Thursday, September 18, 2014

(Fragmen) Tak Cinta Tak Apa - Bab 4


SELEPAS menghantar Mikael dan Hisyam di hotel, Islah memandu sendiri keretanya ke kedai kucing. Amin, pembantu kedai merangkap pengurus kedai kucingnya hanya senyap duduk di bahagian sebelah pemandu.

“Kenapa dari tadi Amin senyap aje? Amin ada masalah ke?”

Islah memulakan bicara. Setelah enam bulan tidak bersua muka dan hanya berhubung menerusi telefon, baru kini mereka boleh bercerita panjang. Waktu bercuti sajalah Islah mencuri peluang mengenali satu-satunya pekerja tetap dia itu.

Sejak membuka ISTANA lima tahun yang lepas, Aminlah yang banyak menyumbang tenaga. Aminlah satu-satunya pekerja yang lekat bekerja di kedainya. Lelaki muda ini menguruskan kedainya dengan baik. Islah tidak pernah meragui Amin. Amin diberikan kepercayaan sepenuhnya menguruskan kedai. Dari kerja menjual sehingga kerja mengambil pekerja sambilan, tugas itu tergalas di bahu Amin.

Berumur dalam lingkungan 24 tahun dan berkelulusan ijazah perniagaan, kerja-kerja Amin begitu memuaskan. Dengan adanya Amin, perniagaan kucing bertambah maju. Amin bijak mengatur strategi. Kerana itu, Islah tanpa ragu-ragu menggaji Amin dengan bayaran yang setimpal.

“Amin tak suka tinggal kat rumah yang kakak sediakan tu ke?” soal Islah tenang.

Islah cuba mencungkil apa yang tersirat di dalam hati Amin. Selalunya, setiap kali Amin mengambil dia di lapangan terbang, mulut lelaki muda itu banyak berceloteh. Amin becok bercerita mengenai pelanggan-pelanggan yang datang, kepenatan menguruskan kucing-kucing berbulu tebal dan kerenah pekerja-pekerja sambilan.

“Bukan macam tulah, kak. Rumah teres dua tingkat tu lebih dari keperluan  Amin.” Tingkah Amin. Nadanya bersahaja. Wajahnya juga setenang tadi. Cuma dia tidak banyak bercakap seperti selalu. Itu saja.

“Habis tu? Amin dah dapat kerja yang lebih bagus ke?” selidik Islah lagi. Matanya tidak lepas dari memerhati kereta-kereta yang bergerak pantas menuju ke destinasi masing-masing. Dalam waktu yang sama, dia memandu dengan berhati-hati. Mengelak dari perkara yang tidak diingini berlaku.

“Betul ke kakak nak balik kampung?” soalan Islah tidak berjawab sebaliknya Amin pula yang menyoal.

Baru kini Islah tahu mengapa anak muda itu berdiam diri sejak dari tadi lagi. Kemudian Islah tersenyum panjang.

“Ya, Amin. Kakak kena balik kampung. Ada urusan penting kat sana,” jawab Islah jujur dan tenang.

“Habis tu, kakak tak adalah kat sini sepanjang cuti enam bulan ni?” soal Amin lagi.

Islah pantas mengangguk. Mengiakan soalan Amin.

“Insya-Allah kakak akan datang ke sini dalam sebulan sekali untuk jenguk kedai,” jawab Islah ringkas. Perubahan sikap Amin menyebabkan Islah terpaksa pulang ke kampung untuk mencuit hatinya.

“Habis, siapa yang nak jaga kedai?” Rengek Amin.

“Aminkan bos? Aminlah yang jaga kedai,” pujuk Islah. Tangannnya pantas memulas stereng kereta ke deretan kedai. Kedai kucingnya berada sebaris dengan deretan kedai-kedai menjual barangan memancing dan cyber cafĂ©.

“Amin pekerja. Kakak bos. Amin nak kakak ada sekali. Kita boleh jaga kedai sama-sama. Macam selalu yang kakak buat,” bentak Amin lembut.

Selepas mendengar keputusan Islah mahu pulang ke kampung sepanjang cuti enam bulannya membuatkan Amin berkecil hati. Sudah sekian lama dia menanti kepulangan Islah. Sebagai anak yatim piatu, dia tidak punya sesiapa kecuali Islah. Dia sudah menganggap Islah seperti kakaknya sendiri. Segala suka dan duka dikongsi bersama Islah. Kini, kakaknya itu pula mahu menjauhkan diri daripadanya.

“Kakak owner. Amin pengurusnya. Orang lebih kenal Amin. Kedai ni pun dah macam kedai Amin. Pelanggan lebih mesra dengan Amin berbanding kakak tau.” Ubun-ubun Amin diusapnya lembut. Walaupun berusia 24 tahun, Amin bagaikan anak kecil. Amin inginkan perhatian. Jika bukan dia, pada siapa lagi yang ingin Amin tuju?

Islah mematikan enjin kereta. Pintu bahagian sisi tempat duduknya dibuka lalu dia keluar dari perut kereta. Kereta yang dibeli dengan hasil titik peluhnya bekerja di pelantar minyak dijaga rapi oleh Amin. Kereta ini juga sekali-sekala digunakan oleh Amin untuk ke tempat kerja. Bergilir-gilir dengan keretanya sendiri.

“Tapi Amin nak kakak ada kat sini sepanjang kakak cuti.” Amin turut keluar dari dalam perut kereta. Pintu ditutup rapat dan dia berlari-lari anak menyaingi langkah Islah menuju ke kedai haiwan mereka.

“Kalau tak ada aral melintang, kakak akan datang ke sini seminggu sekali, boleh?” Kali ini Islah menambah jumlah lawatannya ke sini. Biar hati Amin lembut bila mendengar rancangannya ini. Selebihnya, dia sebenarnya tidak mahu berjanji. Takut nanti tak dapat tunaikan.

Langkah Islah terhenti. Ditolehnya ke arah restoran yang baru dibuka di hujung deretan kedainya.

“Amin, kat hujung sana ada kedai makan baru buka ke?” Amin turut sama berpaling ke arah kedai yang dimaksudkan oleh Islah.

“Ya, kak. Baru saja buka sebulan yang lepas. Bagus juga ada kedai makan tu, ramai yang singgah di kedai kita juga. Ada yang datang tengok dulu kemudian baru beli. Ada juga yang datang dan terus beli kucing. Perniagaan kita bertambah maju.” Amin terangkan bersungguh-sungguh.

“Alhamdulillah,” ucap Islah syukur. Dia kembali mengatur langkah menuju ke kedainya. Amin pantas mengekori. Isu Islah ingin bercuti di kampung terus luput dari ingatannya.

Baru saja mahu melangkah masuk ke dalam kedainya, langkah Islah terhenti sekali lagi. Matanya tertancap ke arah seekor binatang yang sedang melompat-lompat di hadapan restoran tadi. Lama dia mengamati haiwan tersebut sebelum bibirnya beristighfar beberapa kali. Tanpa membuang masa, terus saja dia melangkah pantas menuju ke arah haiwan tersebut.

“Ya ALLAH, apa yang orang dah buat pada kucing ni?” Lemah lutut Islah tatkala matanya tertancap pada kaki depan kucing tersebut sudah tiada.

Air matanya mula berlinang mengalir di pipi. Kucing berbelang hitam itu diangkat dan dipangkunya ke atas riba. Tangannya membelek-belek kaki hadapan kucing tersebut yang sudah kudung.

“Kenapa Amin tak bawa balik ke kedai?” soal Islah sayu. Suaranya bertingkah dengan tangisan. Jiwanya tersentuh melihat kepayahan kucing itu melompat-lompat seperti kanggaru. Nampak begitu payah dan menyeksakan.

“Amin tak pernah nampak kucing ni sebelum ni, kak. Kalau Amin nampak, tentu Amin dah bawa ke kedai,” jawab Amin pantas. Dia turut berasa sedih ke atas nasib kucing tersebut. Siapalah yang tergamak memotong kaki hadapan kucing ini?

“Kita ambil dia dan bawa ke kedai.” Islah bangun dan mendukung kucing itu bersama. Mengenangkan nasib kucing itu mencari makanan di dalam tong sampah dan di kedai-kedai makan membuatkan hati Islah dipagut sayu. Tentu sukar melalui hidup yang tidak sempurna begini.

Masuk saja ke dalam kedai, Islah disambut mesra oleh Dr Lia, doktor haiwan di kedai itu selaku sahabat baiknya sejak mereka belajar di tingkatan satu. Sewaktu membuka kedai haiwan ini dulu, Islah dan Amelia telah berpakat untuk berkongsi perniagaan bersama-sama. Kedai haiwan dibuka berkongsi dengan klinik haiwan. Sebagai doktor yang bekerja di klinik haiwan kerajaan, Amelia akan datang ke kedai ini pada waktu tamat kerja.

“Kenapa ni, Is? Masuk ke dalam kedai saja mata dah basah.” Amelia menegur mesra.

Selepas melayan kerenah pelanggan yang membawa kucing ke situ untuk diberi suntikan vaksin, dia ke bahagian hadapan kedai membantu dua orang lagi pekerja sambilan di kedai itu.

“Lia, kau tolong tengokkan kucing ni sekejap. Aku jumpa dia kat depan kedai makan hujung sana,” pinta Islah tanpa menjawab soalan Amelia. Kucing yang berada di dalam dukungannya sudah bertukar tangan kepada gadis berkaca mata berbingkai hitam itu yang mengenakan kot putih.

“Eh, kenapa dengan kaki depan kucing ni?” Buntang mata Amelia melihat kaki hadapan kucing tersebut yang kudung.

“Itu yang aku nak kau check. Takut kuman di hujung kaki yang kudung tu merebak. Lagipun, kucing ni terbiar saja. Tengok pada telinganya, dah berkuping kurap. Kasihan aku tengok dia, Lia,” terang Islah ringkas.

“Iyalah. Aku bawa dia ke belakang dulu.” Amelia berlalu dengan rasa kasihan yang menebal. Geramnya dia kepada insan yang tak berperikemanusiaan memotong kaki kucing tersebut. Sepanjang dia menjadi doktor haiwan, tidak pernah dia menghadapi situasi sebegini lagi.

“Nanti aku ke belakang sekejap lagi,” laung Islah lembut. Hatinya masih sakit mengenangkan nasib kucing tersebut. Mujurlah kucing itu ditemuinya. Jika orang lain, tak tahulah apa yang terjadi. Dia sudah memasang niat untuk membawa kucing itu pulang ke kampung nanti. Dia mahu menjaga kucing itu sehingga sembuh.

“Amin, mana Jaguar? Dia sihat?” Fikiran Islah mula beralih kepada kucingnya yang ditinggalkan sepanjang dia bekerja. Dimintanya Amin menjaga kucing jenis benggal itu setiap kali dia ke pelantar.

“Ada. Jaguar tu kan dah macam anak akak? Mestilah saya jaga baik punya.” Pertanyaan Islah dijawab dengan nada ceria. Sambil itu, Amin berjalan menyusuri sangkar-sangkar kucing yang tersusun kemas di tepi dinding.

“Mana?” Mata Islah mencari-cari kelibat kucingnya di dalam sangkar kedai itu. Pelbagai spesis kucing yang dijual di kedainya. Ada yang diimport dan ada juga yang dibeli melalui internet.

“Ini hah...” Amin merapati bersama Jaguar. Kucing itu dibiarkan berjalan-jalan di sekitar kedai dengan tali terikat di leher. Takut nanti Jaguar tiba-tiba saja berlari keluar dari kedai. Tentu payah Amin mahu mencari nanti.

Pantas saja Islah mendapatkan kucingnya. Dipeluk dan diciumnya kucing itu bagi melepaskan rindu. Tindakan Islah ibarat ibu yang meninggalkan anaknya untuk tempoh yang panjang.

Amin tersenyum meleret melihat tingkah Islah. Itulah rutin Islah setelah kembali ke darat. Bertemu dengan kucing kesayangannya terlebih dahulu dan melepaskan rindu barulah Islah akan bersua muka dengan pekerja-pekerja sambilan dan memeriksa keadaan kedainya.

Senyuman Amin bertukar menjadi sengihan panjang tatkala Islah membahasakan dirinya ibu dan berbual-bual dengan kucingnya.

Ada-ada sajalah akak ni, desis hati Amin. Dia berlalu ke kaunter kedai, membiarkan Islah bermesra dengan kucingnya. Sekejap lagi Islah akan memanggilnya bertanya tentang perniagaannya dan pekerja sambilan. Dia sudahpun bersedia.

Mata Amin mengerling ke arah jam. Sudah hampir pukul 9 malam. Kedai akan ditutup pada pukul sepuluh. Dia perlu meneliti jumlah kucing, makanan, barangan kucing yang lain serta bilangan kucing yang dibawa tuannya bertemu dengan Dr. Lia.

“Kak, dah nak pukul 9 ni. Akak belum kenal lagi dengan budak-budak part time kita.” Melihat Islah ralit dengan kucingnya, Amin menegur lembut.

“Ha’ahlah... kakak lupa pulak. Mana dia orang?” Islah bangun semula. Tali yang tergantung pada leher Jaguar digenggam kemas. Bimbang Jaguar berlari-lari di sekeliling kedai dan menganggu pelanggan.

“Ini hah. Sejak dari tadi lagi tunggu kakak kenalkan diri.” Amin tersengih. Ditunjukkan dua orang gadis muda yang sedang berdiri menghadap Islah.

“Lisa dan Anis.” Tangan dihulurkan dan mereka berjabat tangan mesra.

“Belajar lagi?” soal Islah mesra.

“Ya bos. Belajar lagi. Cari duit lebih untuk belanja makan.” Gadis yang bernama Lisa menjawab dengan jujur.

“Tak payah panggil bos. Panggil kakak saja. Amin panggil kakak, orang lain pun panggil kakak jugak.” Mesra Islah melayan pekerjanya. Jari-jemarinya memaut kedua-dua jemari gadis di hadapannya itu.

“Amin layan Lisa dengan Anis macam mana, okey?” tanya Islah menduga. Setahunya, Amin dan pekerja sambilan memang rapat. Tidak pernah dia mendengar aduan daripada mana-mana pekerja yang pernah bekerja di situ tentang Amin.

“Abang Amin baik dengan kami, kak,” jawab Anis lembut.

Islah menyembunyikan senyuman tatkala mendengar Anis menyebut perkataan abang. Dari mata Anis, Islah dapat mengagak Anis ada hati terhadap Amin. Lihat saja lirikan mata Anis, pasti mengena ke arah Amin.

“Seronok kerja kat sini?” soal Islah lagi. Niat untuk mengusik Amin disimpan dulu. Bila Lisa dan Anis berlalu nanti, baru lelaki muda itu akan diusiknya.

“Seronok, kak. Kami berdua memang sukakan kucing. Kebetulan kedai ni tengah cari pekerja sambilan. Jadi, kami datang ke sini mohon kerja. Tak sangka dapat pulak,” jawab Lisa bersungguh-sungguh. Anis hanya mengangguk. Bibirnya tidak lekang dari senyuman.

“Baguslah kalau Lisa dan Anis suka kerja kat sini. Datang kerja dengan apa?” soal Islah lagi.

Dahulu tugas Amin menjemput dan menghantar pulang pekerjanya. Tetapi kalau dengan gadis berdua ini, tidak tahulah dia. Kesibukkan di pelantar memaksa Islah menyerahkan seratus peratus tanggungjawab ke atas bahu Amin.

“Dengan motor, kak.” Ringkas jawapan Lisa.

“Kenapa Abang Amin tak jemput?” Sengaja Islah menekan perkataan abang. Wajah Amin dilihatnya berubah warna dan serba salah.

“Anis segan, kak. Jadi, kami ke sini dengan motor. Lagipun, tak nak menyusahkan Abang Amin.” Jawab Lisa dipihak Anis. Kata-kata Lisa bagaikan menyimpan rahsia antara mereka bertiga.

Kening kiri Islah terangkat. Dia mengerling ke arah Amin yang serba salah.

“Nanti claim dengan Abang Amin, tau.”

Setelah mengarahkan Lisa dan Anis bersiap untuk pulang, Islah merapati Amin yang sedang berpura-pura sibuk di kaunter pembayaran.

“Pandai simpan rahsia dengan akak sekarang.” Islah mencuit pinggang Amin.

“Rahsia apa pulak, kak?” Amin berpura-pura tidak mengerti. Telinganya sudah merah menahan malu.

“Tak beritahu akak pun yang Anis tu siapa?” usik Islah lagi. Buku kira-kira dihadapan Amin ditutup.

“Kak, Amin tengah imbangkan duit ni...” Amin merengek manja.

“Amboi! Merengek mengalahkan budak sekolah. Bercinta tak beritahu akak pun. Pandai ye.” Islah membuka kembali buku kira-kira.

Amin menyambung kembali tugasnya. Dibiarkan saja Islah berbicara. Dia malu bila Islah mengetahui isi hatinya tanpa dia sendiri bercerita.

“Nampaknya adik akak ni dah matang. Kalau macam tu, kakak tak payahlah datang ke sini seminggu sekali. Kakak datang sebulan sekali sajalah.”

“Kak... janganlah macam ni,” pujuk Amin. Dia tidak rela berjauhan dengan Islah. Islah ibarat keluarganya. Gadis itu tempat dia mengadu.

“Amin baru saja kenal dengan Anis. Bila Amin betul-betul kenal dia, barulah Amin beritahu kakak,” terang Amin bersungguh-sungguh.

“Kakak bergurau sajalah, Min. kalau Amin dengan dia pun apa salahnya. Orangnya manis, lemah-lembut dan bersopan-santun. Kakak dah berkenan ni. Bilalah agaknya boleh makan nasi minyak ni?” usik Islah.

“Amboi, baru kenal lima minit dah mula berkenan. Dasyatlah akak ni.”

“Dari kerana mata, yang mempunyai kuasa... oh aku tergoda, aku tergoda terkecewa... dari kerana mata...” Islah menyanyi kecil. Pipi Iszam dicuitnya nakal. Sengaja mengusik.

“Kakak kahwin dulu barulah Amin menyusul.” Masam mencuka Amin diusik oleh Islah.

Baru saja ingin menambah usikkan, deheman seseorang memaksa Islah mengangkat wajah. Tatkala terpandangkan wajah Iskandar di depan kaunter, lidah Islah mula kelu. Matanya bergilir-gilir merenung Iskandar dan Puteri Adelia di sisinya.

“Is, aku dah periksa kucing tu. Dari tadi lagi aku tunggu kau kat belakang. Janji nak jenguk, tak jenguk-jenguk pun.”

Amelia yang baru muncul di kaunter pada mulanya kecoh kemudian juga terkedu. Matanya tertancap pada wajah Iskandar lama. Bibirnya beku. Lidahnya turut kelu.
       “Abang Iskandar...” Lama barulah nama itu meniti di bibir mungil Amelia. Cermin mata dibetulkan bergilir-gilir menatap wajah serba-salah Islah dan wajah tenang Iskandar.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...