbincang untuk menyelesaikan masalah Islah dan abahnya.
“Is, kau tak boleh nak tuduh abah kau tanpa usul periksa tadi.” Mikael memulakan bicara setelah mereka diam terlalu lama. Hanya suara DJ radio menemani perjalanan itu ke bandar sejak dari tadi lagi.
“Kau pun sebelahkan abah aku jugak, Mike?” Serak kedengaran suara Islah kala itu.
Setelah puas Islah menangis, dia keluar dari biliknya dengan wajah sembap. Merah padam mata dan hidungnya waktu itu. Kasihan sungguh hati Mikael melihat Islah berkeadaan begitu. Waktu itu jugalah Islah mengajaknya ke bandar untuk mengeluarkan duit.
Niat gadis itu ke sekolah terpaksa pula dibatalkan. Baru saja pagi tadi mereka mesra di meja makan. Kemesraan yang terjalin bagai lenyap begitu saja setelah beberapa orang lelaki seusia abahnya datang mengamuk di laman rumah.
“Aku tak sebelahkan sesiapa pun, Is. Tapi kita tak boleh cepat menilai sesuatu perkara. Mungkin dia orang nakkan duit sebab tulah dia orang libatkan kau.” Mikael cuba meluahkan pendapatnya. Harap-haraplah Islah akan pertimbangkan. Dia tak mahu hubungan yang kembali bertaut ini putus semula hanya kerana tuduhan tak berasas.
Islah diam di tempat memandunya. Berkali-kali hatinya cuba menidakkan kata-kata Pak Cik Mansor tadi, namun setiap kali cuba ditepis setiap kali itulah hatinya sakit. Air matanya tidak henti-henti mengalir pagi tadi mengenangkan kata-kata itu. Sungguh tak disangka abahnya begitu.
“Kau tak kenal abah aku. Kalau dia sanggup halau aku dulu tak bermakna dia tak sanggup jual aku macam tu saja,” luah Islah. Perasaanya kini sudah tenang. Lama dia menangis tadi sehingga tertidur.
“Tapi dia tak buat, kan? Kalau betul dia nak jual kau tentu masa kita sampai di sini semalam dia dah buat.”
Islah terdiam mendengar hujah Mikael.
“Fikirlah Is...” Mikael tak henti-henti menasihati Islah.
“Hati aku sakit lepas dengar apa yang Pak Cik Mansor cakap. Kau tak berada di tempat aku. Kau tentu tak rasa apa yang aku rasa sekarang.” Islah meluahkan isi hatinya. Pemanduannya masih lagi teratur. Fikirannya masih lagi waras. Dia cuba bersikap tenang.
“Aku faham, Is. Memang bukan aku yang rasa sekarang ni. Tapi kau tak sepatutnya percayakan orang lain. Aku tengok abah kau bersungguh-sungguh tadi nak yakinkan kau yang dia tak bersalah. Kau sepatutnya beri dia peluang. Ni tak. Alih-alih kau kurung diri dalam bilik. Tinggalkan abah kau macam tu saja.” Mikael makin galak berdebat dengan Islah. Selagi Islah masih berkeras menuduh abahnya, selagi itulah dia akan cuba yakinkan gadis itu.
Selepas melihat Latifi terduduk di hadapan pintu bilik Islah tadi, dia jatuh kasihan kepada lelaki itu. Bertambah kasihan dia melihat Latifi mengalirkan air mata di situ sambil memanggil nama Islah. Islah sepatutnya memberikan abahnya peluang untuk berbicara. Bukannya menghukum membuta-tuli.

“Aku perlukan masa, Mike. Apa yang jadi tadi buatkan hati aku sakit. Aku hilang percaya pada abah aku. Tolonglah, Mike. Jangan serabutkan fikiran aku.” Muktamad.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...