Tuesday, October 14, 2014

(Fragmen) Tak Cinta Tak Apa - Bab 6

ISLAH mengambil tempat bersebelahan dengan Amelia. Tekaan Islah malam tadi sama sekali tepat. Wajah Amelia merona merah bila Islah meminta Hisyam duduk di hadapannya manakala Mikael terpaksa mengambil tempat berhadapan dengan Amelia.
Usai menguruskan kerja-kerjanya mengemas kembali kedai haiwan dan mengira semula baki-baki stok di dalam stor, dia mengajak Amelia keluar makan tengah hari bersama. Perjanjian semalam untuk bertemu pada waktu petang dibatalkan kerana Islah terpaksa bertolak lebih awal untuk pulang ke kampung. Walaupun perjalanan mengambil masa hanya dua jam lebih, Islah mahu segera tiba di sana. Tidaklah terkandas dalam lautan kereta pada sebelah petang nanti.
“Macam mana, Lia? Kau berkenan ke tak?” Bibir dirapatkan ke telinga Amelia. Lengan gadis itu disikunya untuk mendapat perhatian sewaktu mereka sedang menapak ke meja yang penuh dengan hidangan. Jauh dari Hisyam dan Mikael.
“Kalau aku tahu kau bawa dia orang sekali, mati hidup semula aku tak datang, Is.” Marah Amelia. Suaranya ditahan supaya tidak didengari sesiapa. Perbualan mereka seakan berbisik sahaja.
“Kau sukalah ni?” Sengihan Islah mengundang rajuk Amelia. Panjang muncung mulutnya.
Mereka berjalan mengelilingi lauk-pauk yang terhidang dan tersusun kemas di atas meja. Apabila mata Islah menerkam ke arah beberapa ekor ikan patin masak tempoyak terus saja dia mencedok isinya lalu diletakkan di dalam pinggan.
“Kau kalau tak makan ikan darat memang tak sah,” tegur Amelia. Sengaja mengubah haluan percakapan mereka tatkala ternampak Islah mencedok isi patin ke dalam pinggannya.
“Jangan nak ubah topik pulak ye.” Pipi mulus Amelia menjadi mangsa cubitan Islah. Membuntang mata gadis itu memberikan amaran.
“Cakaplah... kau suka Mikael ke tak ni?” desak Islah. Sengaja mendesak kawannya yang seorang itu. Amelia, kalau tidak didesak entah sampai bilalah akan membuat keputusan?
“Kau gila ke Is? Kenal pun tak lagi dah nak bercinta? Agaknya kau ni yang tengah mabuk dengan Abang Iskandar tak? Aku dengan Mikael yang jadi mangsa.” Ditepisnya tangan Islah yang melekap di pipi. Pinggannya masih lagi tidak berisi lauk sedangkan pinggan Islah sudah sarat dengan dua jenis lauk berserta ulam-ulaman dan sambal belacan.
“Senior kita tu kau jangan sebut. Ini pasal kau dengan kawan aku yang seorang tu. Aku carikan kau jodoh kau tak nak pulak. Semalam bukan main lagi suruh aku carikan.” Islah mula membebel. Amelia pula mencebir.
Islah berlalu ke meja yang mereka duduki tadi. Kini, giliran Mikael dan Hisyam pula memilih makanan. Niat Islah ingin kenenkan Amelia dan Mikael nampaknya tidak membuahkan hasil. Keluhan dilepaskan perlahan. Kecewa.
“Tak payah nak mengeluh. Kau kahwin dulu barulah aku akan kahwin.” Cepat saja Amelia kembali. Cermin mata berbingkai hitamnya dibetulkan rapat ke wajah.
Islah sekadar diam. Senyum pun tidak, mengeluh pun tidak. Di dalam fikirannnya kini cuma satu. Dia ingin melihat sahabat baiknya itu bahagia berumah tangga.
“Jodoh ni bukan ketentuan kita, Lia. ALLAH yang tentukan. Kalau jodoh aku dah sampai, aku akan kahwin. Kalau waktu tu umur aku 40 tahun baru nak kahwin, macam mana? Kau sanggup ke nak tunggu?”
Tersengih Amelia mendengar syarahan Islah rembang tengah hari itu. Kata-kata Islah ada benarnya. Jika isu itu dibangkitkan pada Islah, ada saja alasannya. Umur mereka bukannya muda lagi. Dua tahun lagi akan menginjak ke angka 30. Kalau di kampungnya pada umur tersebut sudah digelar anak dara tua. Hisy...
Teringat pula Amelia akan bebelan ibunya sejak akhir-akhir ini. Cakapnya tentang hal kahwin saja. Dua orang adik perempuannya sudahpun berkahwin dan beranak-pinak. Dia yang sulung ini masih lagi membujang dengan alasan tak ada jodoh. Kalau disebut tentang cucu oleh ibunya, cepat saja dia memotong kata bahawa ibunya sudah menimang cucu dari adik-adiknya. Sudahnya, perbualan dia dan ibunya berakhir begitu saja. Tak ada kesudahan.
Amelia kasihankan Islah. Selepas peristiwa 12 tahun dulu, Islah bagaikan tawar hati terhadap kaun Adam. Jika Amelia sudah bersedia mahu berkahwin, boleh saja dia menyuruh ibunya di kampung carikan calon suami untuknya. Siapa yang tidak mahu berkahwin dengan doktor? Desis Amelia.
“Aku beri kau dan Mikael masa untuk berkenal-kenalan. Ingat Lia, lelaki yang baik jarang kita nak jumpa sekarang ni.”
Islah merapatkan bibirnya ke telinga Amelia tatkala matanya beradu pada mata Mikael yang sedang berjalan bersama pinggan yang penuh di tangan. Kemudian dia tersengih membalas sengihan Mikael tatkala lelaki itu meletakkan pinggannya di atas meja.
“Is, kita nak bertolak ke kampung pukul berapa?” soal Mikael tatkala dia mengambil tempat duduk di hadapan Amelia. Matanya sesekali melingas menatap wajah merah Amelia.
“Sekarang pukul satu. Pukul tiga kita bertolak balik. Aku nak ke kedai dulu. Nanti aku bawa kau dan Syam ke sana juga. Boleh kau berdua tengok kucing. Manalah tahu berkenan nak beli,” jawab Islah selamba. Kalau bab menjual kucing dengan siapa saja dia akan promosi.
Semalam, sewaktu Iskandar ke kedainya ingin membeli kucing, dia berbesar hati melayan lelaki itu. Dibawanya Iskandar meneroka setiap ceruk kedainya. Dia dengan rela hati menunjukkan beberapa jenis kucing dan menyarankan Iskandar membelinya. Sebab layanan yang dia berikan pada Iskandarlah, Amelia tidak sudah-sudah membebel malam tadi.
“Nak beli untuk siapa? Di pelantar tu bukan boleh bawa pet. Tak pasal-pasal terjun laut.” Ada tawa di hujung bicara Mikael. Apalah Islah ni, kalau nak jual pun tengok oranglah dulu. Aku ni bukannya boleh dengan haiwan berbulu ni. Geli. Matanya bersilih ganti merenung Islah dan Amelia.
“Buah hati?” Duga Islah. Islah canggung dengan Amelia yang kekok makan berhadapan Mikael. Dia berusaha menghidupkan suasana makan tengah hari mereka supaya tidak ketara mengenai kecanggungan Amelia.
“Kau ni, Is. Macam tak kenal aku pulak. Kau sajalah yang carikan untuk aku,” balas Mikael.
Mendengar jawapan Mikael, pantas saja mata Islah mencari wajah Amelia. Tatkala melihat air muka gadis itu berubah rona, lantas dia senyum simpul.
Mereka berempat memulakan suapan setelah masing-masing sudah berada di meja makan dan membaca doa makan di dalam hati. Masing-masing diam menikmati makan tengah hari mereka hari itu.
Hisyam kelihatan sungguh berselera sekali. Lelaki itu langsung tidak mengangkat wajah. Pinggan nasi yang sarat dengan nasi, sayur lemak dan taufu pedas dan satu pinggan lagi berisi ikan bakar, lelaki itu kelihatan berselera. Nampak seperti tidak makan semalaman.
“Kalau macam tu, ni hah... sebelah aku calon yang sesuai untuk kau.” Bahu Amelia ditepuk kasar oleh Islah. Tersedak Amelia dibuatnya. Tiba-tiba saja Islah menyergah. Beri salam pun tidak. Dari tadi mereka asyik makan saja.
Melihat Amelia mengurut dada, cepat-cepat Mikael mencapai gelas berisi air merah di hadapan Amelia lalu dihulurkan kepada gadis itu.
Amelia menyambut lalu menyisip sopan. Segan dan malu bertindih. Jika bukan di hadapan Mikael dan Hisyam, sudah tentu Islah akan dicubitnya geram.
“Amelia tak ikut kita orang balik kampung sekali?” tanya Mikael sopan setelah melihat Amelia menyambung seleranya.
“Lia kerja,” jawab Amelia sopan kemudian menyambung suapan. Masih segan dengan usikan Islah tadi. Apalah yang akan difikirkan oleh Mikael nanti bila Islah memadankan mereka berdua? Kalau Mikael ada hati dengannya tak apalah juga. Kalau tak, buat malu kaum saja! Islah ni kan....
“Kalau kau nak jumpa dengan Lia, hujung minggu dia datang.” Islah menyambung lagi. Sengaja mengusik Mikael pula. Nampaknya Mikael juga seperti ada hati terhadap Amelia. Jika tidak, masakan lelaki itu bertanyakan Amelia soalan yang sebegitu.
“Is...” tegur Amelia lembut. Islah ni, lebih-lebih pulak. Marah Amelia di dalam hati.
“Bolehlah kau tengokkan sekali lembu dan kambing orang kampung kat sana. Beri suntikan ke? Aku ni tak pandai sangat kalau bab jadi doktor haiwan ni. Serah pada kau saja.” Dan berkenal-kenalan dengan Mikael juga. Sambung Islah di dalam hatinya. Senyumannya meleret melihat wajah Amelia masih lagi kemerah-merahan. Comel pulak aku tengok kau malu-malu Lia. Tak adalah macam selalu. Kepoh.
“Eh, Islah!” Sapaan seseorang yang dikenali mematikan selera Islah.
Senyuman yang meleret mati begitu saja. Nasi yang sedang dikunyah enak di dalam mulut terus saja ditelan kesat. Musibah apa pula kali ini?
Kebetulan pulak kita jumpa lagi.” Iskandar tercegat di belakang Hisyam dengan senyuman yang tak lekang di bibir. Sejak dari tadi dia memerhatikan Islah dari jauh. Selepas menghantar Puteri ke kereta, dia masuk kembali ke dalam restoran itu bertemu mereka.
“Abang Iskandar...” tutur Islah perlahan. Dia tiba-tiba jadi serba-salah. Nak sambung makan atau minum air aje? Getus hati kecil Islah. Bingung.
“Abang seorang aje?” Islah cuba menyembunyikan kegugupannya. Suasana meja makan mereka yang tiba-tiba sepi membuatkan dia hilang punca untuk berkata-kata. Tambahan pula, dua pasang mata Mikael dan Hisyam masih tertumpu padanya.
Mikael dan Hisyam turut berhenti makan. Masing-masing bagaikan menanti Islah memperkenalkan gerangan lelaki itu.
“Makan dengan Puteri tadi. Dia dah balik. Abang pun dah nak balik. Kebetulan terjumpa Is kat sini. Abang datang tegurlah...” Jawab Iskandar ceria.
Mata Iskandar tidak lekang dari membalas pandangan mata Islah. Sejak semalam, mereka bertemu secara tidak sengaja. Sekian lama dia mencari Islah, baru kini gadis itu ditemui. Sedikit sebanyak, dia lega.
“Oh...” Sepatah kata terbit dari bibir Islah bagi mengiakan jawapan Iskandar. Dia kehabisan idea. Canggung.
“Boleh abang duduk?” pinta Iskandar.
Alang-alang bertemu Islah, biarlah mereka berbual lebih lama. Malam tadi Iskandar tidak dapat berbual lama dengan Islah memandangkan gadis itu ingin menutup kedainya sewaktu dia dan Puteri melangkah masuk.
Sudahnya, kucing dibeli dengan tergesa-gesa. Dia dan Puteri berdua mahu menghadiahkan kucing tersebut kepada Sharmila, anak buah Iskandar yang berumur lima tahun.
“Duduklah.” Pelawa Islah lemah.
Lemah seluruh urat sendinya melihat batang tubuh Iskandar berdiri tegak di belakang Hisyam. Kalau dia tahu Iskandar turut makan di kedai ini, sudah tentu dia akan membawa kawan-kawannya ke kedai lain.
“Mike, Syam... kenalkan Iskandar. Abang, Is kenalkan ini kawan sekerja Is, Mike dan Syam.” Mikael dan Hisyam sekadar mengangkat tangan ke arah Iskandar.
Tanpa segan silu, Iskandar mengambil tempat bersebelahan dengan Islah. Terjegil mata gadis itu bila Amelia turut menguit kakinya di bawah meja. Apa boleh buat? Dah mereka ditakdirkan bertemu Iskandar di sini. Takkanlah pula Islah nak lari. Nanti apa pula kata Hisyam dan Mikael? Sekarang, hanya perlu bersikap tenang saja.
“Is kerja kat mana sekarang?” Sengaja soalan itu ditanya oleh Iskandar. Walhal dia sudahpun tahu di mana tempat Islah bekerja. Cuma dia tidak menyangka mereka akan bertemu di lapangan terbang kelmarin. Sungguh tak terduga. Penantian selama lima tahun di kampung Islah berakhir dengan pertemuan di lapangan terbang.
Aneh, namun dia amat bersyukur. Berita itu tidak pula dikhabarkan kepada Pak Cik Latifi. Takut nanti lelaki itu ternanti-nantikan kepulangan Islah seperti selalu.
“Kerteh.” Islah menjawab sepatah. Cukuplah lelaki itu hanya tahu tentang tempat kerjanya. Sepanjang tempoh belajar dulu, dia tak habis-habis melarikan diri dari Iskandar. Mujurlah dia di tingkatan empat waktu tu. Mujurlah Iskandar di tingkatan lima. Tak adalah sepanjang tahun akan datang nanti dia perlu bersembunyi lagi.
“Lia?” soalan ditujukan buat Amelia pula. Dari tadi dia lihat Islah dan Amelia asyik berbisik. Perempuan, ada saja yang ingin digosipkan.
“Lia kerja kat klinik haiwan. Jadi doktor haiwan kat situ. Sebelah petang Lia tolong Is kat kedai.” Amelia menjawab ringkas. Nasi di dalam pinggan cepat-cepat dihabiskan. Tiba-tiba sahaja kemunculan Iskandar di situ membuatkan dia berasa canggung. Canggung lepas apa yang telah terjadi suatu ketika dulu dilupakan begitu saja oleh Iskandar. Memang tak guna!
“Jadi kedai kucing semalam tu kedai Lialah?” tanya Iskandar lagi inginkan kepastian. Sewaktu dia ke sana malam tadi, layanan Islah terhadapnya bagaikan Islah terlalu arif dengan kucing-kucing di situ. Tanyalah apa saja, jawapan yang diberikan oleh Islah memuaskan hatinya. Sangkanya itu kedai Islah. Tetapi bagaimana Islah menguruskannya bila gadis itu tiada di situ?
“Tak. Tu kedai Is. Lia tolong saja. Kalau ada pelanggan yang datang nak minta suntikan ataupun rawat kucing-kucing dia orang, Lia boleh buatkan. Lagipun, Is bayar gaji Lia untuk tu.” Amelia terangkan lagi. Islah cuma mendengar. Yang lain-lain juga turut mendengar.
“Wah, maknanya sekarang ni Is ni businesswomenlah jugak ye. Tak sangka pulak abang yang Is ni memang pandai berniaga.” Teruja Iskandar mendengar ulasan Amelia. Matanya kini teralih kepada gadis di sebelahnya. Kalaulah Pak Cik Latifi tahu tentang Islah membuka kedai kucing di sini, sudah tentu dia turut berasa bangga. Mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi?
Kalau dia tidak mengekori kereta yang dipandu Islah malam tadi, sampai sekarang sudah tentu dia tidak tahu kedai kucing di deretan kedai semalam merupakan kedai Islah. Acap kali juga dia makan di restoran deretan kedai itu, namun tak pernah pula bertemu Amelia ataupun Islah.
“Sikit-sikit aje, abang. Modal kecik, kedai pun kecik.” Islah merendah diri. Nasi di dalam pinggannya sudahpun habis. Mereka yang lain pun sudah habiskan nasi di dalam pinggan. Cuma masing-masing belum meneguk minuman saja.
“Abang tak minum sekali?” tanya Islah ragu-ragu. Segan pula jika hanya mereka yang makan tetapi tidak Iskandar.
“Tak apa. Abang dah makan tadi.”
“Dah lama ke Mike dan Hisyam kenal dengan Is?” Sejak tadi, Iskandar lihat dua orang lelaki di hadapan Islah ini hanya berdiam diri. Seorang memang muka tempatan dan seorang lagi berdarah mat saleh. Sedikit sebanyak dia bertanyakan pada diri sendiri adakah Mikael faham apa yang diperkatakan oleh mereka.
“Baru lima tahun. Tapi macam dah 10 tahun kenal.” Mikael jawab selamba. Air di dalam gelas diteguknya. Dia berdiam dari tadi memberikan peluang kepada Iskandar untuk bercakap dengan Islah. Mungkin mereka sudah lama tak berjumpa. Bila berjumpa, tentu banyak perkara yang ingin dibincangkan. Desis hatinya.
“Tak sangka Mike boleh bertutur dalam bahasa kita.” Terkejut Iskandar mendengar jawapan yang terbit dari mulut Mikael. Sangkanya lelaki itu tidak mampu memahami apa yang mereka bicarakan sejak dari tadi.
“Dah lama tinggal kat Malaysia. Bolehlah sikit-sikit,” jawab Mikael merendah diri.
“Abang kerja kat mana? Dalam kad semalam abang pengurus. Tapi tak ada beritahu kerja kat mana. Dengan keluarga ke?” Islah mencelah. Teringat dia akan kad yang dihulurkan oleh Iskandar semalam. Dia sekadar bertanya. Kalau tidak beritahu pun tak apa.
Iskandar diam seketika. Pertanyaan Islah patutkah dijawabnya ataupun dibiarkan sepi saja.
Sebentar kemudian, telefon Islah berdering minta diangkat. Gadis itu bangun menjauhi mereka semua. Dia kembali semula dengan wajah tenang.
“Jom balik.”

Mendengar jawapan Islah, Iskandar mengeluh berat. Dia belum puas menatap wajah Islah. Selepas ini, adakah mereka akan selalu bertemu? Hanya TUHAN sahaja yang mengetahui.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...