Saturday, August 30, 2014

Broga Hill Ditawan

Sabtu. 30 Ogos 2014. Start 9.20 a.m. Finish 10.20 a.m.
































Wednesday, August 27, 2014

Tentang Zuri Yanie

Zuri Yanie merupakan seorang penulis yang berasal dari Kelantan. Penulis yang dilahirkan pada 25 Mei 1988 ini mula mewarnai dunia penulisan novel sekitar tahun 2011. Tidak pernah menghadiri sebarang bengkel atau kursus penulisan formal, Zuri Yanie telah menghasilkan tiga buah novel cinta. Novel sulung beliau ialah sebuah novel cinta yang bertajuk Kupujuk Hati dan disusuli dengan novel kedua berjudul Tak Cinta Tak Apa pada tahun 2014 dan yang terbaru Biar Hati Berbisik Rindu.

Zuri Yanie yang juga merupakan peminat setia Ma Lee Chuswan menganggap menulis adalah satu kaedah terapi yang memulihkan penderitaan jiwa selain untuk kepuasan peribadi dan memenuhi tuntutan jiwa seni. Penulis juga menganggap tujuan berkarya adalah untuk menterjemahkan idea bagi melaksanakan sebuah misi dan visi. Selain menempa nama, ianya karier yang memberi pulangan yang memuaskan.


Penulis boleh dihubungi melalui laman Facebook Zuri Yanie atau melalui emel zuriyanie@yahoo.com.

Email address: zuriyanie@yahoo.com

Facebook: http://facebook.com/zuri.yanie

(Promo) Tak Cinta Tak Apa



video




(Fragmen) Tak Cinta Tak Apa - Bab 2

Saya teringin sangat nak berkongsi sedikit jalan cerita dalam baby kedua ni. Setiap kali nak mendaftar di ILHAM, setiap kali tu la page tu hang, tak boleh nak log in, blurrr. Jadi, solusi saya ialah dengan berkongsi di sini. Sesiapa yang rajin search pak cik google tajuk TAK CINTA TAK APA, insya-ALLAH akan terjumpa post ni.

Anyway, selamat membaca!

Selepas Hisyam dan Mikael berlalu dan baru saja Islah berpaling, tubuhnya berlanggar dengan tubuh seseorang. ‘Gedebuk’ bunyinya bagai buah nangka jatuh ke tanah. Tubuh Islah tersorong ke belakang dan tanpa sempat dia berpaut pada bagasi di tangan, Islah terjatuh ke lantai.

“Awak okey?” cemas suara lelaki itu. Dia tunduk ingin menghulurkan tangan. Niatnya mahu membantu. Silapnya kerana lambat tiba ke lapangan terbang menjemput kawan baik yang baru pulang dari luar negara membuatkan dia kalut sekaligus menyebabkan dia berlanggar dengan gadis di hadapannya ini.

Islah membelek-belek siku dan pangkal lengan. Nasib baik badannya tidak luka. Jika tidak, jenuhlah dia menyental parut dan berpantang kicap. Rungut Islah di dalam hati. Dia masih ralit membelek-belek tubuh tanpa menghiraukan orang di sekelilingnya.

“Awak okey?” soal lelaki itu lagi. Tangan yang dihulurkan masih tidak bersambut. Matanya merenung tepat ke wajah gadis di hadapannya itu.

Islah yang sedang sibuk membelek lengan segera mengangkat wajah. Sejurus mata bertentang mata, muka Islah berubah riak. Wajahnya pucat lesi. Peluh kecil mula merenik di dahi. Kering tekaknya saat dia menelan liurnya sendiri.

“Islah?!” Tergamam dia seketika. Tanpa diduga mereka akan bertemu lagi. Di sini!

“Abang minta maaf sebab terlanggar Is tadi.” Suara lelaki itu singgah di gegendang telinga Islah. Suara yang cuba dilupakan 12 tahun dahulu kini kembali mengisi di dalam fikiran Islah. Sudah lama Islah tidak mendengar suara itu sehinggakan Islah sudah lupa dengan nadanya.

“Is ada luka kat mana-mana?” Melihat gadis itu cuma diam tidak terkutik, dia duduk mencangkung di sebelah tubuh yang masih terlentang itu. Tanganya pantas meneliti lengan dan tangan tanpa meminta izin orangnya terlebih dahulu.

Melihat reaksi lelaki itu, Islah pantas berdiri. Membetulkan pakaian yang tersarung di tubuh dan meredakan debar di dada yang kian memuncak. Peluh kecil di dahi disapu dengan belakang tangan.

“Is!” Mereka berdua pantas berpaling ke arah suara milik seorang gadis. Walaupun lantang namun masih lagi kedengraan manja dan menggoda.

Mata Islah pantas membuntang. Walaupun sudah lebih sedekad mereka tidak berjumpa, wajah gadis itu masih kekal seperti dulu, ayu dan manis. Malah, dia semakin menarik dan penuh dengan gaya.

“Puteri! I minta maaf sebab lambat datang jemput you.”

Islah bungkam. Dia masih tegak berdiri. Menyaksikan drama tanpa disengajakan itu dengan debaran yang kian galak di dada.

Puteri Adelia Megat Junaidi. Nama seindah rupa. Cantik ibarat bidadari. Pintar dan mempunyai hidup yang sempurna. Islah mula merasakan kekurangan diri. Sedaya upaya Islah mula menghayun langkah membelakangi mereka berdua.

Tanpa dipinta dan disengajakan mereka bertiga bertemu kembali. Semuanya menyingkap kembali tirai kenangan suatu ketika dulu. Hati Islah mula dipagut sayu. Ah, semuanya berlaku pada usia dia sedang belajar erti hidup. Waktu itu dia masih lagi mentah menilai erti kasih sayang terhadap kaum berlainan jantina.

“Tunggu!” Langkah Islah terhenti mendengar lelaki itu memanggilnya.

“Ini kad abang. Kalau Is ada luka kat mana-mana, jangan segan call abang. Abang akan bayar ganti rugi.” Islah cuma memandang sepi ke arah kad yang masih berada di hujung jari lelaki itu.

“Is, cepatlah. Puteri dah lapar ni.” Panggilan Puteri Adelia membuatkan mereka berdua tersentap.

“Sekejap,” pinta lelaki itu. Tangannya diangkat tanda meminta Puteri Adelia menanti dengan sabar.

“Sekali lagi, abang minta maaf.” Lelaki itu menarik telapak tangan Islah lalu diletakkan kad perniagaan di atasnya. Tanpa pamitan, dia berlalu menghampiri Puteri Adelia dan mereka berdua berjalan beriringan menuju ke lif.

Islah menatap kad nama yang baru berada di dalam genggamannya tadi. Sebaris nama yang sudah lama luput di ingatnya menggamit Islah merungkai kembali memori silam. Sekali lagi Islah merenung sebaris nama itu dan membaca keseluruhan isi kad kecil tersebut.

Zaki Iskandar Haji Malik. Pengurus.

Sekali lagi kata-kata Iskandar bermain di fikirannya. ‘Ini kad abang. Kalau Is ada luka kat mana-mana, jangan segan call abang. Abang akan bayar ganti rugi.’Iskandar tidak pernah berubah. Lelaki itu sentiasa bongkak dan bangga dengan darjatnya. Bagi lelaki itu, enggang tidak layak terbang seiringan bersama pipit. Islah adalah pipit. Selama-lamanya Iskandar akan memandang Islah sebagai pipit.

Kata-kata Iskandar 12 tahun dulu masih segar di ingatannya. Sampai bila pun Islah tidak mampu memadamkan dari lubuk fikirannya. Hati yang terluka mampu dirawat namun parut yang tinggal sukar untuk hilang.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...