Thursday, October 30, 2014

(Fragmen) Tak Cinta Tak Apa - Bab 8

SELEPAS meletakkan pacuan empat rodanya di halaman rumah yang menghijau dek rumput segar, mata Islah memerhatikan keadaan di sekeliling rumah sambil menapak menghampiri pintu. Langkah Islah bagaikan longlai.
Rumah Indah...
Masih lagi seperti dulu. Papan tanda yang tercoret nama rumah ini masih lagi berdiri gagah di halaman rumah ini. Masih tak lekang dek panas.
Tiga pohon mangga di tepi rumah masih berdiri megah. Pasu-pasu berisi bunga kertas berwarna merah jambu, putih dan jingga masih tersusun kemas di bahagian hadapan rumah.
Halaman rumah bersih tanpa daun-daun kering dari pohon mangga. Sebuah meja dan empat kerusi batu terletak elok di halaman rumah. Masih elok seperti dulu. Rumah abah tidak pernah berubah. Terjaga rapi dan kekal seperti dulu.
“Abang, kita tanam pohon mangga, rambutan dan durian di belakang rumah. Bila Islah besar nanti, bolehlah kita makan hasilnya. Bila Islah dah berkeluarga dan kita dah ada cucu, bolehlah merasa hasilnya nanti. Tentu seronokkan, bang?”
Itu kata-kata ibu kepada abah 21 tahun dahulu. Waktu itu Islah masih di sekolah rendah lagi. Walaupun baru berusia tujuh tahun, Islah cukup mengerti akan niat murni ibu. Berbudi kepada tanah, kita juga yang akan mendapat hasilnya.
Mata Islah kini beralih pada garaj kereta rumah. Kereta model lama, Datsun 218Y tersadai lesu di sebelah pacuan empat roda sudah pastinya milik abah. Yang selalu abah pandu ke ladangnya untuk menyelia pekerja-pekerja ladang.
Dahulu, setiap kali abah menyusur masuk ke dalam ladang kelapa sawit dan getahnya, Islah akan turut serta. Islah tidak pernah geli dengan pacat dan takut mendekati lembu-lembu yang diternak di ladang kelapa sawit oleh penduduk tempatan.
Islah masih ingat lagi abah yang sentiasa mesra dengan peladang dan tidak pernah lokek menghulurkan bantuan. Penduduk tempatan menternak lembu, kambing dan biri-biri atas bantuan abah.
Ada juga menjalankan kegiatan bertani dan bercucuk tanam di hujung kampung atas bantuan abah juga. Abah juga membantu penduduk kampung yang ingin menjalankan perniagaan kecil-kecilan ikan peliharaan di dalam kolam. Semuanya atas bantuan abah. Apakah sekarang abah masih seperti dulu?
Lamunan Islah terhenti setakat itu. Matanya melingas ke arah satu ruang kosong bersebelahan dengan pacuan empat roda milik abah. Tempat itu pasti milik Rosina, ibu tiri Islah. Ke mana Rosina pergi waktu petang begini? Masih di pejabat menguruskan ladang lagikah?
Tidak mahu berfikir panjang mengenai Rosina, mata Islah beralih ke pintu rumah. Tak semena-mena mata Islah tertancap pada halaman rumah berhampiran pintu masuk. Dadanya bergendang hebat. Di situlah tubuhnya dihumbankan kasar oleh abah. Abah menghalaunya pergi tanpa belas kasihan.
Islah masih ingat akan wajah bengis abah yang diamuk kemarahan dan wajah Rosina yang sedang bangga melihat dia diperlakukan begitu. Islah menangis dalam hujan yang lebat. Tubuh yang basah kuyup disirami hujan mengiringi Islah pergi dari rumah ini suatu ketika dulu. Sampai bila-bila ia tidak akan luput dari ingatannya.
“Is!” Teriakan Mak Cik Kamariah di pintu rumah mematikan khayalan Islah. Pantas dipaksanya bibir mengukir senyuman.
“Apa khabar, mak cik?” Sepasang tangan wanita itu ditarik lalu dia tunduk menciumnya sopan. Selepas kehilangan ibu semasa di tingkatan 1, Islah diajar adab sopan perempuan Melayu oleh Mak Cik Kamariah pula. Sekali-sekala pulang bercuti sekolah, Islah akan belajar mengaji dan tatatertib dengan wanita itu.
“Alhamdulillah, sihat. Is apa khabar?” Giliran Mak Cik Kamariah pula bertanya. Ubun-ubun gadis itu diusapnya dengan penuh kasih sayang. Saat pandangan mata mereka bersatu, dia mula pilu. Pantas air matanya mengalir lesu.
Tubuh Islah dipeluknya kejap. Dia melepaskan rindu melalui tangisnya. Apakah selama ini Islah derita merindu sehingga menjadi cengkung begini? Ah, dia yang silap dahulu kerana tidak menghalang tindakan Latifi. Jika tidak, Islah pasti tetap di sini. Sekarang ini, dia bersyukur kerana Islah sudah kembali.
Islah bagaikan darah dagingnya juga. Selepas kematian Manisah, ibu Islah, dialah yang mendidik gadis ini sehingga membesar sebegini.
“Macam nilah, mak cik. Kalau tak demam, sihatlah Is,” jawab Islah sopan. Kedua-dua tangan Kamariah masih lagi di dalam genggaman Islah. Mata mereka beradu tenang. Berbicara tentang rindu melalui pandangan mata.
Akhirnya, Islah menyapu air mata Mak Cik Kamariah dengan hujung jemarinya. Dia berusaha untuk menjadi setenang yang mungkin. Bibir cuba mengukir senyuman, menyembunyikan duka yang kian sendat.
Sudah sekian lama tidak bertemu, hari ini hari yang dinantikan oleh Kamariah. Melihat Islah, hatinya jadi tenang. Syukurlah jika Islah menjalani hidupnya dengan tenang dan gembira. Melihat tubuh Islah yang susut, tentu dialah yang diburu rasa bersalah. Anak ini perlukan perhatian darinya. Dia sudah berjanji pada Manisah untuk menjaga Islah selepas wanita itu tiada. Namun, selepas dihalau oleh abahnya sendiri, Kamariah tidak mampu menunaikan janjinya terhadap Manisah.
“Apa khabar, mak cik?” Hisyam dan Mikael yang sejak dari tadi hanya memerhati kini bersuara. Memulakan sesi perkenalan dengan wanita yang diceritakan oleh Islah dalam perjalanan ke sini tadi.
“Siapa yang Is bawakan sekali ni?” Berkerut dahi wanita itu bertanya. Matanya beralih dari Islah dan bersilih ganti menatap wajah tampan milik Mikael dan Hisyam yang tidak lekang dari senyuman.
“Kenalkan mak cik, ini Hisyam dan Mikael. Kawan sekerja Is.” Ibu jari Islah diunjukkan ke arah Hisyam dan kemudiannya Mikael. Serentak itu, mereka berdua tunduk menyalami Mak Cik Kamariah sopan.
“Boleh kami tinggal kat sini sepanjang Islah bercuti, mak cik?” tanya Hisyam sopan seraya mengangkat wajah.
“Eh, apa pulak tak boleh. Dah tuan rumah yang bawa kamu berdua ke sini, takkanlah pula mak cik nak halau. Masuklah. Buat macam rumah sendiri,” ramah Mak Cik Kamariah menjemput para tetamu menapak ke dalam rumah. Bagasi Islah ditarik bersama mengiringi langkahnya ke dalam rumah.
“Mak cik, dua bilik tetamu elok lagi?” tanya Islah seakan berbisik di telinga Mak Cik Kamariah. Waktu itu Mikael dan Hisyam sudah mengambil tempat di ruang tamu. Masing-masing menghenyakkan punggung di atas sofa panjang berukiran di bahu dan di lengan.
“Elok lagi, Is. Mak cik akan tempatkan kawan-kawan Is ni di bilik tetamu,” jawab Mak Cik Kamariah lembut. Dia sudah mengerti akan maksud Islah.
Mujurlah di rumah ini ada banyak bilik. Dua bilik tetamu yang sudah lama tidak terusik bakal dihuni oleh Hisyam dan Mikael nanti. Mujurlah sudah dikemaskan dan dipasang cadarnya pagi tadi.
“Bilik Is?” soal Islah lagi. Kali ini dengan nada teragak-teragak. Islah sebenarnya khuatir kepulangan dia tidak disenangi oleh isteri muda abahnya.
“Bilik Is tetap bilik Is. Tak ada sesiapa yang usik. Abah Is tak benarkan sesiapa sentuh barang-barang Is kecuali masuk mengemas bilik tu saja,” terang Mak Cik Kamariah jujur.
Lega hati Islah tatkala mendengar penerangan dari wanita di hadapannya itu. Dia bukannya bimbang tidak mendapat bilik, dia hanya mahu tahu sejauh mana abahnya memarahi dia dulu. Syukurlah marah abah tidak sampai menyingkirkan dia betul-betul dari rumah itu.
“Iszam mana?” tanya Islah lagi. Mak Cik Kamariah mengikutnya ke kereta bagi memunggah sangkar kucing-kucingnya pula.
Pertanyaan Islah dibiarkan sepi. Hanya tangan Mak Cik Kamariah ralit mengangkat sisa-sisa barangan Islah. Wajah wanita itu keruh menggambarkan ada sesuatu yang tidak kena dengan Iszam, adiknya.
“Mak cik berulang dari sini ke rumah. Mak cik dah masak untuk makan malam nanti. Kalau Is nakkan apa-apa, Is telefon aje mak cik.” Pertanyaan Islah tidak dijawabnya.
“Mak cik tak tinggal di sini dengan abah?” tanya Islah lagi. Dibiarkan saja soalannya tadi sepi tanpa jawapan.
Kamariah hanya menggeleng menjawab soalan Islah. Hatinya berat mengenangkan pertanyaan Islah mengenai adiknya, Iszam atau lebih mesra dipanggil Zam saja olehnya. Dia sudah menjangka Islah akan bertanyakan tentang adiknya. Walaupun tidak membesar bersama, dia dapat melihat Islah menyayangi adiknya itu. Cuma, selepas dihalau pergi dari rumah ini, Islah bagaikan lupa akan kewujudan Iszam. Iszam bagaikan hilang arah selepas Islah meninggalkan Latifi dan dia tanpa khabar berita.
“Ros?” tanya Islah lagi. Wajahnya tenang tatkala menyebut nama itu. Tidak pernah sekalipun dia memanggil Rosina dengan panggilan emak.
“Seeloknya Is berjumpa dengan Latifi dulu. Abah Is rindukan Is. Dari semalam, dia tak henti-henti sebut nama Is.” Seraya itu Mak Cik Kamariah berlalu menjinjit barang-barang kucing ke dalam rumah.
Islah termangu di sisi kereta. Tubuh kecil Mak Cik Kamariah direnungnya sehingga hilang di balik dinding batu rumah. Kucing-kucingnya diusap lembut berselang keluhan kecil. Kemudian, kedua-duanya dibawa masuk ke dalam rumah selepas dia mengunci keretanya.
TUBUH abah terbaring lesu di atas kerusi malas rotan dan berayun lembut mengikut alunan lagu klasik menjadi tatapan mata Islah. Begitu juga dengan langsir putih lutsinar berbunga camellia di hujungnya mengalun cantik mengikut alunan bayu dari arah ladang dan membelai lembut piano usang di tepi jendela setinggi satu meter lebih itu. Abah tenang berbaring mengadap ladang yang menghijau dan bukit-bukau serta langit yang membiru. Pemandangan yang sungguh indah buat Islah yang sedang diulit sayu tika itu.

Dengan cinta kubina istana
Kau sentuh runtuh jadi pusara
Cahaya hidupku jadi gerhana
Bisa jiwa memandang gembira

Kusemai benih kasih sejati
Kupupuk dengan baja nan asli
Ngapa kau siram racun yang pedih
Kutuai kini hanya rasa nan pedih
Kuimpikan istana janjimu
Kuhias cantik dalam angan-angan
Sebab bencana datang mengganggu
Kini hancur musnah istana impian

Lagu klasik bergema lagi mengisi ruang kosong itu. Bilik paling hujung di dalam rumah itu dahulunya dihuni oleh abah dan ibu. Selepas ibu pergi bertemu ILAHI, abah berpindah ke bilik hadapan. Bilik ini akan dikunjunginya setiap kali pulang dari tempat kerja, pada hujung minggu dan ketika abah dilanda kesusahan.
Lagu inilah yang akan menjadi halwa telinganya dan akan dimainkan dengan piring hitam. Kadang-kadang, abah akan mendendangkan sendiri lagu ini beriringan petikan piano yang dimainkannya sendiri.
Abah baring dengan mata yang sayu memandang ke hadapan. Entahkan menghayati bait-bait sayu lagu itu atau menikmati angin ladang. Islah tidak bijak meneka atau mentafsir tindakan abah kala ini.
Islah masih memerhati abahnya dari jauh. Abah kelihatan tenang memandang jauh ke arah ladang kepala sawit dan getahnya tanpa menyedari kehadiran dia di situ.
Selepas meletakkan barang-barangnya di bilik dan memastikan Mikael dan Hisyam berehat di bilik masing-masing, Islah ke ruang ini mencari abah. Kata Mak Cik Kamariah tadi, pada waktu petang abah lebih suka bersantai di sini sambil menghirup udara dari ladang.
“Abah...” panggil Islah lembut. Kerusi malas berayun lembut mengikut ayunan tubuh abahnya lagi.
Panggilan Islah tidak diendahkan. Abah masih leka menatap kehijauan ladang kelapa sawit dan sayup-sayup daun pohon getah melambai-lambai ditiup angin bukit.
Kali ini Islah menapak, seraya tiba di sisi abah, telapak tangan Islah menindan belakang tapak tangan abahnya.
“Abah...” Seraya itu juga mata Islah menangkap manik-manik jernih mengalir lesu menuruni pipi tua abahnya.
Abah menangis? Hati Islah jadi sayu. Pantas tangan tua abah ditarik ke dalam genggamannya lalu dikucupnya syahdu.
“Abah... ampunkan Is sebab dah lama tak jenguk abah...” Air mata Islah gugur tanpa dipaksa lalu membasahi jemari abah yang sudah timbul uratnya. Sudah sekian lama air matanya kering kerana abah. Hari ini, Islah tewas jua.
“Syukurlah Is dah balik semula. Abah rindukan Is.” Ucapan abah membalas kata-kata Islah membuatkan gadis itu menangis tersedu-sedan.
Latifi membelai ubun-ubun Islah lembut. Sudah sekian lama dia menanti saat-saat begini. Hari ini, hajatnya sudah tercapai. Hatinya lega...
“Is minta ampun dari hujung rambut hingga ke hujung kaki. Is berdosa pada abah.” Genggaman tangan abah dibalas erat oleh Islah. Matanya tidak henti-henti mengalirkan air mata. Sesaat ingatannya kembali kepada peristiwa lima tahun dahulu.
Ah... Islah terlalu ikutkan perasaan. Kerana Rosina, Islah membelakangkan abah. Lima tahun jemari ini tidak dikucup untuk meminta maaf. Hari ini, Islah bagaikan tidak mahu melepaskan tangan abah. Rintih hati kecil Islah.
“Bukan salah Is. Abah yang bersalah. Abah yang halau Is keluar dari rumah ni dulu. Abah buta waktu tu sampai abah salahkan anak sendiri. Abah letakkan semua kesalahan di atas bahu Is. Abah yang tak berguna.” Tangisan abah bersatu dengan tangisan Islah. Mereka dua beranak mula menghamburkan air mata mengenang kisah lama.
“Abah jangan cakap macam tu. Kalau Is tak timbulkan masalah, perkara macam ni tak akan terjadi. Semua ni berpunca dari Is, abah. Is janji, lepas ni keluarga kita akan bersatu semula. Is dah kembali untuk lengkapkan keluarga kita,” pujuk Islah lembut. Wajahnya basah dengan tangisan. Pilu hatinya memikirkan abah menyalahkan diri sendiri di atas apa yang telah terjadi.
“Tak Is. Selagi Iszam tak balik ke rumah semula, keluarga kita tak akan lengkap.” Abah jawab dengan nada kesal. Ada keluhan terbit dari bibirnya. Air mata kembali berlinang menuruni lesu pipi tua abah.
“Iszam lari dari rumah, abah?” tanya Islah dungu. Air matanya dikesat dengan tapak tangan.
“Iszam dah lama tak tinggal di sini. Lepas Is pergi, dia terus tinggal dengan Mak Cik Kamariah.”
Termangu Islah mendengar jawapan abahnya. Patutlah Mak Cik Kamariah tidak bercakap panjang bila ditanya mengenai Iszam. Wanita itu mahu dia bercakap sendiri dengan abahnya.
“Is tak sangka perkara macam ni akan terjadi, abah. Semuanya terjadi disebabkan Is. Iszam tentu terpengaruh dengan tindakan Is dulu.” Islah mula menyalahkan diri sendiri kembali. Mengingati perkara dulu membuatkan jiwa Islah terseksa.
“Jangan Is salahkan diri sendiri. Latifi, kau pun jangan salahkan diri sendiri juga. Semuanya berlaku atas kehendak takdir.” Mak Cik Kamariah muncul dengan tiba-tiba meredakan tangis dua beranak itu. Wanita itu mendekati mereka berdua dengan wajah tenang.
“Sekarang, tugas Is kembalikan Iszam ke dalam rumah ni semula.” Bahu Islah digenggam erat oleh Mak Cik Kamariah. Dia kemudiannya mengusap-usap lembut ubun-ubun Islah. Seperti yang dilakukannya terhadap Iszam ketika anak muda itu bersantai di beranda rumah.
“Mak cik...” Jemari tua Mak Cik Kamariah digenggamnya Islah lembut.
“Mak cik dan pak cik tinggal kat sini juga, boleh?” Pinta Islah hati-hati tetapi bersungguh-sungguh meminta Mak Cik Kamariah dan suaminya tinggal bersama di rumah ini.
“Iyalah kak. Saya tak selesa tengok kakak berulang-alik dari rumah kakak ke sini. Saya menyusahkan kakak pula. Kakak sibuk uruskan saya di sini, Abang Osman terabai pula nanti,” celah Latifi. “Dari dulu saya minta kakak tinggal di sini semula, tapi kakak tolak. Hari ini, saya harap kakak tak hampakan permintaan Islah pula,” tambah Latifi.
“Keputusan ni mesti dipersetujui oleh suami kakak dan Iszam sendiri, Latifi.” Mak Cik Kamariah jadi serba salah.
“Islah pujuk adik balik ke rumah ni semula, ye nak? Abah nak lihat keluarga kita bersatu semula.” Abah mengusap lembut rambut Islah.
Islah segera mengangguk. Wajah abah lesu dan tidak bermaya ditatapnya sayu. Kata Mak Cik Kamariah, abah boleh berjalan dan melakukan kerja. Cuma sekarang abah lebih suka duduk berehat saja di rumah. Kadang-kadang, abah lebih suka duduk termenung. Entah perkara apalah yang mengganggu fikiran abah kini.
Mengenai Rosina, Islah tidak mahu menyentuh langsung. Dia tidak mahu menyentuh perihal Rosina ketika dia baru saja kembali ke kampung halaman. Kalau boleh, dia tidak mahu langsung bertemu dengan isteri muda abahnya itu.
Apakah abah menangis tadi kerana Rosina? Hati Islah meronta-ronta ingin tahu namun ditahannya. Cukuplah hubungan dia dan abah bertambah baik. Dia sudah cukup bersyukur dengan perkara yang satu itu. Tugasnya selepas ini adalah membawa Iszam kembali semula ke rumah ini. Bukan Iszam saja, malah Mak Cik Kamariah dan Pak Cik Osman juga akan dibawa kembali ke sini. Itu tekadnya

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...