Sunday, January 2, 2011

Cerpen : Sekuntum Mawar Merah Dan Sebuah Puisi

Langkah dihayun. Peluh-peluh kecil disapu dengan hujung baju kurung. Dia mengah mengharungi lautan manusia tadi. Menapak ke dalam pusat membeli belah berhawa dingin itu melegakannya. Dia mahu cepat sampai ke destinasi. Matanya meliar merenung nama-nama pada deretan kedai dan butik di situ.

Senyumannya lebar bila mata tertancap pada papan tanda merah dihujung sudut bangunan empat tingkat itu. Tidak dipedulikan pada mata-mata yang merenungnya, dia melangkah masuk. Pantas bergerak pada deretan novel-novel keluaran daripada pelbagai syarikat penerbitan.

Nah! Inilah tajuk yang dicari-cari selama ini. Baru saja jemarinya melekat pada hujung buku tersebut, ia bertindih dengan jemari comel milik seseorang yang tidak dikenali. Lama pandangannya tertancap pada jemari itu. Comel seperti tangan baby.

“Here, darling. I dah jumpa novel yang you nak.”

Pantas jemarinya ditarik. Rude! Bagi salam pun tidak, alih-alih novel ini dia yang punya. Banyak cantik.

“Excuse me. This book is mine.” Nah, terspeaking pulak! Dia separuh menggertak. Sakit hati dengan lelaki yang dianggap kurang ajar itu. Membutang pandangannya memberi amaran.

Lelaki itu buat tidak endah saja. Lagi dia sakit hati. Pantas novel bercover seorang gadis beralih ke dalam genggamannya.

Dia sudah tidak peduli. Sudah lama dia cuba mendapatkan Lamaran Kedua itu. Sebelum ini tidak berhasil kerana mana-mana tempat yang ditujui memberikan jawapan hampa. Setelah dia cuba mencari di laman sesawang, baru kini ada hasilnya. Kini dia tidak peduli. Bertikam lidah pun dia sanggup. Asalkan karya tangan Ma Lee Chuswan itu menjadi miliknya.

“Hello, miss. Buku tu I yang jumpa dulu.”

Dia mempercepatkan langkah menuju ke kaunter bayaran. Mahu cepat beredar sebelum buku ditangan bertukar milik. Mahu saja dia meninggalkan tanda di awal mukasurat buku itu sebagai tanda dia yang punya.

“Buku ni aku yang jumpa dulu. So, akulah yang punya.”

Buku ditangan dihulurkan kepada penjaga kaunter. Purse didalam beg sandang berton hijau di tarik. Not bernilai RM50 ditarik lalu dihulurkan kepada gadis dihadapan.

“Pardon?” Jengkel kedengaran bila lelaki berdarah Melayu mula berspeaking. Dasar tak sedar diri. Padahal dia juga orang Melayu. Cakap bahasa kita sudahlah.

Dia bukannya tidak faham. Dia cuma jengkel. Anak Melayu masih mahu mengagungkan bahasa asing berbanding bahasa sendiri. Okay, katakanlah sekarang mereka bercakap dalam bahasa loghat. Dia tidak kisah. Asalkan bukan bahasa asing. Bukan dia tidak faham. Dan bukan juga dia tidak reti. Tetapi faham-fahamlah. Kita orang Melayu. Bukan orang asing. Jangan nak berlagak pulak. Dia pun bukanlah tidak lulus bahasa Inggeris. MUETnya dinilai pada band 5 lagi!

“Buku ni aku yang punya. Aku sampai dulu. Aku yang pegang dulu buku ni. Dan sekarang, aku dah bayar. So, buku ni aku yang punya!”

Pen di dalam beg ditarik. Pantas jemarinya memainkan peranan. YUNI. Signature ditinggalkan pada awal muka surat buku tersebut berserta sticker kecil berbentuk hati. Puas. Dia puas. Buku itu telah menjadi hak miliknya mutlak.

Lelaki itu ditinggalkan tanpa pamitan. Dia sudah tidak peduli. Mahu meminta maaf jauh sekali. Buat apa meminta maaf pada lelaki yang kurang ajar seperti dia.

****************************************************************

“Yuni!...Yuni!...Yuni!...Tunggu dulu!”
Langkahnya dihayun laju melawan arus manusia. Dia mahu cepat sampai ke dewan kuliah. Sudah lebih 15 minit dia terlambat. Cukuplah hanya 3 kali dia terlambat. Malu bila ditegur nanti.

“Yuni!” Bahunya ditarik. Dia langsung tidak berpaling. Merenung sekilas pada empunya diri juga dia tidak mahu.

“Ada apa? Aku ada kuliah. Bukannya kau tak boleh nak sms aku pun.” Tegas. Bukan mereka tidak punya masa lain untuk berbicara. Banyak lagi.

“Petang ni aku ada hal. Nak jumpa dengan kawan lama. So, cancel lah plan kita. Next time lah.”

Ana. Selaku kawan rapat Yuni tapi bukanlah kawan baik. Yuni tidak punya kawan baik. Dia lebih selesa berkawan daripada mencari kawan baik. Kawan baik perlu dijaga hati dan perasaannya. Kawan baik juga perlu diturut segala kemahuannya. Dia tidak mahu. Dia tidak suka dikongkong. Dia lebih selesa sendirian.

“Habis tu kau ingat aku ada masa lain ke nak pergi mandi sungai dengan kau? Banyak lagi kerja yang aku nak settlekan tau.”

Padahal boleh saja dia bertolak ansur dengan Ana. Dia cuma tidak mahu menunda aktiviti mereka ke hari lain. Ana bukanlah tidak tahu. Setiap hari ada saja perkara yang ingin dia lakukan. Kalau aktiviti ini ditunda, maka bulan depanlah mereka baru memijak lantai sungai itu.

Ana menggaru-garu kepala. Sudah lama dia tidak bertemu Rafi. Mereka pernah membesar bersama suatu ketika dulu. Sangkanya dia dan Rafi akan membesar dan menjadi rakan baik tetapi malangnya mereka terpaksa berpisah kerana ayahnya terpaksa berpindah ke ibu kota. Sudahnya mereka hanya berhubung melalui telefon sahaja.

Ana juga mahu meluangkan masa bersama dengan Yuni dan rakan-rakan yang lain. Mereka pernah belajar di asrama penuh bersama-sama dulu. Mereka juga pernah melalui detik-detik indah bersama ketika menjalani latihan ketenteraan di kem dulu. Bila lagi mereka dapat berkumpul kalau tidak petang nanti. Dia keliru.

“Err…Yuni…Aku…” Ana kehilangan kata-kata. Dia tidak tahu membuat keputusan melulu begitu. Dia sudah berjanji dengan Rafi untuk bertemunya petang nanti. Janjinya tidak dapat dimungkiri. Dia mahu amat bertemu Rafi setelah tujuh tahun berpisah.

“Macam ni lah. Kalau kau nak join dan kau nak jugak jumpa kawan kau tu, bawak dia sekali petang ni. Boleh kita kenal-kenal. Amacam?”

Mereka sudah sampai di hadapan pintu. Yuni hanya tunggu masa saja menarik menarik daun pintu.

“Dia lelaki. Kau tak kisah?” Yuni ketawa besar tetapi kemudian ditekup mulutnya. Takut didengari pensyarah yang sudah berpangkat professor di dalam.

“Come on lah, Ana. Kawan-kawan kita tu pun bukannya perempuan semua. Ajaklah. Kot-kot boleh jadi boyfriend kau.”

Tawa Yuni berderai. Ana sudah terkulat-kulat. Ana dan Rafi hanya boleh jadi kawan sampai bila-bila. Titik noktah.

“Aku masuk dulu. Jumpa petang nanti kat sungai.” Pintu ditarik. Yuni sudah bersedia untuk menerima kuliah pagi itu. Ana hanya dibiarkan kaku ditempatnya.

****************************************************************

“Celaka!”

Sudah berapa kali dia mencarut hari itu. Kalau dia tahu Rafi itu adalah orang yang sama berebut novel dengannya tempoh hari, dia pasti tidak akan membenarkan Ana dan lelaki itu join perkelahan mereka petang itu.

“Well, kita jumpa lagi.” Lama Rafi menunggu masa mendekati Yuni. Sejak dari tadi lagi Yuni dilihat tidak suka dia berada di situ bersama.

Pada mulanya dia terkejut bila mereka diperkenalkan. Tanpa disangka gadis novel tempoh hari akan ditemui hari ini. Ajakan Ana untuk turut serta perkelahan mereka hari itu bukan satu kebetulan tetapi takdir.

Yuni diam. Dia benci pada lelaki yang dikenalkan sebagai Rafi itu. Sudahlah kurang ajar mahu pula berkenal-kenalan dengannya hari ini.

“Aku tak nak berkawan dengan kau. Boleh kau jangan ganggu aku?”

Rafi ketawa besar. Entah apa yang dikatakan Yuni membuatkan dia geli perut. Mahu saja tangannya singgah pada wajah handsome Rafi.

“Sebab novel tempoh hari?”

Berdesing telingan Yuni. Sudah tahu bertanya pula. Mahu saja dicepuk dahi Rafi. Bukannya tak reti minta maaf. Bukannya susah pun. I am sorry. Susah ke nak cakap macam tu?

“Bukan masalah kau pun. Sudahlah. Aku malas nak layan kau.” Yuni bangun meninggalkan Rafi begitu saja.

Rafi kecewa. Tempoh hari perkara yang sama juga berlaku. Dia ditingalkan tanpa pamitan. Sudahlah novel yang dicari hanya yang itu sahaja, Yuni langsung tidak mahu meminta maaf. Puas dia memujuk adiknya. Kering poketnya bila Zara meminta itu dan ini setelah novel yang dicari tidak ditemui. Ah, nasiblah!

“Okay, fine. How about an apologize? Yuni patut minta maaf dengan saya sebab Yuni dah ambil novel tu tanpa meminta dari saya tempoh hari.”

Semua mata terarah pada mereka. Langkah Yuni terhenti. Rafi sudah tidak peduli. Berapa mata mahu memandang mereka. Berapa orang yang nak mengata mereka nanti, dia tidak peduli. Yang penting, gadis sesombong Yuni harus meminta maaf darinya. Wajib! Dia juga ada ego.

“Banyak cantik muka kau. Kau ingat buku tu bapak kau ke yang punya? Aku jumpa dulu tau. Tiba-tiba kau datang rembat macam tu je. Kau langsung tak nampak aku ada kat situ. Sedang pegang buku tu. Buku tu aku yang punya. Buat apa aku nak minta maaf.”

Nah. Berapa das dia memerli Rafi. Mahu dia meminta maaf pula. Sakit betul hati Yuni. Padahal Rafilah yang patut meminta maaf darinya. Bukan dia.

Rafi tergamam. Merah padam mukanya menahan malu. Yuni sudah melampau. Sekurang-kurangnya Yuni bersopan semasa menegurnya tadi.

“Aku rasa aku menyesal datang sini hari ni. Aku nak balik.”

“Yuni!... Jangan macam ni Yuni.” Ana pantas mendapatkan Yuni. Dia keliru pada siapa dia harus berpihak. Dia tidak tahu cerita asal yang berlaku. Dia kenal benar dengan Yuni. Gadis cantik yang keras kepala. Rafi pula memang sukar meminta maaf walaupun salahnya sendiri. Arghhh…Dia pula yang sakit kepala. Kedua-duanya rakan rapatnya.

“Aku nak balik. Kau boleh nak jumpa kawan kau yang rude tu lama-lama.” Ditekankan perkataan rude keras sebelu berlalu.

****************************************************************

Yuni merengus. Sudah banyak kali Ana menolak untuk keluar dengannya. Bukan Ana saja yang menolak, yang lain-lain juga. Kebanyakan mereka yang keluar bersama mandi-manda di sungai tempoh hari tidak mahu meluangkan masa bersamanya. Ada saja alasan yang diberikan.

Beg sandang yang berada di bahu dihempas ke katil. Dia marah. Bukan pada mereka tetapi pada diri sendiri. Jikalau mereka tidak mahu keluar dengannya, tidak mengapa. Dia boleh keluar sendirian. Tidak perlu bergantung kepada sesiapa padahal sebelum ini dia memang berdikari.

Tetapi Yuni sedih. Kawan-kawan seperti menjauhkan diri darinya. Dia dapat rasakan. Sudah seminggu. Semuanya seperti tidak mahu berkawan lagi dengannya. Hatinya bukan buta untuk menilai. Dia nampak semuanya. Dia dapat rasakan.

Kunci scooter yang berada di atas meja ditarik ke dalam genggaman. Dia mahu melenyapkan rasa terkilannya. Kalau ke tasik dan jogging di situ pasti akan melenyapkan hatinya yang sedang rawan.

Selebihnya Yuni mahu melenyapkan ingatannya pada Rafi. Yuni mengaku, sedikit sebanyak dia mula tertarik pada Rafi terutama jemari Rafi. Rafi berwajah handsome. Wajah itulah banyak mengisi ruang mimpinya sejak pertama kali mereka bersua. Rafi juga memiliki suara serak. Ciri-ciri lelaki idamannya.

Pada mulanya dia membenci lelaki itu. Tetapi lama kelamaan, Rafi mula menjadi punca bunga di dalam hatinya berkembang mekar. Yuni sedar, setakat manalah dia mampu mencintai Rafi. Dia sedar. Gadis tempoh hari lebih layak memiliki Rafi berbanding dirinya.

Lagipun dia tidak gemar pada Rafi yang mengagungkan bahasa asing berbanding bahasa sendiri. Dia jengkel bila mendengar orang berbicara dalam bahasa asing. Entah, dia tidak tahu mengapa dan kenapa. Selebihnya, peristiwa tempoh hari masih bermain-main di fikirannya. Dia tidak mahu memohon maaf pada Rafi diatas kekasarannya. Dan dia cukup marah pada Rafi kerana ingin dia memohon maaf padanya kerana mengambil novel itu darinya. Arghh….

Baru beberapa tapak Yuni mula melangkah, matanya tertancap pada sepasang kekasih yang sedang mesra berbual. Rahangnya jatuh. Matanya juga berair. Entah kenapa rasa sayu saja bila lihat mereka begitu. Perlahan-lahan dia menghampiri mereka.
“Ana…”

Lambat-lambat nama Ana disebut. Bahu gadis itu disentuh lembut. Pandangan mereka bersatu. Ana kelihatan serba salah. Begitu juga Rafi.

Hati Yuni hancur luluh. Kenapa perlu menipu, Ana?

“Yuni… Aku… Aku…”

Pantas Yuni menggeleng. Sudah terang lagi mahu disuluh. Katakan saja mahu bercanda dengan Rafi. Tidak perlulah memberikan pelbagai alasan bila diajak meluangkan masa bersama-sama. Yuni langsung tidak kisah jika Ana berkata benar walaupun hatinya bagai ditusuk duri bila buah hati memilih teman sendiri. Dia akan belajar menerima. Bukankah dalam hidup ini semuanya tak semestinya indah.

“Kau tipu aku, Ana.”

Yuni berpaling. Dia kecewa. Hatinya sudah hancur remuk.

“Aku tak bermaksud macam tu, Yuni. Aku... Aku…”

Jemari Yuni mahu ditarik tetapi lebih pantas ditepis. Yuni sudah kecewa. Yuni malu. Semuanyalah. Tak terkata.

“Yuni, dengar dulu.”

Suara Rafi sudah berselang. Yuni sudah tidak peduli. Yuni mahu cepat tiba di scooter tadi. Yuni mahu cepat sampai ke rumah.

****************************************************************

Lama Yuni cuti. Cuti sendiri. Yuni tidak sanggup ke kuliah. Yuni malu pada Ana. Yuni yakin Ana tahu isi hatinya. Menyesal Yuni menangis di hadapan Ana tempoh hari. Sepatutnya Yuni hanya membidas Ana dengan kata-kata pedas. Bukannya airmata.

Puas Yuni dipujuk orang tuanya. Tak berkesan. Ana juga ada datang tetapi tidak dibenarkan masuk. Yuni tidak mahu berjumpa dengan sesiapa. Yuni malu. Malu sehingga Yuni demam. Pelik. Padahal sebelum ini kalau Yuni malu Yuni tidak pernah demam. Malunya cuma sekejap saja. Tapi kali ini lain. Yuni malu bercampur kecewa.

Ya, Yuni kecewa. Yuni kecewa Rafi memilih teman sendiri berbanding dirinya. Padahal Yuni masih berharap Rafi datang mencarinya. Datang memohon maaf sekaligus memohon mengikat tali persahabatan. Dan mereka ke bab kedua dan seterusnya. Alangkah indahnya. Semuanya hanya angan-angan! Jangan nak beranganlah Yuni!

“Yuni, ada orang datang nak jumpa Yuni.” Yuni tersentap. Suara mamanya memecahkan lamunan Yuni. Ingatan Yuni pada peristiwa tempoh hari lenyap begitu saja.

“Yuni tak nak jumpa dengan siapa-siapa, mama. Boleh suruh dia balik tak?”

Selama seminggu, selama itulah dia tidak berjumpa dengan sesiapa pun. Entah berapa kali telefon tangannya bernada. Entah berapa banyak sms yang diterima. Dia tidak mahu peduli.

“Yuni, buka pintu ni. Orang tu dah balik. Dia suruh mama berikan bunga dan surat ni pada Yuni.”

Yuni tersentap. Bunga dan surat? Setakat ini yang datang hanya meninggalkan dia sepi begitu saja selepas tidak berjaya di pujuk.

“Siapa yang datang tadi mama?”

Kali ini rajuk Yuni tidak panjang. Pintu bilik ditarik dari dalam melihatkan wajahnya. Yuni mahu tahu kiriman yang ditinggalkan empunya diri.

“Entah, Rafi katanya. Handsome. Bakal menantu mama ke? Bagus. Mama suka. Lulus.” Mama Yuni berlalu bersama senyuman. Sekuntum mawar merah dan sampul putih beralih tangan.

Pintu dibiarkan terbuka. Yuni mengambil tempat di mejanya. Berdebar-debar Yuni. Rafi yang mengirimnya. Yuni bahagia. Wajahnya bercahaya. Tanpa disangka Rafi mengalah jua. Dan Yuni gembira bila Rafi sanggup datang. Walaupun dia tidak menjengukkan wajah, dia tahu dalam hati Rafi ada apa. Lihat pada mawar merah dan sebuah puisi itu, dia tahu hati Rafi milik siapa.

Tuhan,
Bila masih kudiberi kesempatan,
Izinkan aku untuk mencintainya,
Namun bila waktuku telah habis dengannya,
Biarkan cinta ini hidup untuk sekali ini saja…

Yuni,
Izinkan Rafi mengisi ruang hati Yuni yang masih kosong
I love you…

Telefon bernada. Ada sms masuk ke dalam inbox. Pantas Yuni mencapai telefon tangan. Nombor yang tidak dikenali muncul. Yakin ia milik Rafi, Yuni menekan read.

‘Sorry pasal tempoh hari. Saya dan Ana tidak ada apa-apa ikatan. Kami cuma berbincang bagaimana mahu tahu Yuni cintakan saya ataupun tidak. Thanks. Saya tahu dalam hati Yuni ada ruang untuk saya huni. I love you.’

Yuni seakan mahu menjerit. Cepat dia berlari keluar dari bilik. Tetapi dia tergamam bila tubuh Rafi masih di ruang tamu. Pantas dia berlari kepada lelaki itu lalu memeluknya erat.

“I love you, too.”

2 comments:

zulaikha said...

sweet, cerpen yang menarik, penggunaan ayat yang baik ( cehh!! macam cikgu bm nak tanda kertas exam student, hihi )

* tapikan k.su, scene berebut novel ika ada baca dalam satu novel ni, xingat tajuk ap...hihi..takut nanti org kate k.su ciplak lak...

by the way. dah tahu ke bile btol2 novel k.su nak kuar?

~ good luck in everything you do, may ALLAH bless you, AMIN ~

Zurainie bt Mat Jusoh said...

1)hahaha...eka jadik cikgu BM kaksu
2)scene ni rasanye ad dlm novel seredup kasihmu rasanye..kaksu xigt la..act kaksu xtahu nk wat dye berebut gapo sebenar..wahaha...agak ciplak la kat situ..xtreniat pn sbnrnye..bile eka oyat gitu baru kaksu igt..thanks sis
3)insyaAllah dlm pertengahna tahun ni..insyaAllah, ckp duit bolehla same2 kite g rumah Allah tu mse puasa..dgn abah dan angah skali
4)thak you so much for the support..this is juz a 'cerpen'...saje bwat ske2 utk dibaca..klw ad mse kaksu akan smbg dgn novel citer ni..cuma loni xdok idea lagi

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...