Tuesday, September 9, 2014

(Fragmen) Tak Cinta Tak Apa - Bab 3




FIKIRAN Iskandar terganggu dek pertemuan tanpa disengajakan tadi. Peristiwa lampau bermain-main di benak fikirannya. Celoteh Puteri Adelia bercerita tentang bumi Australia bagai masuk telinga ke kiri dan keluar ikut telinga kanan.


Hubungan ibu bapa yang terpisah menyebabkan Puteri Adelia terpaksa berulang-alik dari Malaysia ke Australia untuk melawat ibunya di sana. Kadang-kadang, Iskandar kasihankan gadis itu. Kerana ibu bapa bercerai-berai, anak yang menjadi mangsa. Terpaksa pula Puteri Adelia berulang-alik semata-mata mahu menjaga hati kedua-dua belah pihak.

Mata Iskandar masih tertancap pada jalan raya namun, fikirannya melayang kepada wajah milik gadis yang ditemui tanpa disengajakan di lapangan terbang tadi. Kereta dipandu perlahan mengikut rentak pemandu-pemandu lain di atas jalan raya.

Suara Puteri Adelia masih bertingkah dengan irama pop muzik barat dari corong radio. Sejak dari tadi lagi, Puteri Adelia bercerita dengan wajah gembira. Iskandar pura-pura mengangguk tanda mengerti. Walhal, fikirannya masih kepada gadis yang dilanggarnya tadi. Wajah dan mata berwarna hazel milik gadis itu membuatkan dia mengimbas kembali kenangan di zaman persekolahan dulu.

WAKTU itu malam semakin melabuhkan tirai. Dia dan beberapa orang rakan sesudah tamat berlatih ragbi di padang berjalan seiringan menuju ke asrama putera.

“Is, aku dengar ada junior minat dengan kau.” Kata-kata Jufri, salah seorang kaki lapor dalam pasukan ragbi mereka membuatkan Iskandar langsung tidak terkutik. Dia sudah biasa mendengar sesiapa bercerita dia menjadi secret admirer seseorang. Kadang-kadang dia berasa bangga dengan kelebihan yang dimilikinya dan kadang-kadang juga dia rimas menjadi buruan remaja-remaja nakal yang mahu mendekatinya.

“Kau ni Ju, takkan kau tak kenal dengan kawan kita seorang ni. Diakan ramai peminat? Bukan setakat junior, senior kita dulu pun minat dekat dia tau.” Fauzi yang hanya dipanggil Ji menyampuk. Bahu Iskandar ditepuk bangga. Bangga kerana berkawan dengan orang popular seperti Iskandar. Sudahlah anak orang berada, rupa pula menjadi kegilaan ramai.

“Tapi budak ni lain sikit.” Langkah Iskandar terhenti. Dia tunduk. Berpura-pura membetulkan tali kasut yang meleret ke tanah.

Baru-baru ini, dia ada menerima sepucuk surat dari junior. Berbakul-bakul dia menerima pujian dari gadis itu. Sedikit sebanyak, kembang-kempis hidungnya kerana bangga dengan diri sendiri.

Permintaan gadis itu untuk menjadi adik angkatnya masih difikirkan sehingga kini. Dia sebolehnya ingin berjumpa dulu dengan gadis tersebut. Dia mahu berkenal-kenalan. Jika cantik, bukan saja adik angkat malah dia akan mengambilnya sebagai kekasih yang entah nombor ke berapa. Kalau tidak cantik pula dia akan tolak mentah-mentah.

Surat yang berakhir dengan nama Isabella membuatkan tidur malamnya tidak nyenyak. Dia mula terbayangkan wajah si pemilik. Adakah orangnya seindah namanya? Dia cuba merisik pemilik surat itu namun tidak berhasil.

“Lain yang macam mana, Ju?” Fauzi mendesak. Masing-masing berhenti menanti Iskandar berdiri tegak dan menyambung langkah.

“Budak tu gemuk. Tak padan dengan kau Is.” Terjuih-juih mulut Jufri mengata orang. Lelaki itu tidak pernah kalah ketika memperlekehkan sesiapa. Cerita yang hanya secubit akan ditambahnya menjadi segunung.

“Kau ni Ju, kalau mengata orang nombor satu. Dia pun manusia juga. Dia ada perasaan. Kalau dia minat dengan Is pun apa salahnya. Bukannya Is minat dekat dia. Is dah ada buah hati. Puteri tu, dari kecil lagi berkawan dengan Is.” Fauzi memangkah kata-kata Jufri. Berkerut dahi Fauzi menasihati Jufri. Namun, Jufri hanya menjuih. Menunjukkan tanda tidak suka bila kata-katanya disangkal kawan sendiri. Selebihnya, dia tidak suka dinasihati.

Iskandar cuma mendengar. Fikirannya cuma satu. Ingin kenal dengan empunya diri yang ingin mengambilnya sebagai abang angkat. Cerita Jufri dan sepucuk surat yang diterimanya menjadi tanda tanya buat Iskandar.

“Aku ada dengar dia bagi kau surat. Betul atau tak aku tak tahulah. Tapi kalau betul aku tak tahu nak cakap apa.” Jufri langsung tidak mengendahkan kata-kata Fauzi. Dia semakin galak bercerita.

Berderau darah Iskandar tatkala mendengar perkataan surat. Baru saja tadi dia berfikir-fikir mahu menyelidik lagi gerangan yang mengutus surat padanya tempoh hari.

“Aku bukannya apa, Is. Budak tu tak cermin diri dia dulu sebelum minat kat kau. Siap hantar surat lagi. Kalau akulah, taubat aku sedar diri. Tak ada aku hantar surat lepastu heboh kat semua orang yang kau ni abang angkat dia. Bukan main bangga lagi dia cerita kat semua orang. Sebagai kawan rapat kau, aku malu bila dapat tahu yang kau ada adik angkat macam tu.” Panjang berjela Jufri bercerita. Panjang berjela juga Jufri mengata. Kalau didengari oleh empunya diri sudah pasti berkecil hati.

Merah padam telinga Iskandar menahan malu. Bukan main beriya dia ingin menyelidik gadis misteri yang menghantar surat padanya. Rupa-rupanya, sudah heboh satu sekolah bahawa dia secara tidak rasmi menjadi abang angkat kepada pemilik surat tersebut merangkap gadis yang diceritakan oleh Jufri. Malunya!

“Betul ke cerita kau ni, Ju? Ke kau reka cerita aje?” Sangkal Fauzi. Dia tidak mahu Jufri tuduh melulu. Cerita yang sampai dari mulut ke mulut bukannya sahih. Tambahan pula dari mulut Jufri. Ada saja yang akan ditokok-tambah.

“Betullah. Aku dengar sendiri dari junior. Heboh dia orang bercerita pasal kau dengan budak tu. Kalau tak silap aku, namanya Is juga. Is apa aku tak tahulah.” Rengus Jufri. Cerita yang tidak dipercayai oleh Fauzi menyebabkan Jufri sakit hati. Bukan semua cerita yang dibawa olehnya tidak benar.

“Kalau kau tahu siapa yang bawa cerita ni lagi elok. Boleh aku jumpa dengan dia terus. Tak payah nak dengar cerita dari orang lain.” Iskandar yang sejak dari tadi lagi hanya mendiamkan diri kali ini bersuara. Sarat fikirannya mendengar cerita yang disampaikan oleh Jufri.

“Tak ada masalah. Esok aku bawa kau jumpa dengan budak tu.” Jufri mengangguk yakin. Mereka sudah pun tiba di dewan makan asrama.

“Korang makanlah. Aku tak ada selera nak makan petang ni.” Iskandar mengambil laluan yang berbeza dari hari-hari sebelum ini. Dia mahu segera sampai ke asrama. Perut yang kosong selepas bermain bagai terisi penuh dengan cerita Jufri. Hilang selera makannya mengenangkan surat biru yang disimpan kemas di dalam laci mejanya.

Rasanya mahu saja dia berlari ke biliknya dan mengonyak-ngoyak surat tersebut. Hatinya mendidih mengenangkan gadis yang digambarkan tidak serupa realiti. Tercabar egonya bila mengenangkan diri mudah terpedaya dengan kata-kata manis dalam surat tersebut.

“Aik, selalunya dia yang ajak kita berdua makan.” Fauzi yang terkesan dengan perubahan wajah Iskandar segera bersuara. Wajah mendung sahabatnya itu direnung tanpa berkedip sebelum hilang dari pandangannya.

Esoknya seperti yang dijanjikan sendiri oleh Jufri, Iskandar dibawa bertemu dengan gadis yang dikatakan oleh Jufri semalam. Tempat yang menemukan mereka berdua dipilih jauh dari orang ramai supaya tidak diketahui orang.

Waktu itu adalah waktu makan tengah hari. Semua orang sibuk menjamu selera di dewan makan manakala Iskandar, Jufri dan Fauzi melakukan agenda lain.

“Aku dah janji nak belanja dia makan tengah hari di kafe kalau dia datang jumpa kita.” Jufri resah di tempat duduknya sendiri. Sudah setengah jam mereka menunggu namun kelibat orang yang dinantikan tidak kelihatan juga.

“Kalau lima minit lagi dia tak datang, aku nak balik asrama. Sekejap lagi nak ke surau solat zohor berjemaah. Lagipun kita tak makan lagi ni, Ju. Banyak lagi benda lain yang nak dibuat daripada tunggu budak tu,” rengus Iskandar. Dia paling tidak suka dengan orang yang hanya pandai berjanji tetapi tidak pandai menepati.

“Aku tahu. Sekejaplah... aku yakin dia datang.” Kepala yang tidak gatal digaru dengan hujung jari. Menanti gadis itu membuatkan Jufri sendiri resah. Takut nanti dimarahi oleh Iskandar jika tidak jadi bertemu.

“Hah, itupun dia!” Teriakkan Jufri membuatkan tubuh mereka bertiga yang lesu kembali segar. Jari Jufri yang menuding ke arah seorang gadis yang melenggang menghampiri mereka menjadi sasaran dua pasang mata milik Iskandar dan Fauzi.

“Lama ke korang tunggu?” Rosina tiba dengan muka yang tidak bersalah. Dia lalu mengambil tempat berhadapan dengan Iskandar.

“Setengah jam kami tunggu tau, Ros! Kalau berjanji, kenalah tepati,” sindir Jufri. Geram dengan Rosina yang datang tanpa rasa bersalah. Berpeluh mereka bertiga menanti Rosina di gazebo itu sejak dari tadi lagi. Rosina pula datang dengan wajah yang selamba. Naik bengang Jufri dibuatnya.

“Dah aku singgah makan dulu tadi, memanglah ambik masa lama sikit.” Jufri mengerling tajam ke arah Rosina. Sudahlah tidak menepati masa, tidak hormatkan senior pula tu. Cakap berkau beraku. Geram sungguh Jufri.

“Apa yang kau orang bertiga nak tahu? Pasal Islah? Takpun pasal Isabella?” Terus Rosina menerjah ke isu yang mereka janjikan semalam membuatkan Iskandar semakin ingin tahu. Matanya mengerling nakal ke arah Iskandar. Sengaja mencari riak wajah Iskandar bila disebut Isabella.

“Dia ke yang hantar surat ni?” Iskandar menarik sepucuk surat dari dalam poket seluarnya. Dihulurkan kepada Rosina untuk dibaca isi kandungannya.

Ternyata Fauzi dan Jufri terkejut melihat surat yang diceritakan semalam wujud. Sepucuk surat itu beralih dari tangan ke tangan untuk dibaca isinya.

“Ini tulisan tangan Islah. Aku kenal dengan dia. Dia budak kampung aku. Huh, dasar budak kampung, ada hati guna nama Isabella.” Setelah menyudahkan bacaan, Rosina membuka mulut.

“Tak sangka betul aku dia ada hati kat kau, Is. Perempuan tu tak sedar diri agaknya!”

Ada tawa di hujung kata-kata Rosina. Tawa itu seakan menyindir Iskandar. Makin sakit hatinya Iskandar.

“Dah heboh satu batch yang kau dengan Islah beradik angkat,” tambah Rosina lagi.

“Islah tu ada hati nak ajak kau couple dengan dia. Semua orang dah tahu Is. Semua orang dah tahu cerita kau dengan dia. Puteri pun dah tahu.” Rosina menambah lagi.

Sebaik saja mendengar nama Puteri Adelia disebut, telinga Iskandar bagaikan dijentik. Secara tak langsung, dia bingkas berdiri tegak dan menumbuk tiang gazebo tersebut dengan sekuat hati.

“Tak guna!” Marahnya meluap-luap. Merah padam telinganya menahan rasa.

“Mana dia? Bawa aku jumpa dengan dia sekarang. Biar aku ajar budak tu. Dia belum kenal lagi aku ni siapa. Ini Iskandar tau!” Beg sekolah dikendong kasar. Kertas biru di atas meja tercoret ayat-ayat cinta digenggam sehingga lumat. Hatinya makin sakit mengenangkan Puteri Adelia. Apa kata gadis itu tatkala mendengar cerita cinta dia dan Islah?

“Is... sabar... bawa mengucap. Jangan bertindak terburu-buru.” Kata-kata Fauzi tidak diendahkan. Tangan Fauzi yang melekap di bahu Iskandar, ditolaknya rakus. Marahnya meluap-luapkan bagaikan api yang sedang marak.

“Kau boleh bincang dengan dia dulu, Is. Jangan bertindak melulu.” Lengan Iskandar direntap kemas bila lelaki itu mula mengatur langkah.

“Bincang apa lagi, Ji! Puteri dah tahu.” Marah Iskandar memuncak. Panggilan Fauzi langsung tidak diendahkan. Iskandar cuma mahu segera menghadapi Islah. Gadis itu sudah melampau!

“Itupun dia.” Setibanya mereka di dewan sekolah, Rosina pantas mengunjukkan Islah kepada Iskandar.

Terus sepasang mata milik Iskandar menerkam ke arah batang tubuh dan wajah Islah. Tanpa membuang masa, langkah diatur menghampiri Islah yang sudah mengangkat beg sekolah. Tanda sudah siap makan tengah hari dan akan naik ke asrama untuk bersiap ke kelas persediaan pula.

“Kau cermin muka kau tu dulu sebelum berangan nak hantar surat pada aku!” Bentak Iskandar. Gumpalan surat yang berada di tangannya dikoyak-koyakkan dengan penuh geram lalu dilemparkan ke wajah Islah.

“Kau tu budak kampung. Pipit tak layak terbang dengan enggang! Jangan pandai-pandai nak mereka cerita pulak yang aku ni pakwe kau.” Marah Iskandar. Dihamburkan segala kata-kata kepada Islah.

“Apa salah saya?” Islah yang tidak tahu hujung pangkal cerita terpinga-pinga. Wajahnya merona merah menahan malu. Beberapa pasang mata turut memandang ke arah mereka berdua.

“Apa salah kau? Mari sini aku bawa kau depan cermin.” Direntap tangan Islah dengan kasar. Tatkala mereka tiba di hadapan cermin bersebelahan dengan sinki, wajah Islah ditujah rapat ke cermin.

“Tilik dulu muka kau sebelum ada hati sukakan aku!” Marah Iskandar meluap-luap.

“Ingat, lepas ni aku tak nak tengok muka kau lagi. Kalau aku nampak kau melintas depan aku, nahas kau!” Iskandar berlalu. Dibiarkan saja wajah merah padam Islah dan airmata gadis itu membasahi pipi. Sakit hatinya semakin mencengkam jiwa bila mengingati Puteri Adelia.

“You okey, Is? Dari tadi lagi I tengok you diam aje. Ada perkara yang tak kena ke?” Suara Puteri Adelia memecahkan lamunan Iskandar.

Iskandar kembali ke alam realiti. Peristiwa dia memalukan Islah di dewan makan heboh satu sekolah. Dia dan Islah dipanggil berjumpa dengan guru disiplin. Mereka berdua telahpun didenda membersihkan tandas sekolah selama seminggu. Selepas itu, dia tidak lagi melihat Islah. Gadis itu bagaikan menunaikan permintaannya.

‘Jangan muncul depan aku lagi.’ Kata-kata itu bergema di dalam hati Iskandar. Ucapan selepas kali terakhir mereka berkerjasama membersihkan tandas sekolah membuatkan Iskandar menyesal seumur hidup.

Tapi tadi selepas bertahun dia mencari Islah, permintaannya bagaikan ditunaikan. Gadis bermata hazel itu muncul kembali. Kali ini semuanya berubah 360 darjah.

Islah sudah menjadi cantik. Tubuh yang gemuk dulu sudah menjadi langsing. Rasa bersalah Iskandar terhadap Islah kembali menghantui diri. Adakah Islah makan hati sehingga gadis itu menjadi kurus?

Bertahun-tahun dia cuba menjejaki Islah. Menurut Fauzi, Islah kini bekerja di pelantar minyak. Kebetulan saja mereka berdua bertemu sewaktu Fauzi mengadakan lawatan ke pelantar tempat Islah bekerja. Waktu itu syarikat tempat Fauzi bekerja sedang menjalankan projek membekalkan batang paip yang disambung dari pelantar itu ke daratan.

Dia ada menyuruh Fauzi meminta nombor telefon Islah tetapi yang dapat cumalah nombor telefon di pelantar saja. Apabila dikorek, barulah Iskandar tahu di mana kampung Islah.

Dan kini, sudah hampir lima tahun dia bekerja di kilang yang bertempat di kampung Islah. Namun sepanjang tempoh itu, Islah tidak pernah pulang ke situ.

Islah... maafkan abang kerana lukakan Is dulu...


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...