Friday, April 5, 2013

Review: Allahyarham Tan Sri P.Ramlee



A word to describe about him, LEGEND.

Allahyarham merupakan idola dalam hidup saya. Sejak saya kecil sampailah umur saya meningkat ke pertengahan dewasa ni, saya masih belum puas melayan karya2 beliau. Daripada lagu hingga ke filem yang dihasilkan memang mengunci jiwa saya pada nama Tan Sri P. Ramlee.

Beliau dilahirkan pada 22 Mac 1929 bersamaan hari Rabu iaitu pada waktu pagi hari raya pertama Aidilfitri. Beliau diberikan nama Teuku Zakaria Bin Teuku Nyak Puteh. Beliau merupakan anak kelahiran Pulau Pinang dan dibesarkan di sana.



Tan Sri P. Ramlee menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Kampung Jawa dan kemudiannya ke sekolah Francis Light. Selepas itu, beliau menyambung pengajian di Penang Free School sehingga tercetusnya perang dunia ke 2. Semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu, Tan Sri menyambung pengajiannya di Japanese Navy Academy. Kemudian, sesudah Jepun meninggalkan Tanah Melayu, beliau kembali di Penang Free School dan bergiat aktif dalam sukan.



Kerjaya seni Tan Sri P. Ramlee boleh dikatakan bermula di Penang Free School. Selain bergiat aktif dalam sukan, beliau juga telah menyertai brass band di bawah bimbingan Encik Kamaruddin. Melalui bimbingan tersebut, beliau bermula dengan bermain ukele kemudian beralih kepada gitar dan seterusnya biola. Hasilnya, beliau telah menyertai Orkes Teruna Sekampong dan Sinaran Bintang Sore.

Oleh kerana keghairahan Tan Sri P. Ramlee terhadap muzik, sekali lagi beliau menyertai pertandian nyanyian yang dianjurkan oleh Penang Radio pada tahun 1947. Dan kali ini beliau dinobatkan sebagai juara dan terpilih sebagai Bintang Penyanyi Utama Malaya. Dek kerana sewaktu menggunakan gelaran P. Ramlee (P=Puteh) ketika pertandingan tersebut dan menang, beliau menganggap nama tersebut membawa tuah kepadanya maka dikekalkan sehingga kini.

Tan Sri P.Ramlee telah mengarah sebanyak 35 buah filem, berlakon dalam 66 filem dan menghasilkan  sebanyak 360 lagu sepanjang hayatnya. Sepanjang penglibatan beliau dalam bidang seni, beliau telah merangkul 11 anugerah. Sehingga kini, filem-filem karya beliau masih lagi ditayangkan di stesen televisyen.



Tan Sri Datuk Amar Dr. P.Ramlee merupakan seorang pengarah, pelakon, penyanyi, penulis lirik, penggubah lagu dan juga penerbit yang tersohor di Malaysia. Beliau merupakan seorang ikon penghibur di Malaysia, Singapura mahupun di Sumatera. Pemergian beliau pada 29 Mei 1973 meninggalkan kesan mendalam di jiwa penggemar karya beliau dan pemergian beliau tiada pengganti. 

Al-Fatihah.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...