Tuesday, September 30, 2014

(Fragmen) Tak Cinta Tak Apa - Bab 5

ISLAH menyandar lesu pada bahu sofa di ruang tamu rumah itu. Setelah menutup kedai dan membawa pulang kucing Bengal dan kucing yang baru ditemuinya tadi pulang ke rumah, Amelia tidak henti-henti mengomel mengenai Iskandar. Merah padam telinganya menelan segala kata-kata Amelia.
Sudahlah ketika berhenti makan di warung di simpang jalan ke rumah mereka ini, Amelia tidak berhenti membebel mengenai layanan terhadap Iskandar di kedai tadi. Balik ke rumah ini pula, bebelan Amelia masih belum mahu reda.
“Aku tak puas hati selagi dia tak minta maaf dengan kau, Is.” Bentakkan Amelia bagaikan anak kecil. Dia lalu menghempaskan tubuh ke atas sofa berhadapan dengan Islah dengan muncung yang panjang.
Mereka berdua sama-sama berbaring di ruang tamu itu mengadap siling rumah sambil menekapkan lengan tangan ke dahi.
Sejak dari tadi lagi Islah membisu. Kata-kata dan nasihat Amelia bagaikan masuk ke telinga kanan, keluar ke telinga kiri. Islah lebih suka membelai-belai kucing yang baru dikutipnya tadi berbanding memberikan sepenuh perhatian terhadap nasihat Amelia.
“Kau dengar tak ni, Is?” Amelia bingkas bangun duduk mengadap Islah. Kakinya disilangkan di atas sofa. Matanya tidak lepas dari memerhatikan Islah. Dia mengetap bibir bila melihat Islah lebih suka mengusap bulu kucing barunya berbanding melayan dia bercakap.
“Ke aku bercakap dengan dinding?” Marah Amelia. Muncung mulutnya melihat Islah buat acuh tak acuh.
“Orang tengah ambil berat pasal dia, dia pulak buat tak tahu aje.” Amelia rebahkan semula tubuh ke sofa. Remote control tv dicapai lalu ditekan butang merah. Dia mencari-cari saluran yang menarik untuk ditonton.
“Aku dengarlah Lia. Telinga ni tak pekak lagi. Yang kau marah sangat ni kenapa?” Islah mendongakkan wajahnya mencari pandangan Amelia dengan nada tenang.
Sepanjang tempoh mereka berkawan, Amelia banyak mengambil berat tentangnya. Sejak dari tingkatan satu lagi mereka berkawan. Suka dan duka mereka kongsi bersama. Segala cerita dalam isi rumah Islah diceritakan pada Amelia.
“Aku cakap kau buat muka toya aje. Mana aku tak geram,” dengus Amelia. Selagi Islah tidak bersuara menyatakan ketidakpuasan hatinya terhadap Iskandar, selagi itulah dia akan mendesak. Islah terlalu baik hati dan selalu berprasangka baik sehingga orang berani menindasnya terutama sekali kes Iskandar ni.
“Lia, kita namakan kucing ni Kanggaru nak tak? Dia melompat macam kanggaru. Lagipun dia tak ada kaki depan. Aku kasihankan dialah, Lia.” Islah mengubah topik perbualan mereka. Daripada mereka bertikam lidah mengenai Iskandar lebih baik mereka bercerita mengenai kucing dan kedainya. Bukankah itu lebih baik?
“Tengok.. mulalah nak lari dari topik tu.” Amelia mula bangun. Dia sudah berjalan ke dapur. Kemudian, kedengaran bunyi peti ais dibuka dan air dituang ke dalam gelas.
“Lia, aku nak air juga. Dahaga sebab dari tadi lagi aku dengar kau membebel.” Laung Islah dari ruang tamu.
Islah menekup mulut menyembunyikan sengihan tatkala melihat Amelia membawa sekotak jus buah berserta gelas kosong sambil menjegilkan matanya.
“Yang pasal Abang Iskandar, ada dia minta maaf dengan kau tadi?” Amelia masih di topik yang sama. Selagi kisah Islah dan Iskandar tidak berakhir dengan aman, selagi itulah dia akan terus menekan.
“Kau ni kenapa tak habis-habis lagi bercerita pasal dia? Cerita tu dah lama berlalu. Aku dah lupa pun.” Islah buat-buat ketawa di hujung kata-katanya. Benarkah dia sudah melupakan lelaki itu? Jika ya, mengapa selama ini nama Iskandar selalu meniti di bibirnya tatkala dia kesunyian?
“Kalau kau dah lupa Is, dah lama kau ada boyfriend, tahu tak?” Amelia menekan perkataan boyfriend. Biar gadis di hadapannya ini sedar akan perasaannya sendiri. Dia tahu hati Islah terluka dek perbuatan Iskandar. Luka itu terlalu dalam sehingga sekarang belum juga sembuh. Dia bukannya mahu mengguris di tempat yang sama cuma dia mahu Islah menuntut kembali maaf dari lelaki itu. Susahkah?
“Itu semua jodoh, Lia. Aku bukannya tak nak cari ataupun memilih disebabkan peristiwa lampau. Tapi buat masa sekarang biarlah aku membujang dulu. Sekurang-kurangnya, aku boleh tumpukan pada kerjaya dan perniagaan aku ni.” Panjang lebar Islah berkata-kata, membalas tekaan yang dilontarkan oleh Amelia.
“Kau bukannya tak tahu syarat aku kerja di tengah laut tu. Selagi aku kerja dengan dia orang selagi tulah aku tak boleh kahwin. Aku takut nanti bila dah bercinta, nak kahwin cepat-cepat. Hah, terkubur macam tu sajalah cita-cita aku selama ni,” terang Islah satu per satu.
Entah kenapa selepas bertembung Iskandar dua kali hari ini, hatinya rasa tidak keruan. Dia tidak pernah sekalipun membenci Iskandar namun ada satu perasaan jauh di lubuk hatinya untuk lelaki itu.
Benarkah dia cintakan Iskandar? Adakah rasa suka dahulu berbunga menjadi cinta? Sedangkan mereka tidak bersua hampir 12 tahun. Satu tempoh yang panjang!
“Yang pasal Abang Iskandar tu, kau tak payah risaulah Lia. Aku dah lama maafkan dia. Kalau dia tak minta maaf dari aku pun, aku tak kisah. Yang penting sekarang, kami dua-dua dah bahagia dengan kehidupan masing-masing.” Setenang yang mungkin Islah meluahkan kata. Buat apa berdendam dan memungut kembali kenangan lalu sedangkan masing-masing sudahpun bahagia?
“Aku rasa dia pun dah lama lupakan apa yang berlaku antara kita orang. 12 tahun tak jumpa, takkanlah semua orang nak ingat lagi. Masa tu tengah tak matang. Emosi pun tak stabil.” Islah cuba menyedapkan hatinya. Mungkin itu tempoh yang akan Iskandar lupakan tetapi bukan dia. Jauh di sudut hatinya, dia sudah lama maafkan Iskandar. Walaupun parutnya masih ada...
“Ini yang aku sayangkan kau Is. Kau ni senang sangat nak maafkan kesalahan orang lain.” Amelia senyum di hujung kata-katanya. Air di atas meja diteguknya sehingga habis.
“Seronok tinggal seorang kat rumah ni?” Setelah habis meneguk segelas jus, Islah kembali menghadap Amelia yang sedang merenungnya tanpa berkedip.
Islah tahu selagi Amelia belum mendapat penjelasan sebenar mengenai dia dan Iskandar, pasti akan dikoreknya. Dia tak mahu panjangkan cerita. Peristiwa terlanggar Iskandar di lapangan terbang tadi biarlah menjadi rahsia.
“Seronok sangat. Tak ada orang kejutkan aku pagi-pagi buta pergi senaman.” Islah ketawa mengekek di akhir kata-kata Amelia. Dia turut menggeleng mengenangkan Amelia lebih suka bergumpal di dalam selimut berbanding mengamalkan kesihatan diri.
“Aku dah susahkan kau jaga rumah ni, Lia. Hendak berhenti sewa, aku nak tinggal kat mana nanti? Kereta di luar tu, takkanlah nak parking di KLIA selama enam bulan pulak? Aku kerja semata-mata bayar parking kereta ajelah.” Keluhan dilepaskan kecil.
Mujurlah Amelia bekerja di sini. Bolehlah dia mengharapkan gadis itu. Sekurang-kurangnya ada orang yang akan tengok-tengokkan rumah dia.
“Apa pulak kau ni. Kau tak susahkan aku, Is. Aku duduk sini pun free. Aku nak bayarkan separuh sewa rumah ni kau tak nak kasi.” Giliran Amelia pula bersuara. Islah cuma mengeluh tatkala mendengar jawapan Amelia. Bagi Islah, kerelaan Amelia tinggal di sini sudah cukup baik baginya.
“Kau dah banyak tolong aku, Lia. Aku tak nak susahkan kau lagi.”
Islah tenang di tempat duduknya. Sesekali matanya meliar memerhati gerak lincah Jaguar berlari-lari mengelilingi kawasan rumah. Menghidu bau isi rumah bagi menyesuaikan diri. Begitu juga dengan Kanggaru.
“Hari ni hari kau Is. Manalah tahu esok lusa aku perlukan bantuan kau pula. Masa tu kau jangan lari sudahlah,” gurau Amelia.
Ketawa Islah mendengar kata-kata Amelia. Takkanlah dia mahu larikan diri pula di saat Amelia perlukan pertolongannya? Sudah banyak dia termakan budi gadis itu.
“Lia... esok aku nak balik ke kampung.” Islah mula menyatakan hasrat. Dari tadi lagi dia tidak berpeluang memberitahu Amelia. Waktu mereka bersantai beginilah Amelia patut diberitahu.
“Abah jatuh dari tangga. Aku nak balik jenguk abah,” sambung Islah tenang.
Mengingati abah membuatkan hatinya jadi sayu. Selama lima tahun dia meninggalkan kampung halaman, selama itulah dia tidak bersua muka dengan abah dan Iszam, adiknya.
Apalah khabar Iszam sekarang? Bersalahnya dia kerana telah mengabaikan Iszam selama ini.
“Kau dah lupa apa yang abah kau buat pada kau dulu?” Mendengar hasrat Islah ingin pulang ke kampung menjenguk abahnya membuatkan Amelia dilanda gusar. Bimbang Islah akan terluka buat kali kedua.
“Abah yang telefon minta aku balik, Lia. Dia cakap dia rindukan aku.” Hati Islah mula dipagut sayu. Mengingati abah sama seperti mengingati ibu.
Selama ibu pergi bertemu ILAHI, Islah tidak pernah gagal melawat pusara ibu di kampung. Setiap kali sehari sebelum tibanya hari raya, dia akan berkunjung ke sana tanpa pengetahuan sesiapa. Sedang orang leka melakukan persediaan menyambut hari raya, dia akan berteleleku di pusara ibu dan menghamburkan air matanya di situ sepuas-puasnya.
“Abah perlukan aku sekarang ni, Lia. Sebagai anaknya, aku kena berada di sisi.” Sayu Islah menyebut perkataan abah.
Sejak dari tadi lagi Amelia hanya mendengar. Dia beralih dari tempat duduk ke sisi Islah. Gadis itu dipeluknya erat meredakan rasa sayu yang mula bertandang.
“Sampai bila-bila aku tak dapat lupakan apa yang abah dah lakukan pada aku. Tapi sebagai anak, aku bertanggungjawab ke atas abah. Walau apa pun yang abah dah buat pada aku, aku tetap darah daging dia.” Pelukan Amelia dibalas erat.
“Terima kasih Lia sebab selalu ada masa aku susah dan senang. Aku tak tahulah apa akan jadi pada aku kalau kau tak ada.”
“Jangan cakap macam tu, Is. Sebagai kawan kau, aku tak sanggup tengok kau susah. Kalau kau perlukan bahu untuk menangis, bahu aku ni ada Is,” tutur Amelia ikhlas. Belakang tubuh Islah diusapnya lembut.
Dahulu sewaktu mereka sama-sama di tingkatan satu dan belajar di asrama penuh, Islah sering membantunya. Dari membelikan dia alatan sekolah sehinggakan Islah tanpa lokek menghulurkan duit yuran sekolah, dia terhutang budi. Kesempitan hidup memaksa dia mengambil saja pemberian Islah tanpa menjanjikan balasan. Tanpa Islah, tak mungkin dia akan berjaya begini.
“Macam manalah kau nak berdepan dengan mak tiri kau nanti, Is?” tanya Amelia dungu.
Mengingati Rosina membuatkan hati Amelia sebal. Dia tidak menduga Rosina sanggup memporak-perandakan keluarga Islah. Entah apalah yang didendami oleh Rosina sehingga sanggup memisahkan Islah dan abahnya.
“Aku tak pernah anggap dia musuh aku, Lia. Kalau dia terima aku dengan tangan terbuka, aku pun akan buat perkara yang sama,” terang Islah tenang.
“Kau yakin ke dia dah berubah?” Islah tidak ada jawapan untuk menjawab soalan Amelia. Baginya, biarlah waktu menentukan segalanya. Esok, dia pasti akan bertemu jawapan tentang Rosina, ibu tirinya, saat dia melangkah kaki ke dalam rumah abah di kampung.
“Kau akan tinggal lama ke kat sana?” tanya Amelia lagi.
Melihat Islah sudah bangun dari tempat duduknya, Amelia turut bangun. Diekorinya Islah ke dapur menyimpan kembali kotak jus ke dalam peti ais dan membasuh gelas yang mereka gunakan tadi.
“Kalau keadaan abah teruk, mungkin aku akan lama kat sana. Tapi kalau abah dah boleh jalan dan uruskan ladang semula, aku akan balik ke sini dalam masa terdekat.” Selesai membasuh gelas dan disusun di atas rak gelas, mereka berdua kembali semula ke ruang tamu. Islah mencapai kucing barunya dan memanggil Jaguar untuk naik ke tingkat atas.
“Nampaknya aku tinggal seorang lagilah. Ingatkan kau bercuti ni adalah teman aku nak berborak,” keluh Amelia mengundang senyuman Islah.
“Kahwinlah, Lia. Barulah kau ada teman nak berborak. Tak adalah kau rasa sunyi bila aku tak ada,” potong Islah pantas. Diunjukkan bekas makanan kucingnya pada Amelia. Meminta gadis itu membantunya membawa ke tingkat atas.
“Nak kahwin macam mana kalau calon tak ada lagi. Carilah untuk aku mana-mana lelaki yang kau rasa sesuai dengan aku di pelantar tu,” pinta Amelia acuh tak acuh. Dipunggahnya bekas makanan kucing ke tingkat atas menuruti langkah Islah.
“Aku kenalkan kau dengan Mikael nak? Dia baru saja peluk Islam. Handsome,” usik Islah.
“Tak mahulah. Berat tanggungjawab aku nanti nak mendidik suami ni, Is. Lainlah kalau aku ni lelaki dan dia tu perempuan. Senang sikit.”
“Tak ada bezanya, Lia. Yang penting kau tak putus asa. Mikael tu mudah belajar. Terang hati. Apa kita ajar, mudah dia ikut. Lagipun, dia baik orangnya. Sesuai dah aku tengok dia dengan kau,” tambah Islah lagi.
Mereka sudah tiba di hadapan pintu bilik Islah. Tombol dipulas dan pintu bilik terbuka luas menyerlahkan isi bilik tersebut.
“Barang anak-anak kau ni nak letak kat mana?” Ketawa Islah mendengar Amelia menyebut perkataan anak. Tahulah dia perkataan itu ditujukan buat Kanggaru dan Jaguar.
“Letak aje kat situ. Nanti aku susun balik,” jawab Islah sambil menuding jari ke arah tepi meja soleknya.
Kanggaru sudah diletakkan di atas katil. Jaguar pula menghidu-hidu bau bilik itu.
Islah memerhati keadaan biliknya. Masih kekal susunannya seperti yang ditinggalkan enam bulan dahulu. Habuk pun tak ada.
“Nasib baik kau dah mandi, Kanggaru. Kalau tak, tentu ibu kau ni letakkan dalam bilik mandi aje tau.” Amelia menghampiri Kanggaru. Ubun-ubun kucing tempang itu diusap lembut.
“Nasib baik kucing pandai cari ubat sendiri. Mujurlah Kanggaru ni makan rumput dan tumbuhan herba. Cepat lukanya sembuh. Taklah berulat kaki yang kena potong ni.”
Amelia membelek-belek kaki Kanggaru yang semakin sembuh. Dia sudah menyuntik vitamin pada kucing ini tadi. Ubat antibiotik juga sudah diberi dan dibawa pulang bersama. Harap-haraplah Kanggaru cepat sembuh sepenuhnya.
“Iyalah, Lia. ALLAH kurniakan kelebihan kucing macam tu. Kalau sakit atau beranak, bolehlah mereka cari ubat sendiri,” tambah Islah. Matanya melilau melihat keadaan sekitar biliknya.
“Rajin kau bersihkan bilik aku, Lia.” Jarinya sempat mencalit meja solek. Merasa habuk-habuk di situ. Tiada.
“Hari minggu aje, Is. Takkanlah aku nak biarkan bilik kau ni berhabuk. Nanti nak lalu depan pintu bilik ni pun, aku takut.” Amelia sudah berlalu ke pintu bilik.
“Hisy... kau ni, Lia. Malam macam ni pun nak cakap benda yang tak elok.”
“Aku bergurau sajalah, Is. Dahlah, aku nak balik ke bilik. Esok kau bertolak balik pukul berapa?” sempat lagi Amelia bertanya sebelum berlalu.
“Petang. Lepas kau habis kerja. Kita keluar makan dulu sebelum aku balik.” Islah sudah menghumbankan tubuh ke atas tilam empuk.
“Mandi dulu baru tidur,” pesan Amelia sebelum berlalu. Pintu bilik Islah ditarik rapat menutup isi bilik tersebut.
Petang esok Islah berhajat ingin menemukan Amelia dengan Mikael. Amelia patut berkenalan dengan Mikael dan Hisyam dulu sebelum membawa mereka pulang ke kampung. Islah kemudiannya bangun. Dia mencapai tuala di dalam almari dan berlalu ke kamar mandi sambil menyanyi riang. Tak sabar rasanya melihat reaksi Amelia nanti. Gadis itu, kalau bercerita tentang lelaki, wajahnya tentu berubah rona. Mulut punyalah becok tetapi bila bertemu lelaki terus saja diam.

Monday, September 22, 2014

Yakjuj Makjuj Bencana Di Sebalik Gunung vs Benarkah Iskandar Bukan Zulkarnain

Yakjuj Makjuj Bencana Di Sebalik Gunung
By : Muhammad Alexander


Saya menghabiskan bacaan ke atas Yakjuj Makjuj mengambil masa setahun. mungkin juga sebabnya buku tersebut tebal dan ditulis dalam bahasa Indonesia which is I cannot totally understand what he is going to say. Kebanyakkan penulisan beliau dipetik straight away from books (copy paste) and Wikipedia (sumber yang saya sentiasa refer but definitely not trust). Penceritaan yang berulang-ulang. contohnya, cerita tentang Nabukadnessar pergi berperang diulang cerita dalam bab lain jugak. Saya beranggapan beliau nak kita faham sepenuhnya tapi sebenarnya bagi saya ia sangat tak relevan untuk diceritakan perkara yang sama berulang kali. Kesimpulannya, buku ini saya mungkin sekadar jadikan koleksi/rujukan dan tidak akan dibaca untuk kali ke-2.
 
Benarkah Iskandar Bukan Zulkarnain
By : Afareez Abd Razak Al-Hafiz


Iskandar Bukan Zulkarnain dihabiskan bacaan cuma 2 hari. Buku yang nipis tapi padat. Saya tersgt faham apa yg cuba Afareez sampaikan dan penceritaanya bukanlah copy paste tetapi lebih kepada kupasan/ulasan apa yg beliau dah kaji. GOOD!

Kedua-dua buku cuba menyampaikan kisah yang sama biarpun tajuk yang berbeza. Namun, Muhammad Alexander lebih cenderung mengatakan Alexander The Great itu adalah Zulkarnain manakala Afareez cenderung mengatakan Cyrus The Great adalah Zulkarnain.

END.

Sunday, September 21, 2014

The Hunger Games Trilogy

The Hunger Games
Catching Fire
Mockingjay
 
By: Suzanne Collins


 
Ketiga-tiga buku ni saya dah berjaya habiskan. Ada part yang seronok baca buku2 ni. Ada part yang buhsan giler. Dan ada part yang tak sepatutnya ada dalam buku ni. Hmm.. Bukan semua buku dapat memenuhi kehendak kita, kan? But at the end of story, saya puas hati.
 
The Hunger Games


 
Kisah bermula di mana Katnis Everdeen diperkenalkan sebagai seorang gadis yang hidup menyara keluarga ( ibu dan adiknya, Primrose Everdeen) selepas kematian ayah di lombong arang batu. Katnis akan keluar berburu di hutan bersama Gale (bestfriend yang berumur jauh lebih tua darinya) dan hasil buruan akan dijual di pasar gelap untuk mendapatkan tukaran dalam bentuk wang ataupun makanan. 
 
Dipendekkan cerita, dulu ada 13 district yang ditadbir oleh Capitol. Lepas tu berlaku pemberontakkan dan Capitol menang dan yang lain kalah. District 13 dimusnahkan 100% oleh Capitol dan harga yang perlu dibayar untuk pemberontakkan ni ialah setiap tahun akan diadakan The Hunger Games di mana setiap district wajib menghantar sepasang wakil untuk menyertai pertandingan tersebut. Actually, dlm game ni semua org kena saling membunuh untuk dinobatkan sebagai juara. jadi, kiranya semua org takutlah nak join/dipanggil ke game ni.
 
Maka, ceritanya bermula bila nama Primrose dicabut sebagai wakil perempuan bagi district 12 ( district tempat tinggal Katniss, family and friends). So, Katniss volunteer untuk ganti tempat adiknya. Untuk wakil lelaki pulak tanpa disangka Peeta Mellark, lelaki yang selamatkan nyawa Katniss dan keluarga masa kebuluran dulu (Waktu tu Katniss keluar cari makanan dalam tong sampah untuk family yang tgh kebulur kat rumah. Dia dihalau oleh mak Peeta masa selongkar tong sampah kedai roti dorang. kemudia peeta bagi roti pada Katniss. Kira kes terhutang budi ler jugak).
 
Jadi, bermulalah kehidupan katniss sebagai salah sorg awek yang mewakili district dlm hunger games bagi tahun tu. dia start bergaul dengan Peeta (teammate yg mencintai dia), Haymitch (mentor yg pemabuk), cinna (pendandan yg kreatif), Rue (gadis kecil dari district 11 yg innocence), etc...
 
Sblm hunger games start, semua peserta diinterview oleh ceaser. time ni, peeta mengaku yang dia dah lama sukakan katniss. dan dia tak berdaya untuk bunuh katniss dlm hunger games yg dorang akan sertai nanti. (ni sebenarnya helah untuk dptkan sponsor masa di arena nanti)
 
Dalam match hunger games, katniss start jadi ally dgn rue (Rue menyelamatkan katniss bila awek tu kena sengat dengan tracker jacker (tebuan hybrid)) manakala peeta ally dgn geng2 jahat. Bila rue dah mati, Katniss start semangat untuk balas dendam. time nilah, gamemaker umumkan team yang pasangan dia masih hidup akan dinobatkan sebagai juara. jadi, Katniss cari peeta dan jumpa lelaki tu di tepi sungai.
 
maka bermulalah kisah romance dorg which mmg haku tak suka langsung baca buku2 part cenggini. kononnya dorg berlakon mesra untuk menipu audiencelah. oh btw, katniss dan peeta berpakat untuk meneruskan hidup dan bunuh sesiapa saja yang tinggal. anyway, game ni berakhir bila katniss memanah cato yang sedang dibaham 'harimau jadian' dan tetiba gamemaker umumkan hanya seorang victor diperlukan. kononnya nak katniss dan peeta saling membunuh. malangnya, katniss dan peeta mengugut untuk makan buah beracun dan The Hunger Games tahun tu takkan ada pemenang jika dua2 die. so, gamemaker kalah, dua2 diumumkan pemenang dan dinobatkan sebagai juara and star-crossed lovers.
 
Catching Fire


 
Wujud rebellion hasil keberanian katniss mencabar capitol masa game dulu. pemberontakkan everywhere. dan katniss dijadikan symbol untuk pemberontakkan tu.
 
Jadual hidup Katniss start sibuk. dia dan Peeta kena melawat setiap district dan berpura-pura bercinta. President Snow (pemimpin Capitol) doubt dgn percintaan dorg ni. jadi dia cabar katniss utk buktikan bahawa awek ni dan peeta betul2 in love. so, ada yg cadangkan supaya mereka dua org ni get  married. tapi katniss mcm was-was. separuh hati dia pada Gale dan separuh lagi pada peeta. dlm waktu nilah Snow isytihar Quarter Quell. hunger games yg disertai oleh victor di setiap district. and of course di district 12, katniss yg kena wakil sbb dia sorg je awek yg pernah menang utk district tu. manakala bagi lelaki, peeta yg wakil.
 
mcm biasa, sblm start game akan ada interview. time ni peeta menipu yg katniss sdg mengandungkan anak dorg. kira mcm nk pancing undi penonton supaya minta snow batalkan game ni. tapi tak berjaya. dorg still kena join. untuk game nilah, Katniss kenal dgn Finnick Odair (my favourite character in this book), Johanna Mason (awek yg gila2), bolt and nut (pasangan suami isteri yg genius), etc...
 
Game ni sebenarnya diadakan untuk snow bunuh katniss tanpa menggunakan tangan dia sendiri. tapi at the end of story, katniss memanah dome dan lebih kurang berjaya mengalahkan snow dan dibawa ke district 13.
 
Mockingjay


 
Distrcit 13 rupa-rupanya wujud! district 12 musnah 100%. keluarga katniss dan keluarga gale berjaya diselamatkan dan dibawa ke district 12. Dalam buku ni, byk mengisahkan tentang katniss yg jadi gila disebabkan tindakan dia memanah dome dulu. lepas tu, peeta dan Johanna kena tangkap dgn capitol dan ditorture mentally sampai dua org tu anggap katniss ni pemberontak dan mesti dibunuh.
 
di district 13, katniss dilatih sbg soldier sama mcm gale. oh btw, finnick pn jadi gila mcm katniss jugak. (sad hokeyh). kat district ni, dorg hidup bwh tanah dan teknologi dorg lagi canggih dari teknologi di capitol. dipimpin oleh awek yg namanya Coin dan dibantu oleh Plutarch.
 
Dlm buku ni, katniss dijadikan mockingjay (lambang pemberontakkan) dan diminta melakukan rakaman pemberontakkan untuk disiarkan diserata district untuk mencabar capitol. dalam pada itu, katniss letakkan syarat supaya dia dan kawan2 victornya tak diapa-apakan dan peeta dan Johanna mesti dibawa balik ke district 13 jika dia dijadikan mockingjay.
 
Okey, peeta dah balik. tapi malangnya peeta seolah2 tak suka katniss dan cuba bunuh katniss. so, katniss sgtla sedih dan untuk melupakan kesedihan, dia minta footage dibuat di serata district dan akhirnya ke capitol.
 
kat capitol, peeta dihantar skali untuk berjuang bersama katniss and the gang. kat sinilah ramai kawan2 seperjuangan katniss terkorban termasuklah Finnick (Uwaaaaa). time tu yang tinggal cuma katniss, gale, peeta dan dua org soldier.
 
at the end of story, primrose dilihat turun dari craft menerusi payung terbang utk bawa bekalan ubat ke capitol dan bila mendarat je dia dibom. Snow kena tangkap dan dijatuhkan hukuman mati. katniss sendiri yg akan memanah ke dada snow dan membunuh presiden tu. tapi malangnya, disebabkan katniss terpengaruh dengan kata-kata snow (snow bagitau yg bukan dia bunuh primrose tapi coin dan katniss percaya). hari hukuman tu, katniss memanah ke arah coin. snow pulak mati sebab ketawa+batuk sehingga berdarah. erkkk???
 
Cerita ni berakhir dgn katniss dan Haymitch balik semula ke district 12. Peeta menyusul kemudian. Gale join soldier di district 2. ibu katniss membantu pembukaan hospital di district 4. dan katniss berkahwin dgn peeta slepas 15 tahun kemudian dan melahirkan sepasang cahaya mata. END.

Thursday, September 18, 2014

(Sinopsis) Tak Cinta Tak Apa

Kerana diri Islah montel, dia dihina, dimaki dan maruahnya dipijak-pijak. Apa salahnya? Walaupun Zaki Iskandar mempunyai rupa paras yang menawan, tetapi dia tidak ada hak untuk mencacinya. Berkecai hatinya. Nama itu masih lagi terpahat di ingatannya. Mana mampu dia melupakan. Ya, mungkin Islah boleh melupakan tetapi bagaimana pula dengan parutnya? Pertemuan demi pertemuan tanpa diduga. Kini, Islah sudah berbeza. Langsing. Cantik! Zaki Iskandar kembali menawan hati Islah semula. Tapi malangnya, Islah semakin menjauh denganya. Tidak sekali-kali ingin bertembung.

(Fragmen) Tak Cinta Tak Apa - Bab 4


SELEPAS menghantar Mikael dan Hisyam di hotel, Islah memandu sendiri keretanya ke kedai kucing. Amin, pembantu kedai merangkap pengurus kedai kucingnya hanya senyap duduk di bahagian sebelah pemandu.

“Kenapa dari tadi Amin senyap aje? Amin ada masalah ke?”

Islah memulakan bicara. Setelah enam bulan tidak bersua muka dan hanya berhubung menerusi telefon, baru kini mereka boleh bercerita panjang. Waktu bercuti sajalah Islah mencuri peluang mengenali satu-satunya pekerja tetap dia itu.

Sejak membuka ISTANA lima tahun yang lepas, Aminlah yang banyak menyumbang tenaga. Aminlah satu-satunya pekerja yang lekat bekerja di kedainya. Lelaki muda ini menguruskan kedainya dengan baik. Islah tidak pernah meragui Amin. Amin diberikan kepercayaan sepenuhnya menguruskan kedai. Dari kerja menjual sehingga kerja mengambil pekerja sambilan, tugas itu tergalas di bahu Amin.

Berumur dalam lingkungan 24 tahun dan berkelulusan ijazah perniagaan, kerja-kerja Amin begitu memuaskan. Dengan adanya Amin, perniagaan kucing bertambah maju. Amin bijak mengatur strategi. Kerana itu, Islah tanpa ragu-ragu menggaji Amin dengan bayaran yang setimpal.

“Amin tak suka tinggal kat rumah yang kakak sediakan tu ke?” soal Islah tenang.

Islah cuba mencungkil apa yang tersirat di dalam hati Amin. Selalunya, setiap kali Amin mengambil dia di lapangan terbang, mulut lelaki muda itu banyak berceloteh. Amin becok bercerita mengenai pelanggan-pelanggan yang datang, kepenatan menguruskan kucing-kucing berbulu tebal dan kerenah pekerja-pekerja sambilan.

“Bukan macam tulah, kak. Rumah teres dua tingkat tu lebih dari keperluan  Amin.” Tingkah Amin. Nadanya bersahaja. Wajahnya juga setenang tadi. Cuma dia tidak banyak bercakap seperti selalu. Itu saja.

“Habis tu? Amin dah dapat kerja yang lebih bagus ke?” selidik Islah lagi. Matanya tidak lepas dari memerhati kereta-kereta yang bergerak pantas menuju ke destinasi masing-masing. Dalam waktu yang sama, dia memandu dengan berhati-hati. Mengelak dari perkara yang tidak diingini berlaku.

“Betul ke kakak nak balik kampung?” soalan Islah tidak berjawab sebaliknya Amin pula yang menyoal.

Baru kini Islah tahu mengapa anak muda itu berdiam diri sejak dari tadi lagi. Kemudian Islah tersenyum panjang.

“Ya, Amin. Kakak kena balik kampung. Ada urusan penting kat sana,” jawab Islah jujur dan tenang.

“Habis tu, kakak tak adalah kat sini sepanjang cuti enam bulan ni?” soal Amin lagi.

Islah pantas mengangguk. Mengiakan soalan Amin.

“Insya-Allah kakak akan datang ke sini dalam sebulan sekali untuk jenguk kedai,” jawab Islah ringkas. Perubahan sikap Amin menyebabkan Islah terpaksa pulang ke kampung untuk mencuit hatinya.

“Habis, siapa yang nak jaga kedai?” Rengek Amin.

“Aminkan bos? Aminlah yang jaga kedai,” pujuk Islah. Tangannnya pantas memulas stereng kereta ke deretan kedai. Kedai kucingnya berada sebaris dengan deretan kedai-kedai menjual barangan memancing dan cyber cafĂ©.

“Amin pekerja. Kakak bos. Amin nak kakak ada sekali. Kita boleh jaga kedai sama-sama. Macam selalu yang kakak buat,” bentak Amin lembut.

Selepas mendengar keputusan Islah mahu pulang ke kampung sepanjang cuti enam bulannya membuatkan Amin berkecil hati. Sudah sekian lama dia menanti kepulangan Islah. Sebagai anak yatim piatu, dia tidak punya sesiapa kecuali Islah. Dia sudah menganggap Islah seperti kakaknya sendiri. Segala suka dan duka dikongsi bersama Islah. Kini, kakaknya itu pula mahu menjauhkan diri daripadanya.

“Kakak owner. Amin pengurusnya. Orang lebih kenal Amin. Kedai ni pun dah macam kedai Amin. Pelanggan lebih mesra dengan Amin berbanding kakak tau.” Ubun-ubun Amin diusapnya lembut. Walaupun berusia 24 tahun, Amin bagaikan anak kecil. Amin inginkan perhatian. Jika bukan dia, pada siapa lagi yang ingin Amin tuju?

Islah mematikan enjin kereta. Pintu bahagian sisi tempat duduknya dibuka lalu dia keluar dari perut kereta. Kereta yang dibeli dengan hasil titik peluhnya bekerja di pelantar minyak dijaga rapi oleh Amin. Kereta ini juga sekali-sekala digunakan oleh Amin untuk ke tempat kerja. Bergilir-gilir dengan keretanya sendiri.

“Tapi Amin nak kakak ada kat sini sepanjang kakak cuti.” Amin turut keluar dari dalam perut kereta. Pintu ditutup rapat dan dia berlari-lari anak menyaingi langkah Islah menuju ke kedai haiwan mereka.

“Kalau tak ada aral melintang, kakak akan datang ke sini seminggu sekali, boleh?” Kali ini Islah menambah jumlah lawatannya ke sini. Biar hati Amin lembut bila mendengar rancangannya ini. Selebihnya, dia sebenarnya tidak mahu berjanji. Takut nanti tak dapat tunaikan.

Langkah Islah terhenti. Ditolehnya ke arah restoran yang baru dibuka di hujung deretan kedainya.

“Amin, kat hujung sana ada kedai makan baru buka ke?” Amin turut sama berpaling ke arah kedai yang dimaksudkan oleh Islah.

“Ya, kak. Baru saja buka sebulan yang lepas. Bagus juga ada kedai makan tu, ramai yang singgah di kedai kita juga. Ada yang datang tengok dulu kemudian baru beli. Ada juga yang datang dan terus beli kucing. Perniagaan kita bertambah maju.” Amin terangkan bersungguh-sungguh.

“Alhamdulillah,” ucap Islah syukur. Dia kembali mengatur langkah menuju ke kedainya. Amin pantas mengekori. Isu Islah ingin bercuti di kampung terus luput dari ingatannya.

Baru saja mahu melangkah masuk ke dalam kedainya, langkah Islah terhenti sekali lagi. Matanya tertancap ke arah seekor binatang yang sedang melompat-lompat di hadapan restoran tadi. Lama dia mengamati haiwan tersebut sebelum bibirnya beristighfar beberapa kali. Tanpa membuang masa, terus saja dia melangkah pantas menuju ke arah haiwan tersebut.

“Ya ALLAH, apa yang orang dah buat pada kucing ni?” Lemah lutut Islah tatkala matanya tertancap pada kaki depan kucing tersebut sudah tiada.

Air matanya mula berlinang mengalir di pipi. Kucing berbelang hitam itu diangkat dan dipangkunya ke atas riba. Tangannya membelek-belek kaki hadapan kucing tersebut yang sudah kudung.

“Kenapa Amin tak bawa balik ke kedai?” soal Islah sayu. Suaranya bertingkah dengan tangisan. Jiwanya tersentuh melihat kepayahan kucing itu melompat-lompat seperti kanggaru. Nampak begitu payah dan menyeksakan.

“Amin tak pernah nampak kucing ni sebelum ni, kak. Kalau Amin nampak, tentu Amin dah bawa ke kedai,” jawab Amin pantas. Dia turut berasa sedih ke atas nasib kucing tersebut. Siapalah yang tergamak memotong kaki hadapan kucing ini?

“Kita ambil dia dan bawa ke kedai.” Islah bangun dan mendukung kucing itu bersama. Mengenangkan nasib kucing itu mencari makanan di dalam tong sampah dan di kedai-kedai makan membuatkan hati Islah dipagut sayu. Tentu sukar melalui hidup yang tidak sempurna begini.

Masuk saja ke dalam kedai, Islah disambut mesra oleh Dr Lia, doktor haiwan di kedai itu selaku sahabat baiknya sejak mereka belajar di tingkatan satu. Sewaktu membuka kedai haiwan ini dulu, Islah dan Amelia telah berpakat untuk berkongsi perniagaan bersama-sama. Kedai haiwan dibuka berkongsi dengan klinik haiwan. Sebagai doktor yang bekerja di klinik haiwan kerajaan, Amelia akan datang ke kedai ini pada waktu tamat kerja.

“Kenapa ni, Is? Masuk ke dalam kedai saja mata dah basah.” Amelia menegur mesra.

Selepas melayan kerenah pelanggan yang membawa kucing ke situ untuk diberi suntikan vaksin, dia ke bahagian hadapan kedai membantu dua orang lagi pekerja sambilan di kedai itu.

“Lia, kau tolong tengokkan kucing ni sekejap. Aku jumpa dia kat depan kedai makan hujung sana,” pinta Islah tanpa menjawab soalan Amelia. Kucing yang berada di dalam dukungannya sudah bertukar tangan kepada gadis berkaca mata berbingkai hitam itu yang mengenakan kot putih.

“Eh, kenapa dengan kaki depan kucing ni?” Buntang mata Amelia melihat kaki hadapan kucing tersebut yang kudung.

“Itu yang aku nak kau check. Takut kuman di hujung kaki yang kudung tu merebak. Lagipun, kucing ni terbiar saja. Tengok pada telinganya, dah berkuping kurap. Kasihan aku tengok dia, Lia,” terang Islah ringkas.

“Iyalah. Aku bawa dia ke belakang dulu.” Amelia berlalu dengan rasa kasihan yang menebal. Geramnya dia kepada insan yang tak berperikemanusiaan memotong kaki kucing tersebut. Sepanjang dia menjadi doktor haiwan, tidak pernah dia menghadapi situasi sebegini lagi.

“Nanti aku ke belakang sekejap lagi,” laung Islah lembut. Hatinya masih sakit mengenangkan nasib kucing tersebut. Mujurlah kucing itu ditemuinya. Jika orang lain, tak tahulah apa yang terjadi. Dia sudah memasang niat untuk membawa kucing itu pulang ke kampung nanti. Dia mahu menjaga kucing itu sehingga sembuh.

“Amin, mana Jaguar? Dia sihat?” Fikiran Islah mula beralih kepada kucingnya yang ditinggalkan sepanjang dia bekerja. Dimintanya Amin menjaga kucing jenis benggal itu setiap kali dia ke pelantar.

“Ada. Jaguar tu kan dah macam anak akak? Mestilah saya jaga baik punya.” Pertanyaan Islah dijawab dengan nada ceria. Sambil itu, Amin berjalan menyusuri sangkar-sangkar kucing yang tersusun kemas di tepi dinding.

“Mana?” Mata Islah mencari-cari kelibat kucingnya di dalam sangkar kedai itu. Pelbagai spesis kucing yang dijual di kedainya. Ada yang diimport dan ada juga yang dibeli melalui internet.

“Ini hah...” Amin merapati bersama Jaguar. Kucing itu dibiarkan berjalan-jalan di sekitar kedai dengan tali terikat di leher. Takut nanti Jaguar tiba-tiba saja berlari keluar dari kedai. Tentu payah Amin mahu mencari nanti.

Pantas saja Islah mendapatkan kucingnya. Dipeluk dan diciumnya kucing itu bagi melepaskan rindu. Tindakan Islah ibarat ibu yang meninggalkan anaknya untuk tempoh yang panjang.

Amin tersenyum meleret melihat tingkah Islah. Itulah rutin Islah setelah kembali ke darat. Bertemu dengan kucing kesayangannya terlebih dahulu dan melepaskan rindu barulah Islah akan bersua muka dengan pekerja-pekerja sambilan dan memeriksa keadaan kedainya.

Senyuman Amin bertukar menjadi sengihan panjang tatkala Islah membahasakan dirinya ibu dan berbual-bual dengan kucingnya.

Ada-ada sajalah akak ni, desis hati Amin. Dia berlalu ke kaunter kedai, membiarkan Islah bermesra dengan kucingnya. Sekejap lagi Islah akan memanggilnya bertanya tentang perniagaannya dan pekerja sambilan. Dia sudahpun bersedia.

Mata Amin mengerling ke arah jam. Sudah hampir pukul 9 malam. Kedai akan ditutup pada pukul sepuluh. Dia perlu meneliti jumlah kucing, makanan, barangan kucing yang lain serta bilangan kucing yang dibawa tuannya bertemu dengan Dr. Lia.

“Kak, dah nak pukul 9 ni. Akak belum kenal lagi dengan budak-budak part time kita.” Melihat Islah ralit dengan kucingnya, Amin menegur lembut.

“Ha’ahlah... kakak lupa pulak. Mana dia orang?” Islah bangun semula. Tali yang tergantung pada leher Jaguar digenggam kemas. Bimbang Jaguar berlari-lari di sekeliling kedai dan menganggu pelanggan.

“Ini hah. Sejak dari tadi lagi tunggu kakak kenalkan diri.” Amin tersengih. Ditunjukkan dua orang gadis muda yang sedang berdiri menghadap Islah.

“Lisa dan Anis.” Tangan dihulurkan dan mereka berjabat tangan mesra.

“Belajar lagi?” soal Islah mesra.

“Ya bos. Belajar lagi. Cari duit lebih untuk belanja makan.” Gadis yang bernama Lisa menjawab dengan jujur.

“Tak payah panggil bos. Panggil kakak saja. Amin panggil kakak, orang lain pun panggil kakak jugak.” Mesra Islah melayan pekerjanya. Jari-jemarinya memaut kedua-dua jemari gadis di hadapannya itu.

“Amin layan Lisa dengan Anis macam mana, okey?” tanya Islah menduga. Setahunya, Amin dan pekerja sambilan memang rapat. Tidak pernah dia mendengar aduan daripada mana-mana pekerja yang pernah bekerja di situ tentang Amin.

“Abang Amin baik dengan kami, kak,” jawab Anis lembut.

Islah menyembunyikan senyuman tatkala mendengar Anis menyebut perkataan abang. Dari mata Anis, Islah dapat mengagak Anis ada hati terhadap Amin. Lihat saja lirikan mata Anis, pasti mengena ke arah Amin.

“Seronok kerja kat sini?” soal Islah lagi. Niat untuk mengusik Amin disimpan dulu. Bila Lisa dan Anis berlalu nanti, baru lelaki muda itu akan diusiknya.

“Seronok, kak. Kami berdua memang sukakan kucing. Kebetulan kedai ni tengah cari pekerja sambilan. Jadi, kami datang ke sini mohon kerja. Tak sangka dapat pulak,” jawab Lisa bersungguh-sungguh. Anis hanya mengangguk. Bibirnya tidak lekang dari senyuman.

“Baguslah kalau Lisa dan Anis suka kerja kat sini. Datang kerja dengan apa?” soal Islah lagi.

Dahulu tugas Amin menjemput dan menghantar pulang pekerjanya. Tetapi kalau dengan gadis berdua ini, tidak tahulah dia. Kesibukkan di pelantar memaksa Islah menyerahkan seratus peratus tanggungjawab ke atas bahu Amin.

“Dengan motor, kak.” Ringkas jawapan Lisa.

“Kenapa Abang Amin tak jemput?” Sengaja Islah menekan perkataan abang. Wajah Amin dilihatnya berubah warna dan serba salah.

“Anis segan, kak. Jadi, kami ke sini dengan motor. Lagipun, tak nak menyusahkan Abang Amin.” Jawab Lisa dipihak Anis. Kata-kata Lisa bagaikan menyimpan rahsia antara mereka bertiga.

Kening kiri Islah terangkat. Dia mengerling ke arah Amin yang serba salah.

“Nanti claim dengan Abang Amin, tau.”

Setelah mengarahkan Lisa dan Anis bersiap untuk pulang, Islah merapati Amin yang sedang berpura-pura sibuk di kaunter pembayaran.

“Pandai simpan rahsia dengan akak sekarang.” Islah mencuit pinggang Amin.

“Rahsia apa pulak, kak?” Amin berpura-pura tidak mengerti. Telinganya sudah merah menahan malu.

“Tak beritahu akak pun yang Anis tu siapa?” usik Islah lagi. Buku kira-kira dihadapan Amin ditutup.

“Kak, Amin tengah imbangkan duit ni...” Amin merengek manja.

“Amboi! Merengek mengalahkan budak sekolah. Bercinta tak beritahu akak pun. Pandai ye.” Islah membuka kembali buku kira-kira.

Amin menyambung kembali tugasnya. Dibiarkan saja Islah berbicara. Dia malu bila Islah mengetahui isi hatinya tanpa dia sendiri bercerita.

“Nampaknya adik akak ni dah matang. Kalau macam tu, kakak tak payahlah datang ke sini seminggu sekali. Kakak datang sebulan sekali sajalah.”

“Kak... janganlah macam ni,” pujuk Amin. Dia tidak rela berjauhan dengan Islah. Islah ibarat keluarganya. Gadis itu tempat dia mengadu.

“Amin baru saja kenal dengan Anis. Bila Amin betul-betul kenal dia, barulah Amin beritahu kakak,” terang Amin bersungguh-sungguh.

“Kakak bergurau sajalah, Min. kalau Amin dengan dia pun apa salahnya. Orangnya manis, lemah-lembut dan bersopan-santun. Kakak dah berkenan ni. Bilalah agaknya boleh makan nasi minyak ni?” usik Islah.

“Amboi, baru kenal lima minit dah mula berkenan. Dasyatlah akak ni.”

“Dari kerana mata, yang mempunyai kuasa... oh aku tergoda, aku tergoda terkecewa... dari kerana mata...” Islah menyanyi kecil. Pipi Iszam dicuitnya nakal. Sengaja mengusik.

“Kakak kahwin dulu barulah Amin menyusul.” Masam mencuka Amin diusik oleh Islah.

Baru saja ingin menambah usikkan, deheman seseorang memaksa Islah mengangkat wajah. Tatkala terpandangkan wajah Iskandar di depan kaunter, lidah Islah mula kelu. Matanya bergilir-gilir merenung Iskandar dan Puteri Adelia di sisinya.

“Is, aku dah periksa kucing tu. Dari tadi lagi aku tunggu kau kat belakang. Janji nak jenguk, tak jenguk-jenguk pun.”

Amelia yang baru muncul di kaunter pada mulanya kecoh kemudian juga terkedu. Matanya tertancap pada wajah Iskandar lama. Bibirnya beku. Lidahnya turut kelu.
       “Abang Iskandar...” Lama barulah nama itu meniti di bibir mungil Amelia. Cermin mata dibetulkan bergilir-gilir menatap wajah serba-salah Islah dan wajah tenang Iskandar.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...