Thursday, December 4, 2014

Puisi Tentang Seseorang

ADA APA DENGAN CINTA?
OST AADC menjadi siulan saya sewaktu di zaman remaja. Cover pada kaset mmg cun habis. Gambar Dian Sastro dan Rangga mmg akan ditelek setiap kali saya masukkan earphone ke telinga untuk dengar lagu2 OST filem ni.

Bimbang
Hanya
Tentang Seseorang
Denting
Ada Apa Dengan Cinta
Kubahagia
Demikianlah
Dimana Malumu
Mencintai dan Dicintai

Sampai sekarang saya masih dengar lagu2 ni. Terutamanya Bimbang (lagu favourite).

Tapi, apa yang lebih terkesan di jiwa tentu sekali lontaran suara Dian Sastro pada puisi Tentang Seseorang. Terkesan.

Bagi saya puisinya sesuai ditujukan pada Aalia (kawannya Cinta yang cuba bunuh diri). Puisi ni seolah-olah menceritakan tentang perasaan dan jiwa Aalia yang terdera.



Tentang Seseorang

By : Rako Prijanto

Ku lari ke hutan kemudian menyanyiku,
Ku lari ke pantai kemudian teriakku

Sepi..sepi dan sendiri aku benci
Ingin bingar aku mau di pasar..


Bosan aku dengan penat
Enyah saja kau pekat

Seperti berjelaga jika ku sendiri


Pecahkan saja gelasnya biar ramai

Biar mengaduh sampai gaduh

Ada malaikat menyulam jaring labah-labah belang di tembok keraton putih


Kenapa tak goyangkan saja locengnya biar terdera?!


Atau aku harus lari kehutan

Belok ke pantai..?

Bosan aku dengan penat

Dan enyah saja kau pekat
Seperti berjelaga jika ku sendiri


P/S : Line publish sambungan AADC. Cool. and I'm in love with Rangga once again. :)

Sunday, November 16, 2014

(Fragmen) Tak Cinta Tak Apa - Bab Akhir

Hmmm... Tak sangka betul dah sampai Bab 10 dah. Nampak gayanya sampai di sini saja fragmen Tak Cinta Tak Apa di'display'. Untuk tahu cerita yang lebih lanjut sebelum bab akhir ni, kena belilah jawabnya :)

Enjoice bab terakhir Tak Cinta Tak Apa...

ISLAH berusaha setenang yang mungkin menilik diri di hadapan meja soleknya. Kebaya putih bersulam indah sudah melekat di tubuhnya, tanda dia akan diijabkabulkan bila-bila masa saja lagi.
“Orang nak kahwin ni selalunya gembira tapi mak cik tengok Is tak pun. Ada apa-apa yang mengganggu di fikiran Is ke?” Kamariah melangkah masuk ke dalam kamar Islah tanpa mengetuk pintu terlebih dahulu. Dia kemudiannya mengambil tempat di belakang Islah, di atas katil pengantin.
Islah cuba untuk tersenyum. Dia berpaling ke belakang, kini duduk mengadap Kamariah. Dia tahu Kamariah gelisah melihat keadaannya yang banyak berdiam diri sedangkan dia sepatutnya orang yang paling gembira di dalam rumah itu.
Mak Cik Kamariah seorang wanita yang tenang. Dahulu ketika ibunya menutup mata, wanita inilah yang memainkan peranan menenangkan dia. Selepas itu, wanita inilah yang menjaga kebajikannya sehingga dia besar begini. Pendek kata, Mak Cik Kamariah ibarat ibu kedua dalam hidupnya.
“Is teringatkan arwah ibu. Kalau ibu ada, tentu sekali dia orang yang paling gembira bila lihat Is bakal berumahtangga.” Islah kali ini mengambil tempat di sisi Kamariah. Jemari wanita itu digenggamnya lembut.
Memang bayangan ibunyalah yang bermain di fikirannya sejak dia menjejakkan kaki ke rumah ini tengah hari tadi. Makin dia cuba bertenang, makin kerap rupa paras wanita itu menghantui fikirannya. Sudahnya, dia melawat pusara arwah ibunya tanpa diketahui yang lain. Sekembalinya dia ke rumah, barulah tenang sikit perasaannya.
“Is nak ucapkan banyak-banyak terima kasih pada mak cik kerana sudi besarkan Is dan Zam. Is dah anggap mak cik macam ibu kedua Is. Tanpa mak cik, Is tak mungkin seperti sekarang. Kalau mak cik tak ada dulu, Is tak tahulah apa nasib kami adik-beradik.” Islah mula memeluk bahu Kamariah. Dia meletakkan kepalanya di bahu wanita itu. Sebak hatinya mengenangkan pengorbanan yang dilakukan oleh Kamariah dan suami untuk dia dan Iszam.
“Ibu Is dah macam adik mak cik. Takkan mak cik nak biarkan anak-anak kepada adik mak cik hidup melarat pulak. Tambahan pula, kelahiran Iszam yang tak diterima abahnya. Mak cik tak sampai hati nak biarkan kamu adik-beradik hidup melarat dek tak diuruskan oleh abah kamu. Dah jadi tanggungjawab mak cik dah.”
Kamariah tenang meluahkan kata-kata. Dia ikhlas menjaga Islah dan Iszam. Si Iszam itu sudah dianggap seperti anaknya sendiri. Dia sayangkan Iszam melebihi nyawanya.
Riuh-rendah di luar bilik Islah langsung tidak mengganggu mereka berdua. Wajah suram Islah yang berlinangan air mata ditatapnya oleh Kamariah melalui cermin.
“Sudahlah tu, Is. Sekejap lagi Is akan jadi isteri orang dah. Lepas ni, tanggungjawab Is lebih besar berbanding dulu. Yang penting taat dan patuh pada suami. Jaga makan dan pakaian suami.” Kamariah berpesan lembut. Dia meletakkan telapak tangannya di atas bahu Islah. Menepuk-nepuk lembut.
“Sudahlah, jangan menangis lagi. Nanti hilang serinya.” Kamariah menarik helaian tisu dan mengelap berhati-hati air mata di pipi Islah.
“Is, mak cik... pengantin lelaki dah sampai.” Amelia muncul di balik langsir pintu bilik. Tersembul wajahnya berseri-seri lengkap mengenakan kebaya hijau bercorak bunga merah jambu.
“Ayuh, kita ke depan. Sekejap lagi dah nak mula akad nikah.” Kamariah memimpin tangan Islah lalu dibawa ke ruang tamu, tempat berlangsungnya majlis akad nikah.
Setelah mengambil tempat duduknya, dada Islah berdebar-debar menanti gerangan bakal suami. Entah bagaimanalah rupanya? Bagaimana pula dengan keturunannya pula? Ah... jika abah yang memilih, takkanlah pula dari yang tidak elok? Islah menggumam sendiri.
Terasa berat ingin mengangkat wajah tatkala rombongan pihak lelaki mengambil tempat di ruang itu. Sekilas, wangian Iskandar menusuk-nusuk ke hidung Islah. Datang juga Iskandar ke majlisnya...
“Is tak nak tengok bakal suami? Tengoklah sekilas sebelum akad nikah.” Kamariah mendekatkan bibir ke telinga Islah.
Islah menurut saja. Dia melirik ke arah tubuh yang mengambil tempat di hadapan imam. Tatkala pandangan mata mereka bersatu, saat itulah dada Islah bergendang hebat. Iskandar!
“Iskandar tak jadi kahwin dengan Puteri sebelum Is berangkat ke tengah laut.”
Sepotong ayat meluncur dari bibir Kamariah mula menenangkan perasaan Islah. Islah akhirnya mengalirkan air mata. Dia gembira dan bersyukur.
“Aku terima nikahnya Islah Dalilah binti Latifi dengan mas kahwinnya 100 ringgit tunai.”
Hanya sekali lafaz saja, Islah kini menjadi yang sah untuk Iskandar.
Usai majlis akad nikah dan sesi bergambar, Islah dan Iskandar ditinggalkan berdua di kamar beradu.
“Kenapa Is tak tunggu abang dulu sebelum berangkat ke laut?” Iskandar mengambil tempat di sisi isterinya.
Enam bulan dia menanti dengan penuh penyeksaan. Islah seolah-olah menutup pintu hati buat dirinya. Mujurlah Islah mengambil keputusan untuk bersuamikan dengan lelaki pilihan abahnya. Itu sajalah peluang yang dia ada, memiliki Islah sekaligus menebus segala silapnya terhadap Islah.
“Abang nak buka buku lama?” Islah mengembalikan soalan. Terlalu banyak persoalan yang bermain di fikirannya. Namun, bukankah buka buku lama bagaikan cuba mencarik perasaan sendiri?
“Supaya lepas ni kita dah tak sama-sama sangsi. Abang nak kita sama-sama rungkaikan apa yang terkusut. Tambah-tambah hubungan kita yang pasang surut.” Kali ini Iskandar mengulas, menjawab dengan tenang.
Islah mengeluh seketika. Dia masih lagi bingung dan seperti bermimpi. Sedangkan kini, dia sudahpun menjadi milik lelaki yang pernah bertakhta di hatinya hingga kini.
“Abang sayangkan Is sama seperti abang sayangkan nyawa abang.” Iskandar menarik jemari isteri lalu mengucup lembut.
“Tapi abang tak percayakan Is bila Is dan Mike dituduh berduaan. Abang tinggalkan Is macam tu aje malam kejadian tu. Malah, abang ambil keputusan untuk berkahwin dengan Puteri.” Islah terangkan dengan tenang. Dia sudah lama kecewa dengan Iskandar. Namun begitu, dia sudahpun merelakan lelaki itu berbuat demikian.
“Is terluka dengan tindakan abang tak percayakan Is dan memilih Puteri. Ditambah pula, kejadian kebakaran di kedai lama sehingga menyebabkan kematian Amin buatkan Is hilang semangat. Cara yang terbaik adalah Is kembali ke tempat kerja. Hanya di sana Is dapat sibuk-sibukkan diri, lupakan apa yang berlaku.” Islah masih lagi tenang. Lukanya sudahpun sembuh. Dia redha dengan pemergiaan Amin. Setiap yang hidup, pasti menemui mati.
“Abang betul-betul minta maaf dengan Is. Abang tahu abang yang bersalah dalam hal ni. Abang bertindak melulu. Tindakan abang menyebabkan perasaan abang terdera. Abang tak henti-henti menyalahkan diri abang atas pemergian Is. Percayalah, abang sentiasa perlukan Is.” Iskandar memeluk tubuh Islah erat. Entah bagaimanalah dia mampu merawat luka Islah dek perbuatannya?
“Pada hari pernikahan abang dengan Puteri, hati abang berbolak-balik. Abang seolah-olah menyesal kerana memilih Puteri untuk dijadikan isteri sedangkan abang tahu jauh di sudut hati ni abang cintakan Is.”
“Abang mohon ampun dari Is kerana pernah lukakan hati Is dulu...” pinta Iskandar bersungguh-sungguh. Dagu Islah diangkat menentang wajahnya, bila Islah mengangguk dia mengucup lembut dahi isterinya itu.
“Pada hari tu juga, tanpa terduga Puteri ditangkap kerana membakar kedai Is dengan niat.” Waktu itu Iskandar masih teringat lagi akan Puteri yang merayu-rayu minta diselamatkan. Sewaktu Puteri cuba melarikan diri, dia tersadung di karpet lalu jatuh. Waktu itulah semua mata terpandangkan darah merah pekat mengalir dari pahanya.
Alangkah bertuahnya dia kerana sebelum berkahwin segalanya sudah terungkai. Rupa-rupanya selama ini, Puteri mengandungkan anak luar nikah dan mencari pak sanggup untuk dijadikan bapa kepada kandungannya itu. Dia sungguh tidak menyangka dek keadaan keluarga porak peranda, Puteri menjadi seliar itu.
Berkerut dahi Islah mendengar penerangan suami. Mengapa tidak ada sesiapa bercerita dengannya tentang perkara ini?
Melihat dahi Islah berkerut, dia tahu Islah bingung dengan penerangannya.
“Abang yang minta pada semua orang jangan ceritakan tentang perkara ni. Abang sendiri yang akan terangkan pada Is bila kita dah nikah.” Iskandar cuba merungkaikan kekusutan yang bermain di fikiran Islah.
“Untuk pengetahuan Is, Puteri sebenarnya sedang mengandungkan anak di luar nikah waktu kami merancang untuk kahwin. Mujurlah segala temberangnya pecah pada hari dia tertangkap. Dia jatuh di ruang tamu dan semua orang melihat dia keguguran di situ.”
Terkedu Islah mendengar cerita Iskandar. Sungguh dia tidak menyangka rakan sekolahnya dulu menjadi begini. Bukankah dulu mereka sama-sama ke surau solat berjemaah dan mendengar ceramah-ceramah agama setiap kali dianjurkan pihak sekolah? Masih tak cukup lagikah pendidikan rohani yang dibekalkan oleh sekolah dahulu? Mereka bukannya datang dari sekolah biasa, bahkan dari sekolah yang cemerlang pendidikan, sukan dan rohani.
“Tak habis-habis lagi berbual?” Ibu kepada Iskandar datang menjenguk.
“Hisy... kalau nak peluk-peluk pun tutuplah pintu dulu,” sambungnya lagi, mengusik.
“Ada orang jealous ke ibu?” Iskandar cuba berjenaka. Islah pula merona wajahnya ditegur ibu mentua. Dia langsung tak perasankan pintu yang luas terbuka.
“Is, cuit-cuit saja isteri tu jangan melebih. Nanti hilang serinya atas pelamin esok. Lepas sanding esok, kamu nak buat apa, buatlah!” Rohani berpesan tegas. Bahu anak lelaki bongsunya dicuit kasar.
“Sekarang tak boleh ke ibu?” Iskandar cuba berjenaka lagi. Kali ini jenakanya berserta piatan dari isteri dan ibunya serentak. Serentak dia ketawa senang.
“Jangan nak mengada-ngada. Ibu dah nak balik ni. Dalam telefon boleh borak lagi. Esok malam, nak borak sampai ke pagi pun ibu tak kisah.” Kali ini Rohani sudah melangkah ke pintu.
“Ibu tunggu kat luar. Is, ibu balik dulu ye sayang. Jangan bagi Iskandar lebih-lebih, nanti tak ada seri esok.” Rohani sempat berpesan sebelum berlalu.
Melihat Rohani menghilang di balik langsir, tangan Iskandar melingkar kembali di pinggang isterinya.
“Abang, ibu kan dah pesan tadi? Cepatnya lupa!” Islah pura-pura marah. Dia menepis tangan suami yang melingkar.
“Ish, Is pun ikut cara lama jugak ke? Sekarang kan dah moden. Lagipun, semua benda abang boleh lupa kalau ada isteri abang ni.” Iskandar mencuit hidung isterinya nakal. Sengaja menguji isteri dengan kata-katanya tadi. Tangannya masih berlingkar memeluk isterinya erat.
“Ikut cara lama kan bagus? Esok boleh jumpa lagi.” Islah menolak lembut tangan suaminya.
Iskandar akhirnya menurut. Dia duduk mengadap wajah isterinya dekat.
“Malam nanti abang call Is, boleh tak?” Iskandar merendahkan suara, berbisik.
Islah tertawa mendengar permintaan suami. Dia mengangguk laju.
“Is kan dah jadi milik abang. Kenapa nak minta izin lagi?” Pipi suami diusapnya lembut. Dia akhirnya mendaratkan bibirnya di situ.
“Is dah terfikir kat mana kita nak berbulan madu?” Iskandar menatap mata isteri dengan penuh kasih sayang. Dia mengelus lembut wajah isterinya itu tatkala Islah menggeleng.
“Abang dah tempah tiket ke Paris hujung minggu ni.  Lepas resepsi di KL, kita bertolak ke sana ye sayang?”
Tanpa menunggu persetujuan Islah, dia menyambung kata.
“Abang dah janji pada diri abang, selagi abang tak kahwin dengan Is... abang takkan ke Paris. Akhirnya, impian abang tercapai untuk bawa isteri abang ke Kota Cinta.” Kali ini dia sudahpun bangun. Jemari isteri ditarik ke bibirnya.
“Abang balik dulu, Is. Esok kita jumpa lagi.” Sebelum berlalu pergi, Iskandar sempat menghadiahkan kucupan di dahi isterinya.
Islah melambai-lambai lembut ke arah beberapa buah kereta mewah yang menyusur keluar dari perkarangan rumahnya. Lambaian suami dibalasnya dengan senyuman dan anggukkan. Dia kini dihurung bahagia. Pelukan abah dan Iszam membuatkan dirinya dihujani rasa syukur.
Terima kasih Ya ALLAH kerana menganugerahkan aku keluarga yang bahagia.



TAMAT

Sunday, November 9, 2014

Chandelier - Sia Kate Isobelle Furler

Chandelier by Sia merupakan salah satu lagu kegemaran saya
Biarpun liriknya memang jelas dan nyata berkisarkan tentang kegilaan penulis terhadap alkohol tapi bagi saya ia membawa maksud yang tersirat. Jom teroka lirik lagu ni...






Party girls don't get hurt
Can't feel anything, when will I learn?
I push it down, push it down

Gadis yang suka berpesta takkan mudah terluka. Akulah gadis yang suka 'berpesta' itu. Hidup aku ceria tanpa masalah. Aku hidup dengan hal yang positif dan ceria saja kerana dengan ini aku akan kebal dari derita dan menukar hidup yang beban menjadi ringan. (POSITIVE THINKING)

I'm the one "for a good time call"
Phone's blowin' up, ringin' my doorbell
I feel the love, feel the love


Aku merupakan pendengar yang terbaik kepada sesiapapun. Datanglah padaku bila-bila masa untuk meluahkan masalah kerana dengan cara begitu aku akan rasa disayangi dan diperlukan. Dan aku benar-benar maksudkannya. (GOOD LISTENER)

1, 2, 3, 1, 2, 3, drink
1, 2, 3, 1, 2, 3, drink
1, 2, 3, 1, 2, 3, drink
Throw 'em back 'til I lose count


Dan dengarlah nasihatku setelah kau luahkan masalahmu. Tapi jika kau tak mahu mendengar, itu tidak mengapa bagiku. (CARING)

I'm gonna swing from the chandelier, from the chandelier
I'm gonna live like tomorrow doesn't exist
Like it doesn't exist
I'm gonna fly like a bird through the night, feel my tears as they dry
I'm gonna swing from the chandelier, from the chandelier

Cerialah dalam hidup seperti mana kau berayun di lampu gantung. Biarpun ia rapuh tapi sungguh menyenangkan. Mari menikmati hari ini seindah-indahnya seolah hari esok tak akan ada lagi. Nikmatilah hidup dengan tenang dan sapulah air mata. Hadapi hidup dengan senyuman. (TODAY IS BETTER THAN YESTERDAY)

But I'm holding on for dear life, won't look down, won't open my eyes
Keep my glass full until morning light, 'cause I'm just holding on for tonight
Help me, I'm holding on for dear life, won't look down, won't open my eyes
Keep my glass full until morning light, 'cause I'm just holding on for tonight
On for tonight

Mari mulakan hidup dengan cara yang terbaik kerana kita yang bertanggungjawab terhadap hidup kita sendiri. Isi gelas semangat dengan segala kebaikan kerana kita diberi kesempatan hidup cuma sekali. (BE GOOD)

Sun is up, I'm a mess
Gotta get out now, gotta run from this
Here comes the shame, here comes the shame

Melihat kehidupan orang lain yang lebih bersinar memang menyakitkan. Biasakan diri, cuba keluar dari belenggu iri hati dan hasad dengki. (BE POSITIVE)

1, 2, 3, 1, 2, 3, drink
1, 2, 3, 1, 2, 3, drink
1, 2, 3, 1, 2, 3, drink
Throw 'em back 'til I lose count

Dan dengarlah nasihatku setelah kau luahkan masalahmu. Tapi jika kau tak mahu mendengar, itu tidak mengapa bagiku. (CARING)

I'm gonna swing from the chandelier, from the chandelier
I'm gonna live like tomorrow doesn't exist
Like it doesn't exist
I'm gonna fly like a bird through the night, feel my tears as they dry
I'm gonna swing from the chandelier, from the chandelier


Cerialah dalam hidup seperti mana kau berayun di lampu gantung. Biarpun ia rapuh tapi sungguh menyenangkan. Mari menikmati hari ini seindah-indahnya seolah hari esok tak akan ada lagi. Nikmatilah hidup dengan tenang dan sapulah air mata. Hadapi hidup dengan senyuman. (TODAY IS BETTER THAN YESTERDAY)

But I'm holding on for dear life, won't look down, won't open my eyes
Keep my glass full until morning light, 'cause I'm just holding on for tonight
Help me, I'm holding on for dear life, won't look down, won't open my eyes
Keep my glass full until morning light, 'cause I'm just holding on for tonight
On for tonight
On for tonight
'Cause I'm just holding on for tonight
Oh, I'm just holding on for tonight
On for tonight
On for tonight
'Cause I'm just holding on for tonight
'Cause I'm just holding on for tonight
Oh, I'm just holding on for tonight
On for tonight
On for tonight



Mari mulakan hidup dengan cara yang terbaik kerana kita yang bertanggungjawab terhadap hidup kita sendiri. Isi gelas semangat dengan segala kebaikan kerana kita diberi kesempatan hidup cuma sekali. (AIM HIGHER AND SET GOALS)

(Fragmen) Tak Cinta Tak Apa - Bab 10

ISLAH sudah lengkap berbaju kurung dan berdandan. Dia menilik wajah di hadapan cermin. Setelah berpuas hati, dia berjalan menuju ke bahagian dapur mencari Kamariah di sana. Wanita itu tidak dijumpainya tetapi sarapan pagi sudah terhidang di atas meja.
“Cantik anak abah hari ni. Nak ke mana?” Latifi muncul secara tiba-tiba, mengejutkan Islah yang tekun mengacau kopi untuk dihidangkan.
Melihat abahnya mendekat, seraya gadis itu menarik jemari abahnya lalu dikucup lembut.
“Selamat pagi, abah,” ucapnya sopan. Pandangan mata mereka bersatu, masing-masing memancarkan sinar bahagia.
Semalaman mereka meluangkan masa bersama-sama. Pelbagai cerita suka dan duka dikongsi bersama. Peti kenangan dibuka kembali untuk mengimbau kisah lampau. Cerita dari bagaimana abah membesar sehinggakan cerita mereka bertemu kembali semalam bagaikan meniup satu semangat baru dalam diri Islah. Dia mula bertekad untuk membahagiakan abah dan adiknya walau apapun berlaku.
“Jemput duduk, abah.”
“Tak sangka mak cik awal-awal lagi dah sediakan sarapan untuk kita. Kalau Is tahu, boleh Is tolong apa yang patut. Tak mahulah menyusahkan mak cik lagi bila Is dah balik ni. Dia dah lama sangat dia berbudi dengan keluarga kita.” Islah mengambil tempat di hadapan abahnya.
“Mak cik Is tu datang masak masa Is balik aje. Sebelum ni abah makan kat luar. Dia datang sekali-sekala memasak kat sini bila abah tak sihat.” Giliran Latifi mengulas ringkas.
Selama ini, memang dia makan di luar saja. Itupun pada waktu pagi dan tengah hari. Malam pula masanya banyak dihabiskan di masjid. Usai berjemaah, dia akan ke warung bersama rakan-rakan jemaah yang lain menghirup teh tarik. Itu sajalah makan malamnya untuk menjaga kesihatan yang tak menentu sekarang ni.
“Lain kali Is nak minta mak cik kejutkan Is bila nak masak nanti.” Kuih Ketayap disorongkan ke dalam mulut lalu dikunyah perlahan. Hmm... sedapnya. Rasanya tak pernah berubah sejak dari dulu.
“Hisy... anak abah ni. Dah baca bismillah ke belum?” Latifi mengusap lembut rambut anak gadisnya dan turut sama mencapai kuih gulung hijau berinti kelapa di dalam pinggan.
“Dah... baca dalam hati pakej dengan doa makan sekali,” ucap Islah separuh jenaka.
Habis satu kuih gulung di tangan, Islah mencapai teko berisi kopi O dan dituangkan ke dalam cangkir abahnya dan dia.
“Mikael dan Syam belum bangun lagi ke?” Latifi menyambung bicara. Pinggannya yang kosong kini terisi nasi goreng. Tanpa menunggu masa dan jawapan Islah, dia terus menyuap sesudu ke dalam mulut lalu dikunyah perlahan.
“Alamak, Is lupa nak kejutkan dia oranglah.” Islah menepuk dahi. Ada tawa dihujung kata-katanya.
“Apalah tuan rumah ni. Dah, pergi panggil cepat...” Latifi mencubit lembut pipi anaknya sekaligus mengarah Islah ke bilik tetamu menjemput Mikael dan Hisyam untuk bersarapan bersama.
Islah berlalu ke ruang hadapan rumah. Sekejap saja, Islah terkocoh-kocoh kembali ke meja makan.
“Mike dan Syam tak nak makan.” Islah duduk di tempatnya kembali. Wajah gadis itu merah menahan bahang matahari yang mula menerjah masuk melalui cermin tingkap dapur.
“Pandailah kau. Amboi, makan tak ajak!” Hisyam tiba di meja makan dengan mulutnya petah berceloteh. Jari telunjuknya sempat ditujah di kepala Islah tanpa dia sedar Latifi turut memerhati.
“Siapa suruh tidur lepas solat Subuh. Rezeki tak masuk, tahu tak? Hah, inilah rezeki kau yang nyaris-nyaris tak masuk.” Islah menempelak. Bibirnya mencebir tatkala Hisyam mengetap bibir sambil sepasang telunjuknya diarahkan ke mata Islah.
“Mike tak tidur pun kau tak panggil. Hah, kes Mike ni macam mana pulak?” Hisyam menambah. Mempersoalkan apa yang diluahkan oleh Islah tadi. Selagi tak menang, dia tak akan mengaku kalah berdebat dengan Islah.
“Err... err.. yang tu...” Tergagap-gagap Islah ingin membidas. Akhirnya dia menggaru leher yang tak gatal.
“Yang Berhormat... Yang Berhormat... sudahlah tergagap-gagap, ada hati mahu berdebat dengan saya, Yang Berhormat?” Hisyam ketawa di hujung kata-katanya. Wajah Islah yang terkulat-kulat menyuap nasi ke dalam mulut mencuit hatinya.
“Sudahlah tu. Kau ni Syam, kalau dengan Islah ada saja nak cari pasal.” Mikael tiba dengan wajah bersih sekaligus mematikan percakaran antara Islah dan Hisyam. Tubuhnya masih tersarung baju melayu teluk belanga dan berkain pelikat. Jarang sekali dapat melihat lelaki bermata hijau berpakaian begitu. Namun, bagi Mikael, dia bagaikan sudah biasa mengenakannya.
“Assalamualaikum, semua.” Usai salamnya disahut, Mikael mengambil tempat di sebelah Hisyam. Matanya terus menangkap wajah Islah yang sudah bersiap.
“Is cantik hari ni dengan baju kurung, nak ke mana?” tanya Mikael. Tidak pernah dia melihat Islah berbaju kurung sebelum ini. Maklumlah, bekerja di pelantar takkanlah pula hendak melawa dengan baju kurung pula? Hari ini gadis itu kelihatan sopan sekali jika hendak dibandingkan pemakaian Islah di tempat kerja. Ibarat beluncas bertukar menjadi rama-rama cantik!
Panjang sengihan Islah dipuji oleh Mikael. Matanya bersinar-sinar membalas renungan Latifi. Semua mata menikam ke wajah Islah. Masing-masing menunggu jawapan Islah daripada menghadap hidangan pagi yang menyelerakan itu.
“Nak jumpa dengan boyfriend,” ringkas jawapan Islah. Langsung mengundang kerutan di dahi masing-masing.
“Sejak bila pulak kau ada buah hati ni?” Hisyam menduga, menggaru leher yang tiba-tiba terasa gatal tatkala mendengar pengakuan Islah.
“Lelaki semalam yang kita jumpa kat restoran tu ke?” Kali ini Mikael bersuara, mengundang renungan tajam dari Latifi.
“Betul ke, Is?” Soalan dari Latifi menarik dua pasang mata lagi menumpu ke arah Islah. Masing-masing menanti jawapan yang pasti.
“Bukanlah. Is nak hantar Iszam ke sekolah.” Islah mengalihkan pandangannya ke arah Latifi. Kata-katanya penuh makna. Latifi akhirnya turut tersenyum. Faham sudah dengan tujuan Islah berdandan pagi ini.
“Iszam? Bila masa pulak kau ada boyfriend nama Iszam ni, Is?” Hisyam mencelah. Memudarkan sinaran mata Islah.
“Hisy kau ni, Syam. Iszam tu kan adik Is. Berapa kali nak cakap, asyik lupa aje,” rungut Mikael.
Latifi sekadar memerhati kerenah dua orang tetamu rumahnya. Baru saja sehari hari mereka di sini, jiwanya yang kosong terisi. Ditambah pula dengan kepulangan Islah sekali, hidupnya ceria kembali.
 “Kau makan berapa ekor semut agaknya? Orang makan kismis nak bagi otak sihat. Kau makan semut. Kalau serdak tu, okeylah jugak. Makanan.” Islah menambah. Mulutnya dijuih ke arah Hisyam. Sengaja mahu mengundang cebikkan lelaki itu.
“Amboi, kau kalau bab menambah... nombor satu!” Hisyam mengetap bibir. Dia tahu Islah sengaja menambah tadi. Akhirnya, dia senyum sendiri bila teringat kata-kata emaknya. Jangan selalu bergaduh, lama-lama nanti kahwin dengan dia. Senyumannya bertukar tawa. Geli hati memikirkan jika dia dan Islah tinggal sebumbung nanti. Porak-peranda!
“Tengok... boleh pulak dia gelak.” Membuntang mata Islah mendengar Hisyam ketawa. Akhirnya, seluruh isi meja itu ketawa tanpa mengetahui sebab Hisyam ketawa. Ketawa memang berjangkit!
“Latifi!”
Tawa yang meledak di dapur serta merta mati mendadak.
“Latifi!”
Laungan dari arah luar rumah memaksa ahli meja itu bangun serentak. Mereka mengatur derap bersama-sama menuju ke hadapan rumah. Nasi di dalam pinggan Latifi masih lagi tinggal separuh ditinggalkan begitu saja. Kopi O pun masih tidak disentuhnya.
“Siapa pagi-pagi dah datang ke rumah kita?” Persoalan timbul di fikiran Latifi sekaligus terbit dari bibirnya. Dia berusaha setenang yang mungkin sambil menyusun langkah seiring dengan anak gadisnya.
Hisyam, Mikael dan Islah turut berteka-teki. Berkerut dahi masing-masing mendengar nama abah Islah dipanggil kasar dari luar rumah. Gerangan siapakah yang mengganggu mereka ketika menjamu makan pagi itu?
“Ada apa ni Abang Mansor... Abang Samad...”
Latifi menyoal sopan tatkala mereka tiba di muka pintu. Lima orang lelaki yang hampir sebaya dengannya sedang berdiri tegak di halaman rumah dengan wajah bengis. Dia berusaha setenang yang mungkin untuk menghadapi apa jua bakal dilalui nanti.
Latifi arif benar dengan perangai Mansor dan rakan-rakannya yang lain. Dia akan memberontak jika ada perkara yang membuatkan dia tak senang. Apa sebab mereka berkunjung ke rumahnya pagi hari begini?
Tangannya Latifi segera memaut erat bahu anak gadisnya. Islah yang akan menjadi kekuatan baginya jika apa-apa akan terjadi selepas ini.
“Kami takkan kerja selagi gaji dua bulan kami tak dibayar!”
Mansor, selaku kepala di antara kumpulan itu menyuarakan hasrat tatkala matanya tertancap pada batang tubuh Islah dan dua orang lelaki yang tidak dikenali. Benarlah, sudah heboh satu kampung Islah kembali semula ke sini bersama dua orang lelaki asing. Kata-kata penduduk kampung ketika dia bertandang di warung Mak Su semalam adalah benar.
“Pak Cik Mansor... masuklah dulu. Boleh sarapan sekali.” Islah cuba menenangkan diri. Dimaniskan wajah membalas pandangan lima orang lelaki di hadapan rumah itu yang mencerlung.
Kedatangan tetamu yang tidak diundang itu membuatkan dada Islah berdetak hebat. Pastinya ada perkara mustahak yang ingin dibincangkan memandangkan kedatangan mereka berlima bukanlah dengan wajah manis tetapi bengis.
“Ah... tak payah kau nak hidangkan sarapan pulak. Kau ingat dengan hidangkan kami makanan, kau dapat redakan kemarahan kami?” Mansor menyergah.
Kecut perut Islah dibuatnya. Terkulat-kulat Islah di sisi abahnya.
“Kami datang ni nak tuntut duit kami. Kamu dah berjanji dengan kami yang hari ni kamu akan lunaskan gaji kami.” Mata Samad menerkam terus pada anak mata Latifi. Wajahnya bengis. Parut kesan cakaran harimau tujuh tahun dahulu masih melekap di wajahnya menambah kebengisannya.
“Mana saya nak cekau duit sebanyak tu sekarang ni, Abang Samad. Lagipun, saya tak pernah berjanji akan bayar hari ni.” Latifi tenang bersuara.
“Kau jangan nak tipu aku, Latifi. Kau kata anak kau ni banyak duit, tentu dia boleh bayarkan,” bentak Mansor. Tangannya mula menghentak tiang rumah itu.
“Ya ALLAH, bawa bertenang abang. Bila masa pulak saya cakap macam tu?” Latifi menyangkal kata-kata Mansor. Berderau darahnya bila tangan Mansor menyentuh kasar tiang hadapan rumahnya.
Dada Islah mula berdegup kencang. Kata-kata Mansor dan abahnya membuatkan fikiran Islah keliru.
“Kau jangan nak kelentong aku pulak, Latifi. Kalau kau tak ada duit, kau kata kau akan jual saja anak kau tu. Langsai semua hutang kau nanti,” bidas Mansor. Dia sudah tidak mempedulikan Islah yang berubah riak. Yang penting hari ini dia akan mendapat duitnya seperti yang dijanjikan.
“ALLAH...” Sepantas itu juga air mata Islah tumpah. Dia tidak menyangka kata-kata hinaan itu akan terbit dari bibir Pak Cik Mansor. Bukan, dari bibir abahnya sendiri...
Hancur luluh hati Islah mendengar apa yang dikatakan oleh Mansor tadi. Benarkah abahnya ingin memperdagangkan darah dagingnya sendiri demi kepentingan diri?
“Abah... sampai hati abah nak jual Is semata-mata nak bayar hutang abah ni. Ni ke tujuan sebenar abah suruh Is balik ke sini?” Airmata mula membasahi wajah Islah tanpa segan silu. Sungguh dia tidak mengangka niat abahnya begitu. Apakah selama ini abahnya terlalu dendamkan dia sehingga sanggup menjual anak sendiri?
“Is... sumpah abah tak pernah cakap macam tu.” Latifi segera berpaling mendapatkan anaknya. Tubuh Islah dipeluknya erat. Sumpah!
Dalam hidupnya, Latifi tidak pernah berniat ingin memperdagangkan darah dagingnya sendiri. Islah adalah bukti cinta dia dan Manisah. Anak itu penyambung keturunannya dan keturunan Manisah. Tanpa Islah, hidup dia dan Manisah tidak akan bahagia.
“Sampai hati abah...” Islah menangis lagi. Pelukan abahnya tidak memberikan apa-apa makna buatnya. Hatinya sudah terguris. Luka yang lama berdarah kembali.
“Demi ALLAH, Is. Abah tak pernah cakap macam tu.” Latifi sudah bersumpah. Ubun-ubun Islah dikucupnya bertalu-talu.
“Ah... sudahlah. Jangan nak berdrama kat sini pulak. Cepat bayar gaji kami!” Samad membentak, merungkai pelukan Latifi di tubuh Islah.
“Pak cik, Is minta tempoh sampai esok. Is akan langsaikan hutang abah secara tunai.” Islah mengesat air matanya dengan belakang telapak tangan. Suaranya dikawal supaya tidak kedengaran esak.
“Esok pagi kami datang lagi.” Mereka berlima segera berlalu. Meninggalkan Islah dengan linangan air mata, Latifi dengan wajah yang keruh dan Mikael dan Hisyam dengan wajah yang keliru.
“Is... dengar dulu penjelasan abah.” Tubuh Islah digoncangnya Latifi. Dia benar-benar kecewa melihat air mata mengalir lesu di pipi anak gadisnya itu.
“Mike, Syam... kita ke bandar. Aku nak keluarkan duit dari bank.” Pinta Islah lesu. Wajah keruh Latifi tidak diendahkannya. Hatinya hancur luluh setelah mendengar kata-kata Mansor tadi.
Mikael dan Hisyam serentak mengangguk. Masing-masing serba salah. Antara Islah dan abahnya, siapa yang harus ditenangkan?
SUASANA di dalam kereta sunyi sepi. Hanya Mikael yang mengikut Islah ke bandar. Hisyam meminta diri untuk tinggal di rumah saja tadi. Dalam diam selepas melihat Islah berlalu ke bilik dan menangis di situ, Mikael dan Hisyam berbincang untuk menyelesaikan masalah Islah dan abahnya.
“Is, kau tak boleh nak tuduh abah kau tanpa usul periksa tadi.” Mikael memulakan bicara setelah mereka diam terlalu lama. Hanya suara DJ radio menemani perjalanan itu ke bandar sejak dari tadi lagi.
“Kau pun sebelahkan abah aku jugak, Mike?” Serak kedengaran suara Islah kala itu.
Setelah puas Islah menangis, dia keluar dari biliknya dengan wajah sembap. Merah padam mata dan hidungnya waktu itu. Kasihan sungguh hati Mikael melihat Islah berkeadaan begitu. Waktu itu jugalah Islah mengajaknya ke bandar untuk mengeluarkan duit.
Niat gadis itu ke sekolah terpaksa pula dibatalkan. Baru saja pagi tadi mereka mesra di meja makan. Kemesraan yang terjalin bagai lenyap begitu saja setelah beberapa orang lelaki seusia abahnya datang mengamuk di laman rumah.
“Aku tak sebelahkan sesiapa pun, Is. Tapi kita tak boleh cepat menilai sesuatu perkara. Mungkin dia orang nakkan duit sebab tulah dia orang libatkan kau.” Mikael cuba meluahkan pendapatnya. Harap-haraplah Islah akan pertimbangkan. Dia tak mahu hubungan yang kembali bertaut ini putus semula hanya kerana tuduhan tak berasas.
Islah diam di tempat memandunya. Berkali-kali hatinya cuba menidakkan kata-kata Pak Cik Mansor tadi, namun setiap kali cuba ditepis setiap kali itulah hatinya sakit. Air matanya tidak henti-henti mengalir pagi tadi mengenangkan kata-kata itu. Sungguh tak disangka abahnya begitu.
“Kau tak kenal abah aku. Kalau dia sanggup halau aku dulu tak bermakna dia tak sanggup jual aku macam tu saja,” luah Islah. Perasaanya kini sudah tenang. Lama dia menangis tadi sehingga tertidur.
“Tapi dia tak buat, kan? Kalau betul dia nak jual kau tentu masa kita sampai di sini semalam dia dah buat.”
Islah terdiam mendengar hujah Mikael.
“Fikirlah Is...” Mikael tak henti-henti menasihati Islah.
“Hati aku sakit lepas dengar apa yang Pak Cik Mansor cakap. Kau tak berada di tempat aku. Kau tentu tak rasa apa yang aku rasa sekarang.” Islah meluahkan isi hatinya. Pemanduannya masih lagi teratur. Fikirannya masih lagi waras. Dia cuba bersikap tenang.
“Aku faham, Is. Memang bukan aku yang rasa sekarang ni. Tapi kau tak sepatutnya percayakan orang lain. Aku tengok abah kau bersungguh-sungguh tadi nak yakinkan kau yang dia tak bersalah. Kau sepatutnya beri dia peluang. Ni tak. Alih-alih kau kurung diri dalam bilik. Tinggalkan abah kau macam tu saja.” Mikael makin galak berdebat dengan Islah. Selagi Islah masih berkeras menuduh abahnya, selagi itulah dia akan cuba yakinkan gadis itu.
Selepas melihat Latifi terduduk di hadapan pintu bilik Islah tadi, dia jatuh kasihan kepada lelaki itu. Bertambah kasihan dia melihat Latifi mengalirkan air mata di situ sambil memanggil nama Islah. Islah sepatutnya memberikan abahnya peluang untuk berbicara. Bukannya menghukum membuta-tuli.

“Aku perlukan masa, Mike. Apa yang jadi tadi buatkan hati aku sakit. Aku hilang percaya pada abah aku. Tolonglah, Mike. Jangan serabutkan fikiran aku.” Muktamad.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...