Thursday, October 23, 2014

(Fragmen) Tak Cinta Tak Apa - Bab 7

PERJALANAN pulang ke kampung akan mengambil masa selama dua jam lebih. Kereta pacuan empat roda itu dipandu cermat oleh Islah. Beberapa kali Mikael dan Hisyam menawarkan diri untuk memandu secara bergilir-gilir dengan Islah tetapi dibantah.
Pertama, Mikael dan Hisyam tidak tahu jalan ke kampungnya. Kedua, Islah bimbang dia tertidur dan mereka bertiga tersesat nanti. Jalan pulang ke kampungnya pula bersimpang-siur. Takut nanti tersalah jalan. Alamatnya terpaksalah mereka bertiga tidur di tepi jalan jika waktu sudah menginjak malam sebelum menanti siang.
Hisyam yang sudah lena di sisi dikerlingnya cermat. Manakala mata Mikael masih lagi segar memerhatikan pohon-pohon di sepanjang lebuh raya. Kata Mikael, dia tidak mahu tidur. Takut nanti terlepas melihat bumbung Minangkabau.
Kucing-kucing Islah, Kanggaru dan Jaguar diletakkan sekali dengan Mikael di bahagian belakang. Mujurlah lelaki itu tidak alah pada kucing. Kebetulan pula Mikael mudah mesra dengan haiwan peliharaannya itu. Lega hati Islah bila Mikael tidak merungut bila kucing-kucingnya bermain di atas ribaan lelaki orang putih itu.
“Kau okey, Mike? Boleh ke dengan kucing-kucing aku tu?” tanya Islah ragu-ragu. Dia melihat Mikael melalui cermin belakang.
“Aku okey walaupun aku tak berapa suka dengan haiwan berbulu ni.”
Tertawa Islah mendengar jawapan Mikael. Dia kembali fokus pada jalan di hadapannya.
“Berapa kali aku dah cakap, jangan beri muka pada dia!” Ayat-ayat itu berlegar-legar lagi di dalam benak fikiran Islah tatkala matanya diluruskan ke depan, mengadap jalan raya.
Pemanduan Islah tidak teratur. Dia masih teringat dengan perbualan antara dia dan Amelia menerusi telefon tadi selepas makan tengah hari. Perkataan ‘dia’ sudah pasti ditujukan buat Iskandar. Yang itu Islah pasti.
“Aku tengok gaya dia, macam dia nak tackle kau aje.” Amelia menyuarakan pendapatnya. Kedengaran nafas Amelia turun naik di hujung talian.
Dari nada Amelia, Islah tahu sahabat baiknya itu sedang dilanda api kemarahan. Bukan padanya tapi pada Iskandar. Lelaki yang tiba-tiba muncul ketika Islah, Amelia, Mikael dan Hisyam sedang enak menjamu selera tengah hari tadi.
Islah mengambil tindakan berdiam diri. Dia cuma menadah telinga mendengar kata-kata Amelia yang seterusnya. Entah apalah lagi yang akan diluahkan oleh Amelia untuk menyatakan ketidakpuasan hatinya terhadap Iskandar?
“Lia, boleh tak jangan berprasangka buruk? Kami bertembung baru tiga kali. Itupun secara tak sengaja,” pintas Islah lembut. Dia cuba meredakan perasaan Amelia yang bergelodak.
Islah tidak mahu bertelagah dengan Amelia. Selepas peristiwa dia dimalukan di dewan makan asrama dulu, Islah tidak dibenarkan lagi oleh Amelia menunjukkan muka di hadapan Iskandar. Amelia kerap membantunya melarikan diri tatkala mereka ternampak Iskandar. Setahun mereka berdua terseksa kerana terpaksa beringat dan menyembunyikan wajah dari Iskandar. Hidup mereka lintang-pukang. Lebih-lebih lagi Islah. Tatkala menginjak ke tingkatan lima, Iskandar pulak tamat pengajian, barulah mereka aman kembali.
“Tiga kali? Bukan dua?” Soalan Amelia membuatkan Islah tergamam. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. Cerita dia terlanggar dengan Iskandar di KLIA semalam masih tidak diceritakan pada Amelia. Ah, sudah...
“Aku terlupa cerita pada kau yang kita orang bertembung semasa di airport semalam. Secara tak sengaja,” luah Islah tenang.
“Haih, mula-mula bertembung di airport, kemudian kedai kucing. Lepas tu di kedai makan.” Omelan Amelia menerjah masuk ke telinga Islah. Telefon dijauhkan dari telinga tatkala suara Amelia meninggi. Lia ni...
“Kau tu jangan baik sangka sangat dengan dia. Mungkin kau dah lupa apa yang dia dah buat pada kau dulu tapi aku tak pernah lupa, Is. Aku kawan kau. Kita rapat sejak di tingkatan satu lagi. Orang cubit paha kau, paha aku juga terasa sakit tau.”
Lupa? Mana mungkin Islah lupa apa yang telah Iskandar lakukan padanya dulu. 12 tahun dahulu, dia terpaksa menelan segala kata-kata orang di sekelilingnya. Dia kehilangan ramai kawan. Mujurlah Amelia setia berada di sisinya. Gadis itu banyak memberikan sokongan moral buat Islah. Islah sangat bersyukur.
“Abang Iskandar tu dah lupa agaknya apa yang dia dah kata pada kau dulu, Is. Mentang-mentanglah dia tengok kau dah kurus dan cantik sekarang, dia mula nak pikat kau pulak.” Nada Amelia kedengaran serius. Lantang kata-katanya meluncur laju dari bibir.
“Lia... kami bertembung secara tak sengaja. Kau jangan ambil hati ye,” pujuk Islah lembut.
“Tiga kali Is. Bukan dua. Kalau dua aku boleh terima lagi. Ini tiga. Manalah tahu dia follow kau ke kedai. Hah, sebab tu dia pura-pura datang beli kucing untuk girlfriend dia si Puteri tu,” bidas Amelia.
Mengenai Iskandar datang membeli kucing di kedainya, Islah tidak kisah. Dia juga yang untung. Dalam perniagaan, rezeki jangan ditolak musuh jangan dicari. Sekali pelanggan datang ke kedainya, pelanggan tersebut akan lekat membeli alatan kucing di kedainya. Sebab itulah dia menyambut kedatangan Iskandar dan Puteri dengan wajah manis.
Malam semalam, Iskandar telah memborong bukan saja kucing, lelaki itu turut membeli barang-barang keperluan kucing seperti cage, makanan, litter, bakul tidur, bantal, cat tree, bekas makanan dan bekas buang air, tempat cakaran kucing dan juga pakaian untuk kucing tersebut.
Sudahlah kucing yang dibeli oleh Iskandar malam tadi adalah dari jenis Silkirk Rex, berbulu kerinting seperti teddy bear dan jarang dibeli orang kerana harganya yang mahal. Hanya terdapat dua ekor saja di kedainya. Banyak juga duit lelaki itu dilaburkan untuk Puteri. Untung gadis itu kerana mempunyai kekasih seperti Iskandar.
“Tak apalah, Lia. Aku juga yang untung kalau dia datang beli. Lepas ni, Puteri akan datang ke kedai aku beli barang-barang untuk kucing tu. Dia pun akan jumpa kau juga nak pastikan kucing dia tu sihat,” pujuk Islah lembut.
Kedengaran dengusan Amelia dari hujung talian sana.
“Kau ni, Is. Dari dulu sampai sekarang selalu mengalah. Abang Iskandar buat macam tu pada kau dulu pun kau cakap salah kau. Sekarang, bila aku cakap dia ada agenda lain pada kau, kau tak percaya.” Lantang Amelia bersuara menyatakan apa yang terbuku di hati.
Keluhan Amelia membuatkan Islah jadi serba salah. Bukan niatnya untuk menangkan Iskandar. Memang salahnya dulu kerana meminati Iskandar sehingga membuatkan lelaki itu malu untuk mengaku yang dia diminati gadis sepertinya.
Kini, mereka bertembung pun secara tak sengaja. Tanpa diduga. Semuanya berlaku tanpa dipinta.
“Aku tak menangkan sesiapa, Lia. Memang salah aku. Benda yang dah jadi dah tak boleh diundur lagi. Perkara yang lama tu kita biarkan ajelah. Kita buang yang keruh dan ambil yang jernih.” Islah memutuskan kata. Menasihati Amelia sekaligus menasihati dirinya sendiri.
“Kau nak lupakan apa yang dia buat pada kau dulu macam tu saja?” duga Amelia.
Bibir diketap kemas. Islah tidak mungkin dapat melupakannya. Parutnya masih berbekas. Sampai bila-bila dia akan mengingati tindakan Iskandar padanya dulu.
“Lia...” Islah berhenti lama. Menarik nafas dalam-dalam dan menghembusnya perlahan. Kenangan lama menggamit rasanya. Malu dan pilu bertindan.
“Aku manusia biasa. Apa yang Abang Iskandar dah buat pada aku dulu, aku maafkan. Tapi, untuk aku lupakan apa yang telah dia buat dulu pada aku... aku tak boleh. Sampai bila-bila aku tak boleh lupa, Lia.” Sayu hati Islah mengenangkan dia ditarik rapat ke cermin waktu itu. Dia diperlakukan bagai gadis yang tak punya harga diri.
“Kau cermin muka kau ni dulu sebelum hantar surat pada aku!” Bentakkan Iskandar masih terngiang-ngiang di cuping telinga Islah. Wajah menyinga Iskandar masih terbayang-bayang di matanya.
Hina sangatkah menjadi gadis montel sepertinya dulu? Tidak adakah ruang untuk dia menyimpan perasaan pada mana-mana kaum Adam?
Mata Islah mula berkaca. Dipejamkannya rapat menghilangkan kepiluan di hati. Sabarlah, Islah... pujuk hatinya sendiri.
“Kau okey, Is? Mengantuk tak?” Suara Mikael menegur dari kerusi penumpang menyedarkan Islah. Berderai lamunannya bersatu dengan irama lagu menerusi corong radio.
“Dari tadi lagi aku tengok kau mengelamun. Sekejap kau mengeluh. Sekejap pulak kau tarik nafas dalam-dalam,” ulas Mikael. Sejak dari tadi lagi dia melihat Islah gelisah.
Selepas makan tengah hari tadi, Islah lebih suka berdiam diri. Di kedainya, Islah banyak menghabiskan masa di pejabat berbanding mengira stok kucing dan perkakas lain di dalam kedai dan stor. Selepas menunjukkan dia dan Hisyam beberapa ekor kucing, gadis itu lebih suka mendiamkan diri. Hanya celoteh Amin menggamatkan isi kedai itu.
“Aku okey, Mike. Kau dahaga? Ataupun lapar? Kita singgah di R&R dulu.” Islah membuang pandang menerusi tingkap. Papan tanda bergambar sudu dan garfu menarik perhatiannya. Sekejap lagi mereka akan singgah di hentian rehat. Berhenti makan dan minum sebelum menyambung perjalanan mereka.
If you need a friend, I’m all my ears,” tutur Mikael ikhlas. Bahu Islah digenggam kemas.
Dari gaya Islah, Mikael tahu Islah kini dilanda masalah. Sama ada masalah melibatkan soal hati mahupun keluarga, dia akan cuba membantu.
“Mike... aku okeylah. Kau jangan risau.” Islah cuba berdalih. Islah segan bercerita soal hati dengan sesiapa. Pada Amelia pun tidak. Inikan pula dengan Mikael.
Kau risau pasal abah kau ke?” Soalan Mikael dibiarkan berlalu sepi.
Sejak semalam fikirannya bergilir-gilir memikirkan tentang Iskandar dan abahnya. Dua lelaki yang berbeza di dalam hidupnya. Abah yang dahulunya seorang penyayang bertukar seratus peratus menjadi pendiam, mengabaikan anak-anak dan perengus.
Iskandar pula dulunya pernah meminta dia menghindarkan diri dari lelaki itu dan kemudiannya muncul secara tiba-tiba. Islah dapat rasakan Iskandar cuba mendekatkan diri dengannya. Dua orang lelaki ini, pernah melukakannya. Mereka berdua pernah mencarik isi hatinya lalu meninggalkan kesan yang mendalam.
Abah mencarinya demi menagih kasih sayang dari seorang anak. Mengakui rindukannya.
Manakala, Iskandar muncul tanpa disengajakan. Mereka bertembung sebanyak tiga kali. Lelaki itu bagaikan lupa apa yang telah dilakukannya dulu terhadap Islah... dan kini menghuru-harakan perasaan Islah kembali.
Buktinya, selepas makan tadi, Iskandar tanpa segan silu menarik lengannya jauh dari kawan-kawannya dan bertanyakan padanya mengapa dia menghilangkan diri dulu.
“Dah lama abang cari Is. Baru sekarang jumpa. Tak sangka dunia ni kecil rupanya.” Kata-kata itulah mengganggu jiwa Islah yang tenteram. Benarkah lelaki itu mencarinya sudah sekian lama?
“Patutlah abang terpanggil nak ke airport semalam. Rupa-rupanya akan jumpa Is kat sana.” Iskandar menambah lagi.
Islah hanya beku di sisi lelaki itu. Mujurlah Amelia dan yang lain-lain sudah menapak jauh ke depan menuju ke kereta.
“Kenapa Is cuba lari dari abang? Pandang mata abang. Jawab soalan abang ni, Is.” Bahu Islah dicengkamnya erat. Mahu ditepis Islah, takut nanti disalahertikan oleh orang di sekitar situ.
“Is tak pernah pun lari dari abang. Mungkin abang saja yang perasan macam tu.” Islah melarikan pandangannya. Dia takut nanti perasaannya jadi tak keruan bila bertentang mata dengan Iskandar.
“Abang minta maaf atas apa yang abang dah buat pada Is dulu. Abang menyesal.”
Kali ini tanpa segan silu Iskandar menuturkan maaf. Memang dia menyesal kerana perlakukan Islah dahulu. Kerana malu, gadis itu menghilangkan diri darinya. Sangkanya Islah sudah berhenti dari belajar di situ.
Tetapi selepas mengetahui bahawa Islah belajar di sekolah yang sama, dia cuba menjejaki Islah namun tak berhasil. Dia yakin luka yang dicalarnya dulu terlalu dalam sehingga dia dihukum sehingga kini.
Tak ada apa yang abang nak menyesal. Is dah lama maafkan abang,” luah Islah berhati-hati. Kali ini hatinya tenang selepas mendengar kata-kata maaf terbit dari bibir lelaki itu.
“Kalau Is dah lama maafkan abang, kenapa Is cuba sembunyikan diri dari abang?”
Islah diam menunduk. Waktu itu hatinya masih terluka dengan tindakan Iskandar. Selagi Iskandar di situ, dia tidak akan menunjukkan wajah. Sudahlah hidupnya terumbang-ambing dek kematian ibunya, cerita tentang Iskandar pula menambah beban.
“Waktu tu kita semua tak matang. Kawan-kawan ramai yang minatkan abang. Bila mereka semua dapat tahu Is beri surat pada abang, mereka semua pulaukan Is. Tindakkan abang waktu tu dah malukan Is. Is ambil masa yang lama untuk buka semua mata kawan-kawan kat sana yang Is tak bersalah.” Islah ceritakan kembali apa yang berlaku suatu ketika dulu.
“Lepas saja abang tamat belajar, Is dapat semula kawan-kawan Is. Syukur sangat-sangat,” terang Islah berhati-hati.
“Buat pengetahuan abang, Is tak pernah beri apa-apa surat pada abang. Mungkin waktu tu ada orang cuba kenakan Is. Is cuma nak abang tahu apa yang berlaku dulu hanyalah salah faham.” Terluah jua kata-kata itu.
Dulu dia tidak berani berkata apa-apa pada Iskandar. Ketika memarahinya di kantin sekolah dulu, wajah Iskandar cukup menyinga. Sewaktu mereka membersihkan tandas, Iskandar tak habis-habis mengomel. Wajahnya kelat. Segalanya seperti menunjukkan yang dia ini tidak layak mendampingi Iskandar.
“Is dah lama maafkan abang. Is juga dah lama maafkan orang yang tulis surat pada abang tu. Yang penting, kita berdua dah buka buku baru. Abang bahagia dengan hidup abang dan Is pun bahagia dengan hidup Is.”
“Tapi abang tak pernah lupakan Is. Lepas apa yang berlaku dulu, setiap hari abang teringatkan Is.” Iskandar meluahkan rasa hati.
Memang itu yang dia rasakan dulu hingga kini. Dia tak mampu lupakan Islah lebih-lebih lagi wajah tenang Islah sewaktu dimarahinya dulu. Sehingga kini, Islah masih setenang dulu.
“Mungkin waktu tu abang rasa bersalah pada Is. Sekarang ni Is nak abang tahu yang Is dah lama maafkan abang. Abang boleh teruskan hidup abang dengan tenang sekarang.” Islah cuba yakinkan Iskandar. Dia mula bosan bila perkara yang sama diungkit. Malam tadi Amelia, kini Iskandar pula.
“Abang rindukan Is. Abang betul-betul rindukan Is.” Iskandar cuba memaut jemari Islah tetapi ditepis oleh gadis itu.
“Is dah lama maafkan abang. Cukuplah. Jangan kerana simpati abang pada Is, abang sanggup menipu hati sendiri.” Islah berlalu meninggalkan Iskandar di situ. Hatinya pernah terluka. Mengapa perlu terluka untuk sekali lagi?
Mudahnya Iskandar melafazkan rindu sedangkan ada orang lain yang bertakhta di hatinya.
Ya Tuhan, adakah hati aku dicipta untuk dikecewakan?

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...