Friday, September 9, 2011

Cerpen: UNTUK KALI YANG TERAKHIR

Julia menyapu hujung mata yang berair. Kali ini, sudah enam kali bertemu bulan Ramadhan. Wajah bekas suami yang ditunggu masih tidak kunjung tiba. Puas sudah Julia berdoa. Puas sudah Julia cuba ikhtiar mencarinya, tetapi segalanya hampa. Tetapi sebagai isteri, jauh disudut hati kasihnya pada lelaki itu tidak pernah berubah.

**********************************************************************

“Abang... Abang jangan pergi.” Julia separuh meraung. Tangisannya tidak diendahkan. Fakrul sudah mengemas pakaian ke dalam beg. Komputer riba yang masih terbuka di atas meja ditutup rapat lalu dimasukkan ke dalam beg laptop.

“Abang... Apa salah Julia, bang? Jangan tinggalkan Julia macam ni. Julia tak mampu nak hidup keseorangan.” Julia menarik lengan suami. Berharap suami mengerti perasaannya kala itu. Air mata yang mengelir deras menuruni wajah langsung tidak menimbulkan simpati Fakrul.

Tubuh Julia ditolaknya kasar. Keras bunyi Julia jatuh mencium lantai. Kedengaran suara wanita itu mengaduh kesakitan namun langsung tidak menimbulkan simpati Fakrul.

“Abang...” Dia gagahkan diri. Memeluk kaki Fakrul erat agar lelaki itu tidak berlalu begitu saja.

“Abang... Jangan pergi. Apa salah Julia, bang? Salah ke Julia kalau Julia mengandung? Anak ni anak kita, bang. Darah daging kita. Dia yang akan mendoakan kita bila kita dah tak ada nanti.” Teresak-esak Julia menangis.

“Ah!!!... Dah berapa kali aku cakap dengan kau. Jangan mengandung. Tapi kau tak nak dengar. Kau pun tahu, kan? Aku ni bukannya sukakan budak-budak. Nanti menyusahkan saja.” Keras kata-kata Fakrul. Sebenarnya bukan itu sebab dia ingin meninggalkan Julia. Dia mendapat telegram daripada papa Julia. Lelaki itu memberikan amaran padanya. Jika dia tidak meninggalkan Julia, keluarganya akan diancam. Dia masih punya ramai adik. Adik-adiknya perlu belajar. Jika biasiswa mereka disekat, ke mana harus dia mencari duit bagi membiayai mereka nanti?

“Abang! Sampai hati abang buat Julia macam ni. Jangan tinggalkan Julia, bang.” Julia mula meraung kembali. Fakrul sudah berlalu pergi meninggalkan dia sendirian di situ.

**********************************************************************

“Apa yang sedang Julia fikirkan?” Kasmah menghampiri Julia. Memeluk bahu wanita itu erat. Julia hanya senyum nipis menjamah wajah mamanya sebelum beralih kepada Ezad yang leka mengayuh basikal di halaman rumah.

“Tak ada apa-apa, mama.” Julia diam. Dia tidak mahu mamanya tahu dia sedang terfikirkan bekas suaminya dulu.

Sewaktu Ezad diusia satu tahun, ramai yang cuba meminangnya. Tetapi, dia tolak mentah-mentah. Hatinya masih milik Fakrul. Dia tahu, salah kerana berkahwin tanpa restu keluarga. Kata orang, jika berkahwin tanpa restu keluarga tidak akan bahagia sampai bila-bila. Mungkin sebab itulah suaminya dulu pergi meninggalkan dia.

“Ezad dah masuk enam tahun. Julia tak ada merancang apa-apa ke?” Kasmah cuba berkias. Sudah enam tahun anaknya membujang. Julia langsung tidak mahu berumah tangga. Setiap kali disoal, Julia pasti mencari alasan. Ezad masih kecillah. Ezad tak perlukan ayahlah. Ezad dah ada dialah. Nanti Ezad tak dapat nak menyesuaikan dirilah. Semuanya Ezad.

Kasmah sedih melihat Julia lebih gemar menyendiri. Bila Julia termenung, dia akan cepat menghampiria anaknya itu. Dia tidak mahu lama-lama nanti anaknya akan mengalami kemurungan yang melampau.

“Merancang apa, mama? Kahwin?” Ada tawa sinis pada hujung katanya.

“Julia ni dah masuk tiga puluh satu tahun, mama. Siapalah yang nakkan Julia ni. Mama pun tahu, kan? Julia tak pernah fikir pasal kahwin.” Lembut suara Julia membalas pertanyaanya tadi.

“Mama cuma nak Julia bahagia. Itu saja. Mama tak nak tengok Julia asyik termenung saja. Mama jadi risau.” Kasmah meluahkan rasa hatinya. Sebelum ini dia hanya jadi pemerhati. Terlalu lama Julia makan hati dengan tindakan menantunya. Enam tahun!

“Julia okeylah, mama. Mama janganlah risau.” Belakang telapak tangan mamanya digenggam erat. Ingatannya pada Fakrul tidak pernah pudar. Dia masih ingat pada wajah itu walaupun sudah enam tahun tidak bertemu. Dia mula rindu pada Fakrul bila tiba bulan Ramadhan.

Pada bulan Ramadhanlah mereka pertama kali bertemu.

**********************************************************************

“Hah... Tak puasa!” Mimi. Teman sebiliknya menyergah dari belakang. Terkejut bukan kepalang Julia. Berterabur fries di atas meja.

“Kau, kalau tak kejutkan aku boleh tak? Nasib baik tak kena sakit jantung, tau? Kalau tak, terus aje aku mati kat sini.” Separuh menengking Julia memarahi Mimi. Sempat lagi dia mengutip fries lalu disuakan kedalam mulutnya.

Mimi ketawa mengekek. Julia tidak pernah insaf. Sudahlah bulan puasa dulu Julia langsung tidak puasa. Kali ini pun sama. Ramadhan sudah masuk hari yang ke-sepuluh. Julia masih lagi berkunjung ke pub dan pulang pada waktu pagi. Anehnya, Julia dapat skor dalam setiap subjek pula.

“Tak takut mati ke? Dahlah tak pernah nak puasa. Lepas tu, makan dikhalayak ramai pulak tu.” Mimi sekadar menduga. Ingin tahu sejauh mana Julia takut bila digertak begitu. Walaupun tidak bertudung, Mimi masih lagi tidak meninggalkan perkara wajib. Dia tahu apa yang perlu dihadkan. Orang tuanya tidak pernah lupa menghantarnya belajar ilmu agama.

“Relekslah. Tengok kat sana. Johnny, Lily, Linda, Harry... Tengah sedap aje makan. Ada orang lain kisah?” Telunjuknya menuding ke arah sekumpulan pelajar berambut blonde ditangga. Mereka masing-masing sedang enak menjamu selera dengan makanan segera.

Mimi menggeleng lambat-lambat. Agaknya Julia sudah lupa asal usulnya. Mereka itu bukannya saudara Islam. Bulan Ramadhan adalah sama seperti bulan-bulan sebelumnya. Mereka boleh saja makan. Tapi kita ni, sebagai umat Islam. Bulan ini adalah bulan untuk beribadat, bulan untuk kita berpuasa. Mimi sudah hilang idea untuk menyedarkan Julia.

“Mimi Akila!”

Julia yang sedang enak menyumbat fries ke dalam mulut terhenti tingkahnya. Matanya menatap raut wajah yang melaungkan nama Mimi tadi. Hampir tercekik Julia. Cepat-cepat Mimi hulurkan coke di atas meja padanya tatkala Julia terbatuk-batuk.

“Mimi Akila, kan?” Empunya diri sudah menghampiri mereka. Julia cepat-cepat mengutip fries lalu diletakkan di sisi. Gelas yang berisi coke terus saja disumbat ke dalam plastik sampah.

Mimi sudah mengangguk. Muka berseri-seri menatap wajah lelaki itu. Kacak. Handsome. Macho. Pendek kata, semua ada pada dialah!

“Awak tertinggal buku awak tadi. Nasib baik ada tulis nama kat muka surat depan.” Buku sudah bertukar tangan. Julia di sisi kaku denga kehadirannya.

“Err... Kenalkan. Ini roommate Mimi, Julia. Julia, ini Fakrul Faiz. Kawan kuliah aku.”

Fakrul Faiz...

Itulah nama pemilik bekas suaminya. Mereka mula berkenalan dalam bulan Ramadhan. Mereka juga berkahwin setelah bulan Ramadhan tamat. Dan Fakrul meninggalkannya dalam bulan Ramdhan! Peliknya dengan apa yang telah berlaku.

**********************************************************************

Julia turun setelah bersiap ala kadar. Mimi Akila tiba awal setengah jam. Kalut Julia mandi dan mengenakan make-up. Tidak mahu kelihatan pucat bila bertemu pelanggan nanti.

“Bu, nak ke mana?” Baru saja kakinya menjejak lantai tatkala menuruni tangga, Ezad mendapatkannya. Pantas Julia duduk bagi menyamakan ketinggian mereka.

“Ibu nak keluar berbuka puasa dengan pelanggan, sayang. Nanti lepas terawikh, ibu balik.” Dia mengusap-usap lembut rambut Ezad. Jarang dia tinggalkan Ezad bersama mama dan papanya. Tetapi hari itu, dia terpaksa berbuat demikian kerana dia perlu menghadiri majlis berbuka puasa bersama-sama pelanggan syarikatnya.

“Jangan lupa belikan Ezad coklat.” Ezad menarik tangannya lalu dicium seperti yang dilakukan olehnya setiap kali Julia keluar ke tempat kerja atau Ezad ke sekolah.

“Baiklah, sayang. Ibu pergi dulu.” Segera Julia bangun. Mamanya sudah menghampiri Ezad. Memeluk bahu kanak-kanak itu yang melambai tangan kearah ibunya.

***

“Dah besar pun anak kau.” Mereka sudah masuk ke dalam perut kereta miik Mimi.

“Dah tu, kau nak Ezad tu umur setahun aje sampi bila-bila?” Nada Julia bersahaja namum mengundang tawa Mimi.

“Taklah. Maksud aku, anak kau dah besar. Bapak dia, Ezad tak kenal lagi.” Julia terdiam. Kata-kata Mimi ada benarnya. Ezad langsung tidak kenal siapa ayahnya. Tidak pernah sekalipun dia bercerita mengenai Fakrul pada Ezad. Ezad pula, tidak pernah bertanya mengenai ayahnya. Mungkin sebab itulah dia terlupa.

“Kau dengar tak apa yang aku cakap ni?” Soalan Mimi Akila dibiarkan sepi. Julia kehilangan kata-kata.

**********************************************************************

Mereka sudah tiba di hotel. Mereka  berdua mengambil tempat di meja yang disediakan. Beberapa orang yang mengenali menyapa. Julia sekadar membalas dengan senyuman dan mengangguk. Hanya tinggal lima minit lagi untuk mereka berbuka puasa. Julia dan Mimi masih belum mengambil makanan.

Majlis berbuka puasa kali ini melibatkan semua pelanggan di sekitar ibu negeri. Jarang sekali Julia turut serta menghadiri majlis berbuka puasa bersama pelanggan namun kali ini, bila papanya sendiri menyuruh dia turun padang. Dia tidak mahu menghampakan papanya. Lagipun, dia perlu mempelajari selok belok perniagaan bagi menggantikan tempat papanya.

Julia hanya mengambil beberapa pucuk satay disertakan nasi himpit dan kuah kacang. Bila melihat pinggan Mimi yang menimbun, dia menahan tawa.

“Larat ke kau nak makan semua ni?” Rasa bagai nak pecah perut menahan tawa melihat anggukan Mimi. Makan punyalah banyak. Badan tak naik-naik jugak. Desisnya.

Bila dia mengangkat wajah, matanya bertembung dengan mata seorang yang dia kenali berada betul-betul di hadapan mejanya.

Fakrul Faiz!

Dadanya bergetar hebat. Tangannya menggeletar. Lemah seluruh sendi Julia. Dia segera memaut tubuh Mimi.

“Kenapa Julia?” Mimi cemas. Dia meletakkan pinggannya sebelum mengambil pinggan di tangan Julia.

“Dia... Dia... Mimi...” Julia kehilangan kata-kata. Ramai yang mengerumunginya. Namun, tidak satu pun wajah milik Fakrul Faiz. Dia mahu menjerit memanggil lelaki itu tetapi langsung tidak keluar.

**********************************************************************

Setelah peristiwa tempoh hari, Julia cuba mencari suaminya. Semua nama pelanggan tempoh hari disemak namun nama Fakrul langsung tidak ada dalam senarai. Hampa dengan apa yang diperolehi, Julia cuba menghubungi setiap syarikat yang berhubung dengan syarikatnya bertanyakan Fakrul Faiz. Namun, semuanya tidak membuahkan hasil. Hari ini adalah hari terakhir bulan Ramadhan. Julia sudah berputus asa.

Dia sudah putus harapan untuk bertemu dengan Fakrul lagi. Segalanya hanya tinggal kenangan. Mereka bertemu pada bulan Ramadhan, berkahwin setelah tamat Ramadhan dan berpisah pada bulan Ramadhan. Kali ini, bertemu sekejap pada bulan Ramadhan. Atau Julia terlalu rindu pada Fakrul? Sehinggakan orang lain disangkakan Fakrul...

“Ibu...” Suara Ezad memecahkan lamunan Julia. Pantas tubuh anak itu dirangkul kemas.

“Iya, Kenapa Ezad?” Satu ciuman hinggap di pipi anak itu. Ezad mewarisi raut wajah Fakrul. Itu kata Mimi. Papa dan mamanya pula sentiasa mengatakan Ezad mewarisi raut wajahnya.

“Bila ayah nak balik?” Jantung Julia seakan berhenti berdegup. Rangkulannya longgar. Mata bening Ezad direnung sayu.

“Lama Ezad tunggu ayah balik. Tapi ayah tak balik pun.” Benarkah apa yang dikatakan oleh Ezad? Ezad rindukan Fakrul seperti dia juga!

Nanti... Bila pula Ezad tahu mengenai ayahnya? Sebelum ini Ezad tidak pernah bertanya padanya mengenai siapa ayah Ezad.

“Si... Si... Siapa yang bagitahu Ezad?”

“Tuk Pa dan Nek Ma.” Ezad menarik tangan Julia melingkari tubuhnya. Seperti selalu yang dilakukan Ezad bila mereka duduk berdua-duaan.

“Apa yang mereka cakap pada Ezad?” Julia ingin tahu. Dia diam menanti jawapan Ezad.

“Tanya.” Ezad jawab sepatah.

“Apa yang mereka tanya?” Julia hilang sabar.

“Mereka tanya, Ezad tak nak jumpa ayah ke? Ezad pun tanylah balik. Ezad ni ada ayah ke?” Ezad diam. Menanti reaksi Julia.

“Ezad ada ayah ke, ibu?” Julia memeluk kemas tubuh Ezad. Matanya sudah mengalir manik-manik jernih. Dia tidak ada jawapan untuk soalan itu.

Ya ALLAH, untuk kali yang terakhir. Aku mohon padamu, Ya ALLAH. Kembalikanlah Fakrul kedalam hidup kami.

**********************************************************************

Suara takbir memuji ILLAHI bergema dari masjid perumahan itu. Julia sudah bersiap dengan telekung putih dikepala. Dia turun menemui Ezad yang segak berbaju melayu diruang tamu.

Handsome anak ibu.” Bibirnya jatuh di dahi anak itu.

“ Macam ayah, kan?” Belum sempat Julia bersuara, Ezad sudah berlari ke belakangnya.

“Ayah...” Ceria suara Ezad menyebut nama ayah. Julia berpaling lambat-lambat. Dadanya berdebar-debar. Dia tidak mahu menduga. Jika benar Ezad memanggil ayah, tidak lain dan tidak bukan pasti itu ialah Fakrul.

“Assalamualaikum, Julia.” Pandangan mereka bersatu. Julia terasa ingin menangis waktu itu juga. Benarkah apa yang sedang dilihatnya sekarang?

“Julia apa khabar?” Tenang suara Fakrul memecahkan hening antara mereka bertiga. Fakrul yang telah pergi enam tahun dulu telah kembali hari ini! Lama Julia menanti saat-saat begini. Dia mahu memeluk tubuh itu. Menangis sepuas-puasnya didada Fakrul. Tetapi dia tahan. Mereka bukanlah suami isteri lagi. Itu yang pasti...

“Macamana Fakrul boleh jumpa rumah Julia?” Airmata Julia gugur jua. Dia gembira. Hari ini bukan saja 1 Syawal tetapi juga hari yang paling bermakna dalam hidupnya.

“Papa Julia yang bawa ke sini.” Tenang Fakrul membalas pertayaan Julia. Julia menarik Ezad ke sisi.

“Kenalkan, inilah ayah Ezad.” Dia menyeka airmata gembira. Ezad sudah bertemu dengan ayahnya. Dia juga sudah bertemu dengan suami yang dulu pergi meninggalkannya.

“Fakrul minta maaf. Fakrul tak berniat nak tinggalkan Julia dulu.”

“Saya minta maaf, Julia. Terimalah saya kembali dalam hidup Julia. Percayalah, saya masih sayangkan Julia sehingga kini.”

Sepi. Takbir bergema dari masjid yang berdekatan. Sayu... Ini yang Julia nantikan sejak enam tahun dahulu. Menanti kepulangan Fakrul ke sisinya semula. Doanya selama ini termakbul. Dia bersyukur. Dia harus melupakan apa yang telah berlaku dahulu dan bina hidup baru. Syukur Alhamdulillah. Syawal tiba bersama kenangan yang terindah.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...