Tuesday, September 30, 2014

(Fragmen) Tak Cinta Tak Apa - Bab 5

ISLAH menyandar lesu pada bahu sofa di ruang tamu rumah itu. Setelah menutup kedai dan membawa pulang kucing Bengal dan kucing yang baru ditemuinya tadi pulang ke rumah, Amelia tidak henti-henti mengomel mengenai Iskandar. Merah padam telinganya menelan segala kata-kata Amelia.
Sudahlah ketika berhenti makan di warung di simpang jalan ke rumah mereka ini, Amelia tidak berhenti membebel mengenai layanan terhadap Iskandar di kedai tadi. Balik ke rumah ini pula, bebelan Amelia masih belum mahu reda.
“Aku tak puas hati selagi dia tak minta maaf dengan kau, Is.” Bentakkan Amelia bagaikan anak kecil. Dia lalu menghempaskan tubuh ke atas sofa berhadapan dengan Islah dengan muncung yang panjang.
Mereka berdua sama-sama berbaring di ruang tamu itu mengadap siling rumah sambil menekapkan lengan tangan ke dahi.
Sejak dari tadi lagi Islah membisu. Kata-kata dan nasihat Amelia bagaikan masuk ke telinga kanan, keluar ke telinga kiri. Islah lebih suka membelai-belai kucing yang baru dikutipnya tadi berbanding memberikan sepenuh perhatian terhadap nasihat Amelia.
“Kau dengar tak ni, Is?” Amelia bingkas bangun duduk mengadap Islah. Kakinya disilangkan di atas sofa. Matanya tidak lepas dari memerhatikan Islah. Dia mengetap bibir bila melihat Islah lebih suka mengusap bulu kucing barunya berbanding melayan dia bercakap.
“Ke aku bercakap dengan dinding?” Marah Amelia. Muncung mulutnya melihat Islah buat acuh tak acuh.
“Orang tengah ambil berat pasal dia, dia pulak buat tak tahu aje.” Amelia rebahkan semula tubuh ke sofa. Remote control tv dicapai lalu ditekan butang merah. Dia mencari-cari saluran yang menarik untuk ditonton.
“Aku dengarlah Lia. Telinga ni tak pekak lagi. Yang kau marah sangat ni kenapa?” Islah mendongakkan wajahnya mencari pandangan Amelia dengan nada tenang.
Sepanjang tempoh mereka berkawan, Amelia banyak mengambil berat tentangnya. Sejak dari tingkatan satu lagi mereka berkawan. Suka dan duka mereka kongsi bersama. Segala cerita dalam isi rumah Islah diceritakan pada Amelia.
“Aku cakap kau buat muka toya aje. Mana aku tak geram,” dengus Amelia. Selagi Islah tidak bersuara menyatakan ketidakpuasan hatinya terhadap Iskandar, selagi itulah dia akan mendesak. Islah terlalu baik hati dan selalu berprasangka baik sehingga orang berani menindasnya terutama sekali kes Iskandar ni.
“Lia, kita namakan kucing ni Kanggaru nak tak? Dia melompat macam kanggaru. Lagipun dia tak ada kaki depan. Aku kasihankan dialah, Lia.” Islah mengubah topik perbualan mereka. Daripada mereka bertikam lidah mengenai Iskandar lebih baik mereka bercerita mengenai kucing dan kedainya. Bukankah itu lebih baik?
“Tengok.. mulalah nak lari dari topik tu.” Amelia mula bangun. Dia sudah berjalan ke dapur. Kemudian, kedengaran bunyi peti ais dibuka dan air dituang ke dalam gelas.
“Lia, aku nak air juga. Dahaga sebab dari tadi lagi aku dengar kau membebel.” Laung Islah dari ruang tamu.
Islah menekup mulut menyembunyikan sengihan tatkala melihat Amelia membawa sekotak jus buah berserta gelas kosong sambil menjegilkan matanya.
“Yang pasal Abang Iskandar, ada dia minta maaf dengan kau tadi?” Amelia masih di topik yang sama. Selagi kisah Islah dan Iskandar tidak berakhir dengan aman, selagi itulah dia akan terus menekan.
“Kau ni kenapa tak habis-habis lagi bercerita pasal dia? Cerita tu dah lama berlalu. Aku dah lupa pun.” Islah buat-buat ketawa di hujung kata-katanya. Benarkah dia sudah melupakan lelaki itu? Jika ya, mengapa selama ini nama Iskandar selalu meniti di bibirnya tatkala dia kesunyian?
“Kalau kau dah lupa Is, dah lama kau ada boyfriend, tahu tak?” Amelia menekan perkataan boyfriend. Biar gadis di hadapannya ini sedar akan perasaannya sendiri. Dia tahu hati Islah terluka dek perbuatan Iskandar. Luka itu terlalu dalam sehingga sekarang belum juga sembuh. Dia bukannya mahu mengguris di tempat yang sama cuma dia mahu Islah menuntut kembali maaf dari lelaki itu. Susahkah?
“Itu semua jodoh, Lia. Aku bukannya tak nak cari ataupun memilih disebabkan peristiwa lampau. Tapi buat masa sekarang biarlah aku membujang dulu. Sekurang-kurangnya, aku boleh tumpukan pada kerjaya dan perniagaan aku ni.” Panjang lebar Islah berkata-kata, membalas tekaan yang dilontarkan oleh Amelia.
“Kau bukannya tak tahu syarat aku kerja di tengah laut tu. Selagi aku kerja dengan dia orang selagi tulah aku tak boleh kahwin. Aku takut nanti bila dah bercinta, nak kahwin cepat-cepat. Hah, terkubur macam tu sajalah cita-cita aku selama ni,” terang Islah satu per satu.
Entah kenapa selepas bertembung Iskandar dua kali hari ini, hatinya rasa tidak keruan. Dia tidak pernah sekalipun membenci Iskandar namun ada satu perasaan jauh di lubuk hatinya untuk lelaki itu.
Benarkah dia cintakan Iskandar? Adakah rasa suka dahulu berbunga menjadi cinta? Sedangkan mereka tidak bersua hampir 12 tahun. Satu tempoh yang panjang!
“Yang pasal Abang Iskandar tu, kau tak payah risaulah Lia. Aku dah lama maafkan dia. Kalau dia tak minta maaf dari aku pun, aku tak kisah. Yang penting sekarang, kami dua-dua dah bahagia dengan kehidupan masing-masing.” Setenang yang mungkin Islah meluahkan kata. Buat apa berdendam dan memungut kembali kenangan lalu sedangkan masing-masing sudahpun bahagia?
“Aku rasa dia pun dah lama lupakan apa yang berlaku antara kita orang. 12 tahun tak jumpa, takkanlah semua orang nak ingat lagi. Masa tu tengah tak matang. Emosi pun tak stabil.” Islah cuba menyedapkan hatinya. Mungkin itu tempoh yang akan Iskandar lupakan tetapi bukan dia. Jauh di sudut hatinya, dia sudah lama maafkan Iskandar. Walaupun parutnya masih ada...
“Ini yang aku sayangkan kau Is. Kau ni senang sangat nak maafkan kesalahan orang lain.” Amelia senyum di hujung kata-katanya. Air di atas meja diteguknya sehingga habis.
“Seronok tinggal seorang kat rumah ni?” Setelah habis meneguk segelas jus, Islah kembali menghadap Amelia yang sedang merenungnya tanpa berkedip.
Islah tahu selagi Amelia belum mendapat penjelasan sebenar mengenai dia dan Iskandar, pasti akan dikoreknya. Dia tak mahu panjangkan cerita. Peristiwa terlanggar Iskandar di lapangan terbang tadi biarlah menjadi rahsia.
“Seronok sangat. Tak ada orang kejutkan aku pagi-pagi buta pergi senaman.” Islah ketawa mengekek di akhir kata-kata Amelia. Dia turut menggeleng mengenangkan Amelia lebih suka bergumpal di dalam selimut berbanding mengamalkan kesihatan diri.
“Aku dah susahkan kau jaga rumah ni, Lia. Hendak berhenti sewa, aku nak tinggal kat mana nanti? Kereta di luar tu, takkanlah nak parking di KLIA selama enam bulan pulak? Aku kerja semata-mata bayar parking kereta ajelah.” Keluhan dilepaskan kecil.
Mujurlah Amelia bekerja di sini. Bolehlah dia mengharapkan gadis itu. Sekurang-kurangnya ada orang yang akan tengok-tengokkan rumah dia.
“Apa pulak kau ni. Kau tak susahkan aku, Is. Aku duduk sini pun free. Aku nak bayarkan separuh sewa rumah ni kau tak nak kasi.” Giliran Amelia pula bersuara. Islah cuma mengeluh tatkala mendengar jawapan Amelia. Bagi Islah, kerelaan Amelia tinggal di sini sudah cukup baik baginya.
“Kau dah banyak tolong aku, Lia. Aku tak nak susahkan kau lagi.”
Islah tenang di tempat duduknya. Sesekali matanya meliar memerhati gerak lincah Jaguar berlari-lari mengelilingi kawasan rumah. Menghidu bau isi rumah bagi menyesuaikan diri. Begitu juga dengan Kanggaru.
“Hari ni hari kau Is. Manalah tahu esok lusa aku perlukan bantuan kau pula. Masa tu kau jangan lari sudahlah,” gurau Amelia.
Ketawa Islah mendengar kata-kata Amelia. Takkanlah dia mahu larikan diri pula di saat Amelia perlukan pertolongannya? Sudah banyak dia termakan budi gadis itu.
“Lia... esok aku nak balik ke kampung.” Islah mula menyatakan hasrat. Dari tadi lagi dia tidak berpeluang memberitahu Amelia. Waktu mereka bersantai beginilah Amelia patut diberitahu.
“Abah jatuh dari tangga. Aku nak balik jenguk abah,” sambung Islah tenang.
Mengingati abah membuatkan hatinya jadi sayu. Selama lima tahun dia meninggalkan kampung halaman, selama itulah dia tidak bersua muka dengan abah dan Iszam, adiknya.
Apalah khabar Iszam sekarang? Bersalahnya dia kerana telah mengabaikan Iszam selama ini.
“Kau dah lupa apa yang abah kau buat pada kau dulu?” Mendengar hasrat Islah ingin pulang ke kampung menjenguk abahnya membuatkan Amelia dilanda gusar. Bimbang Islah akan terluka buat kali kedua.
“Abah yang telefon minta aku balik, Lia. Dia cakap dia rindukan aku.” Hati Islah mula dipagut sayu. Mengingati abah sama seperti mengingati ibu.
Selama ibu pergi bertemu ILAHI, Islah tidak pernah gagal melawat pusara ibu di kampung. Setiap kali sehari sebelum tibanya hari raya, dia akan berkunjung ke sana tanpa pengetahuan sesiapa. Sedang orang leka melakukan persediaan menyambut hari raya, dia akan berteleleku di pusara ibu dan menghamburkan air matanya di situ sepuas-puasnya.
“Abah perlukan aku sekarang ni, Lia. Sebagai anaknya, aku kena berada di sisi.” Sayu Islah menyebut perkataan abah.
Sejak dari tadi lagi Amelia hanya mendengar. Dia beralih dari tempat duduk ke sisi Islah. Gadis itu dipeluknya erat meredakan rasa sayu yang mula bertandang.
“Sampai bila-bila aku tak dapat lupakan apa yang abah dah lakukan pada aku. Tapi sebagai anak, aku bertanggungjawab ke atas abah. Walau apa pun yang abah dah buat pada aku, aku tetap darah daging dia.” Pelukan Amelia dibalas erat.
“Terima kasih Lia sebab selalu ada masa aku susah dan senang. Aku tak tahulah apa akan jadi pada aku kalau kau tak ada.”
“Jangan cakap macam tu, Is. Sebagai kawan kau, aku tak sanggup tengok kau susah. Kalau kau perlukan bahu untuk menangis, bahu aku ni ada Is,” tutur Amelia ikhlas. Belakang tubuh Islah diusapnya lembut.
Dahulu sewaktu mereka sama-sama di tingkatan satu dan belajar di asrama penuh, Islah sering membantunya. Dari membelikan dia alatan sekolah sehinggakan Islah tanpa lokek menghulurkan duit yuran sekolah, dia terhutang budi. Kesempitan hidup memaksa dia mengambil saja pemberian Islah tanpa menjanjikan balasan. Tanpa Islah, tak mungkin dia akan berjaya begini.
“Macam manalah kau nak berdepan dengan mak tiri kau nanti, Is?” tanya Amelia dungu.
Mengingati Rosina membuatkan hati Amelia sebal. Dia tidak menduga Rosina sanggup memporak-perandakan keluarga Islah. Entah apalah yang didendami oleh Rosina sehingga sanggup memisahkan Islah dan abahnya.
“Aku tak pernah anggap dia musuh aku, Lia. Kalau dia terima aku dengan tangan terbuka, aku pun akan buat perkara yang sama,” terang Islah tenang.
“Kau yakin ke dia dah berubah?” Islah tidak ada jawapan untuk menjawab soalan Amelia. Baginya, biarlah waktu menentukan segalanya. Esok, dia pasti akan bertemu jawapan tentang Rosina, ibu tirinya, saat dia melangkah kaki ke dalam rumah abah di kampung.
“Kau akan tinggal lama ke kat sana?” tanya Amelia lagi.
Melihat Islah sudah bangun dari tempat duduknya, Amelia turut bangun. Diekorinya Islah ke dapur menyimpan kembali kotak jus ke dalam peti ais dan membasuh gelas yang mereka gunakan tadi.
“Kalau keadaan abah teruk, mungkin aku akan lama kat sana. Tapi kalau abah dah boleh jalan dan uruskan ladang semula, aku akan balik ke sini dalam masa terdekat.” Selesai membasuh gelas dan disusun di atas rak gelas, mereka berdua kembali semula ke ruang tamu. Islah mencapai kucing barunya dan memanggil Jaguar untuk naik ke tingkat atas.
“Nampaknya aku tinggal seorang lagilah. Ingatkan kau bercuti ni adalah teman aku nak berborak,” keluh Amelia mengundang senyuman Islah.
“Kahwinlah, Lia. Barulah kau ada teman nak berborak. Tak adalah kau rasa sunyi bila aku tak ada,” potong Islah pantas. Diunjukkan bekas makanan kucingnya pada Amelia. Meminta gadis itu membantunya membawa ke tingkat atas.
“Nak kahwin macam mana kalau calon tak ada lagi. Carilah untuk aku mana-mana lelaki yang kau rasa sesuai dengan aku di pelantar tu,” pinta Amelia acuh tak acuh. Dipunggahnya bekas makanan kucing ke tingkat atas menuruti langkah Islah.
“Aku kenalkan kau dengan Mikael nak? Dia baru saja peluk Islam. Handsome,” usik Islah.
“Tak mahulah. Berat tanggungjawab aku nanti nak mendidik suami ni, Is. Lainlah kalau aku ni lelaki dan dia tu perempuan. Senang sikit.”
“Tak ada bezanya, Lia. Yang penting kau tak putus asa. Mikael tu mudah belajar. Terang hati. Apa kita ajar, mudah dia ikut. Lagipun, dia baik orangnya. Sesuai dah aku tengok dia dengan kau,” tambah Islah lagi.
Mereka sudah tiba di hadapan pintu bilik Islah. Tombol dipulas dan pintu bilik terbuka luas menyerlahkan isi bilik tersebut.
“Barang anak-anak kau ni nak letak kat mana?” Ketawa Islah mendengar Amelia menyebut perkataan anak. Tahulah dia perkataan itu ditujukan buat Kanggaru dan Jaguar.
“Letak aje kat situ. Nanti aku susun balik,” jawab Islah sambil menuding jari ke arah tepi meja soleknya.
Kanggaru sudah diletakkan di atas katil. Jaguar pula menghidu-hidu bau bilik itu.
Islah memerhati keadaan biliknya. Masih kekal susunannya seperti yang ditinggalkan enam bulan dahulu. Habuk pun tak ada.
“Nasib baik kau dah mandi, Kanggaru. Kalau tak, tentu ibu kau ni letakkan dalam bilik mandi aje tau.” Amelia menghampiri Kanggaru. Ubun-ubun kucing tempang itu diusap lembut.
“Nasib baik kucing pandai cari ubat sendiri. Mujurlah Kanggaru ni makan rumput dan tumbuhan herba. Cepat lukanya sembuh. Taklah berulat kaki yang kena potong ni.”
Amelia membelek-belek kaki Kanggaru yang semakin sembuh. Dia sudah menyuntik vitamin pada kucing ini tadi. Ubat antibiotik juga sudah diberi dan dibawa pulang bersama. Harap-haraplah Kanggaru cepat sembuh sepenuhnya.
“Iyalah, Lia. ALLAH kurniakan kelebihan kucing macam tu. Kalau sakit atau beranak, bolehlah mereka cari ubat sendiri,” tambah Islah. Matanya melilau melihat keadaan sekitar biliknya.
“Rajin kau bersihkan bilik aku, Lia.” Jarinya sempat mencalit meja solek. Merasa habuk-habuk di situ. Tiada.
“Hari minggu aje, Is. Takkanlah aku nak biarkan bilik kau ni berhabuk. Nanti nak lalu depan pintu bilik ni pun, aku takut.” Amelia sudah berlalu ke pintu bilik.
“Hisy... kau ni, Lia. Malam macam ni pun nak cakap benda yang tak elok.”
“Aku bergurau sajalah, Is. Dahlah, aku nak balik ke bilik. Esok kau bertolak balik pukul berapa?” sempat lagi Amelia bertanya sebelum berlalu.
“Petang. Lepas kau habis kerja. Kita keluar makan dulu sebelum aku balik.” Islah sudah menghumbankan tubuh ke atas tilam empuk.
“Mandi dulu baru tidur,” pesan Amelia sebelum berlalu. Pintu bilik Islah ditarik rapat menutup isi bilik tersebut.
Petang esok Islah berhajat ingin menemukan Amelia dengan Mikael. Amelia patut berkenalan dengan Mikael dan Hisyam dulu sebelum membawa mereka pulang ke kampung. Islah kemudiannya bangun. Dia mencapai tuala di dalam almari dan berlalu ke kamar mandi sambil menyanyi riang. Tak sabar rasanya melihat reaksi Amelia nanti. Gadis itu, kalau bercerita tentang lelaki, wajahnya tentu berubah rona. Mulut punyalah becok tetapi bila bertemu lelaki terus saja diam.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...