Wednesday, January 12, 2011

Cerpen : 1,2,3... I Miss You

Seri meleraikan sulaman jemari mereka. Sekumpulan gadis berpakaian seragam dihampiri Seri. Adi tergamam. Dia hanya mampu merenung Seri dari jauh. Seri seperti sudah berubah. Padahal sebelum ini Seri tidak pernah meninggalkannya begitu. Adi bingung di tempatnya berdiri.

“Seri, kenapa?”

Adi menghampiri Seri. Kekasih hati. Sudah dua tahun dia menjalinkan hubungan cinta dengan Seri. Seri gadis yang baik hati. Seri sedia meluangkan masa bersamanya jika diminta. Adi selesa dengan Seri. Seri banyak mengalah berbanding gadis-gadis yang pernah bercanda dengannya. Dan yang penting, Seri mendengar katanya. Itu yang dia gemar mengenai Seri. Dan sebab itu jugalah Seri awek yang paling lama melekat dengannya.

“Sekejap. Seri nak cakap dengan kawan-kawan Seri sekejap. Adi tunggu saja di sana.”

Adi berpaling merenung pada tempat yang ditujukan Seri. Kerusi-kerusi kecil dihujung sudut padang. Di situ Seri menyuruhnya tunggu.

Sambil menggaru-garu kepala Adi menghampiri kerusi-kerusi tersebut. Dia pelik dengan Seri. Sekarang Seri sudah tidak suka meluangkan masa bersamanya. Kata Seri, dia sibuk. Tetapi Adi tidak percaya. Menurut sumber-sumber yang boleh dipercayai, Seri tidak punya banyak assignment. Seri juga tidak suka keluar bersama-sama rakan lain. Jadi, apa yang membuatkan Seri sibuk selama ini?

Baru mengambil tempat, Adi tersentap. Seri dilihat melompat-lompat kegirangan bersama kawan-kawannya. Selama bersama Seri, Adi tidak pernah melihat Seri sehappy begitu. Mahu saja Adi menghampiri mereka dan bertanya. Selebihnya Adi mahu mengajak Seri pulang. Dia bosan begitu. Bosan bila terasa diri mula diabaikan Seri.

“Seri…Jom balik. Adi bosanlah kat sini.”

Nama Seri dilaung kuat-kuat. Sengaja memberi amaran pada kawan-kawan Seri untuk menjauhkan diri dari Seri. Adi tidak suka Seri bergaul dengan mereka. Kalau Seri bergaul dengan mereka, Seri pasti lebih suka meluangkan masa bersama mereka berbanding dengan dia.

“Sekejap. Seri belum habis lagi. Kalau Adi nak balik dulu, baliklah. Seri boleh balik dengan bas nanti.”

Adi mengetap bibir. Biar betul Seri. Belum pernah Seri begini. Sudah beberapa hari mereka tidak bercanda. Bila bertemu kawan-kawannya, begini pula jadinya. Tiba-tiba Adi rasa sayu. Seri sudah berubah. Seri sudah jauh berubah.

“Adi nak balik sekarang. Seri juga kena balik dengan Adi. Adi tak kira.”

Adi menghampiri Seri. Lengan Seri sudah berada dalam genggamannya. Adi mahu Seri terus mengikutnya. Dia tidak mahu Seri balik sendirian. Terutama menaiki bas. Sebagai boyfriend Seri, Adi perlu menjaga Seri.

“Nanti jangan lupa ye, Seri. Malam nanti datang tau. Nanti boleh jumpa dia.”

Adi sempat mengerling pada gadis yang bersuara. Matanya dikenyit pada Seri. Adi jadi sakit hati. Seri hanya senyum dan mengangguk. Wajah Seri berseri-seri. Adi bertambah sakit hati. Apa yang ingin mereka lakukan malam nanti. Adi juga mahu tahu.

“Nak jumpa dengan siapa malam nanti? Tak bagitahu Adi pun.”

Wajah Seri direnung melalui cermin sisi scooter. Seri hanya buat muka selamba. Macam tidak bersalah saja. Adi sakit hati. Ada sesuatu yang Seri rahsiakan darinya.




“Tak ada siapalah.”

Seri jawab endah tak endah. Adi mengetap bibir. Geram dengan Seri. Bertambah geram dengan kawan-kawan Seri. Kalau bukan mereka, Seri takkan berubah begitu sekali.

“Mana boleh tak ada sesiapa. Adi dengar apa yang sedang Seri dan kawan-kawan cakap tadi. Jangan lupa ye, Seri. Malam nanti datang tau. Nanti boleh jumpa dia.”

Terjuih-juih bibir Adi mengejek kata kawan-kawan Seri tadi. Dia bukannya apa. Dia sakit hati. Seperti ada yang tidak kena. Seri seperti mahu berjumpa dengan kaum sepertinya. Jangan-jangan mereka mahu memperkenalkan Seri dengan boyfriend baru? Simpang malaikat 44.

“Tak ada siapa-siapalah, Adi. Seri nak jumpa dengan kawan baru.”

Nah, Adi dah agak. Seri sudah pandai selingkuh sekarang. Mahu saja Adi berjumpa mata dengan lelaki itu. Menghadiahkan sebuku penumbuk kerana mengganggu hubungan dia dan Seri.

“Tengok. Seri dah pandai nak berdalih sekarang. Tahulah Adi nak kerjakan dia nanti.”

Scooter semakin laju. Pelukan Seri pada pinggang Adi juga makin kemas. Adi melepaskan amarah di jalan raya. Kalau Seri tidak mahu berterus terang, dia sendiri akan mencari orang itu.

******************************************************************

Bersepai mug kaca jatuh dari atas meja. Adi mengamuk lagi bila Seri dengan mudah saja menolak ajakannya untuk bercanda. Bukan itu saja, Seri sudah tidak mahu ke kuliah dengannya. Kata Seri, Seri mahu ke tempat belajar dengan kawan-kawan. Seri mahu berdikari. Itu kata Seri.

“Berdikari konon. Nak ikut kawan-kawan konon. Seriiiiii…”

Adi tidak keruan. Seri memang sudah jauh berubah. Seri sudah tidak mahu mendengar kata. Kawan-kawan lebih penting bagi Seri berbanding dirinya. Seri tidak seperti begini sebelum ini. Seri hanya ingin menghabiskan masa dengannya. Tetapi semenjak kenal dengan geng kawad itu, Seri sudah berubah.

Adi bimbang Seri akan berubah hati kepada orang lain. Geng kawad itu bukan boleh dipercayai. Mereka suka menghabiskan masa dengan budak-budak lelaki. Kalau Seri menghabiskan masa bersama mereka, tidak mustahil Seri akan menghabiskan masa bersama-sama kawan lelaki mereka juga. Dan yang amat Adi bimbang, dia takut Seri jatuh ke tangan lelaki lain.

Seri sudahlah berwajah cantik. Sopan santun. Gemar berbaju kurung. Kesimpulannya, Serilah perempuan Melayu terakhir ada abad ini. Sesiapa yang memandang pasti terpikat.

Adi mahu menjadikan Seri permaisuri hidupnya. Seri tidak boleh jatuh ke tangan orang lain. Lagipun, Seri dan dia telah lama bercinta. Kalau berpisah, buang masa dan duit saja selama mereka bersama sebelum ini. Adi tidak mahu. Dia hanya mahu Seri.

“Kenapa ni, kawan? Aku tengok semenjak dua menjak ni kau macam ada masalah je. Kalau ada masalah bagitahulah. Kot-kot aku boleh tolong.”

Amin. Teman sebilik merangkap teman serumah Adi. Sudah lama Adi dilihat tidak keruan. Seperti dilanda masalah besar saja. Selama ini, Adi tidak pernah begitu. Adi sentiasa gembira. Sama ada balik dari kuliah ataupun balik dari berdating dengan Seri, Adi sentiasa gembira. Seperti tidak ada masalah. Lain pula kali ini. Bilik mereka bersepah. Adi mengamuk!

“Seri dah berubah.”

Adi memicit-micit kepala yang berdenyut. Dia sudah letih memikirkan tentang Seri. Dia sudah penat. Adi sudah berputus asa. Dia cuma butuh Seri disampingnya. Itu saja.

“Kenapa? Aku tengok Seri biasa-biasa saja. Macam dulu-dulu. Pakai baju kurung lagi. Apa yang kau nampak dia dah berubah?”

Amin mengambil tempat di sisi Adi. Cuba menenangkan Adi walaupun dia sendiri tidak tahu bagaimana caranya.

“Bukan pasal tu. Seri dah tak macam dulu. Bila aku ajak keluar, dia tak mahu. Sekarang dia dah tak nak aku ambik atau hantar dia ke kuliah. Kalau kau nak tahu, dah seminggu Seri macam ni. Tiap kali aku dekat dengan dia, ada saja alasan yang dia bagi. Keluar dengan kawan-kawan dia mahu pulak. Aku risau kalau-kalau dia dah ada orang lain. Aku sayangkan dia, Amin.”

Amin menggaru kepala yang tidak gatal. Perkara biasa bagi pasangan yang sedang bercinta. Mungkin Seri sedang merajuk sebab itulah Seri mahu menjauhkan diri.

“Seri merajuk agaknya tak.”

Pantas Adi menggeleng. Seri tidak pandai merajuk jauh sekali melawan cakapnya.

“Habis tu?”

Amin kehilangan kata-kata. Kalau bukan sebab itu, sebab apakah lagi?

“Kau cuba siasatlah, Adi. Tengok dengan siapa dia keluar.” Amin cuba memberi cadangan. Teman sebilik tidak seharusnya dibiarkan gelisah begitu saja. Sebagai kawan dia harus membantu.

“Aku dah siasat. Seri tak pernah keluar ke mana-mana. Balik dari kuliah, Seri hanya habiskan masa di rumah saja. Aku dah tanya mak dia. Mak dia cakap Seri selalu habiskan masa dalam bilik.”

Adi sudah buntu. Atau benarkah mimpinya tempoh hari? Seri sudah tidak mahukannya. Sudah tidak cintakannya.

*****************************************************************

“Adi!... Adi!... Adi!”

Adi sudah tidak peduli. Laungan panggilan namanya tidak diendahkan. Dia tahu siapa empunya suara. Kalau Seri boleh buat dia begitu, kenapa tidak dia.

“Dah lama tunggu?”

Gadis ayu yang sedang duduk di bangku Adi hampiri. Dia perasan larian Seri terhenti bila terpandangkan dia menghampiri Ayu. Adi hanya buat-buat tidak nampak pada wajah kecewa Seri. Dia mahu Seri rasa apa yang telah dia rasakan sebelum ini.

“Jom.”

Adi menarik lengan gadis itu. Sengaja mahu dilihat oleh Seri. Mereka berlalu meninggalkan Seri yang terkulat-kulat sendirian.

******************************************************************

Seri menangis semahu-mahunya. Hatinya hancur luluh melihat Adi dengan gadis lain tadi. Sampai hati Adi buat Seri begitu. Padahal Seri sudah setia pada Adi. Seri tidak pernah selingkuh. Seri sudah menjaga hati Adi. Lain pula jadinya kini.

Mereka bercinta sudah lama. Adi sudah dianggap anak sendiri oleh orang tuanya. Bukan itu saja. Adi juga dibwa pulang ke kampung untuk berjumpa dengan datuk dan nenek. Pendek kata, semua hali kelaurganya sudah kenal Adi. Sebelah mak dan sebelah abah. Semua kenal Adi. Cuma tunggu masa habis belajar saja untuk satukan mereka.

Takkan itupun Adi tidak boleh sabar. Ataupun Adi sudah bosan dengan dia? Seri sedar. Dia bukanlah seperti gadis-gadis lain yang gemar bersosial. Pakaian Seri juga seperti gadis kampung. Sentiasa berbaju kurung. Nama Seri juga klasik. Kesimpulannya, Seri memang membosankan.

Dia dan gadis tadi seperti langit dan bumi. Memang mereka jauh berbeza. Seri seperti gadis kampung tidak seperti gadis tadi. Mungkin benar tekaan Seri. Adi sudah bosan dengannya.

******************************************************************

“Seri minta maaf sebab Seri terpaksa ajak Adi keluar waktu-waktu macam ni.”

Seri menguis-nguis rumput di kaki. Tiba-iba dia rasa janggal bertemu Adi. Padahal sebelum ini setiap kali bercanda dengan Adi, ada saja yang mahu diceritakan. Dia selesa dengan Adi.

“Ada apa Seri nak jumpa dengan Adi? Adi ada banyak hal lagi ni. Nanti kalau girlfriend Adi nampak kita keluar berdua, mesti dia merajuk nanti.”

Seri mengetap bibir. Adi sudah tidak segan silu bercerita tentang teman wanitanya yang baru pada Seri. Kalau saling mencintai, seharusnya saling mempercayai. Yakinlah pada pasangan yang mereka akan setia. Seperti rasa dia pada Adi. Tiba-tiba Seri rasa sayu memikirkan tentang hubungan mereka yang hanya separuh jalan.

“Seri… Seri… Seri nak minta maaf dengan Adi kalau Seri dah buat salah pada Adi.” Adi mendengus. Ada tawa sinis yang terbit dari bibir Adi.

“Baru sekarang Seri datang pada Adi? Tak payahlah Seri. Seri dah terlambat.”

Seri mula menangis. Adi menggelabah bila melihat Seri yang mula mengongoi. Seri menangis macam budak-budak. Nampak comel. Tetapi tangis Seri mengundang mata-mata merenung tajam kearah mereka.

Adi segera menghampiri Seri. Tubuh Seri ditarik ke dalam pelukannya. Seri perlu ditenangkan. Bukan dia sengaja mahu menyakiti Seri. Dia juga punya hati. Hati yang telah Seri sakiti.

“Seri tak tahu apa yang buat Adi jadi macam ni. Seri sedih bila Adi ada girlfriend lain. Apa kurangnya Seri? Seri tahu Seri nampak macam budak kampung. Seri pakai baju kurung. Nama Seri klasik. Seri tak suka keluar. Tapi Adi dah lupa ke? Kita dah lama couple. Sejak sekolah lagi. Seri ingat Adi boleh terima Seri seadanya.”

Seri menangis lagi. Tetapi kali ini dalam pelukan Adi. Adi masih wangi seperti dulu. Adi masih hangat seperti dulu. Tetapi hati Adi sudah jadi milik orang lain. Seri sayu lagi.

“Seri dah lupa apa yang Seri dah buat pada Adi sebelum ni?”

Tangis Seri terhenti. Dia bingung dengan tuduhan Adi kali ini. Pantas Seri menggeleng.

“Seri dah abaikan Adi. Seri banyak habiskan masa dengan geng kawad tu. Bila Adi ajak Seri keluar, Seri tak nak. Seri cakap banyak kerja. Bila Adi siasat, tak ada pun. Adi tahu, Seri dah ada orang lain dalam hati Seri. Sebab tu Seri mula abaikan Adi. Adi sedih, Seri. Sebab tu Adi cari orang lain.”

Seri sapu airmata. Kalau sebab itu, Seri harus terangkan pada Adi.

“Seri mengaku memang ada orang lain dalam hati Seri.” Hati Adi hancur luluh mendengar pengakuan Seri. Nampaknya hubungan cinta mereka hanya sampai di situ saja.

“Tapi bukan siapa-siapa. Pelakon-pelakon Korea. Kawan-kawan Seri yang suruh Seri tengok drama korea. Tapi tak sangka Seri ketagih. Seri tak boleh nak tinggal. Episod setiap drama bukannya pendek. Panjang. Sebab tu bila Adi ajak keluar Seri tak nak. Seri nak habiskan semua cerita tu. Itu saja. Mana ada Seri ada orang lain. Kalau tak percaya, tanya mak. Seri memang selalu ada dalam bilik. Tengok drama Korea.”

Panjang lebar Seri menerangkan. Dia tidak mahu Adi salah sangka lagi. Adi menggaru-garu kepala yang tidak gatal. Salah dia kerana tidak bertanya pada Seri lebih detail selama ini.

“Seri balik dulu.”

******************************************************************

Adi menggenggam sejambak mawar putih di tangan. Dia mahu memujuk Seri untuk kembali padanya semula. Dia dengan Ayu bukanlah siapa-siapa. Ayu bersetuju mahu membantunya tempoh hari. Dia cukup berterima kasih pada Ayu selama ini.

Pintu bilik Seri diketuk perlahan. Berdebar-debar dada Adi menanti pintu dibuka. Bersama itu Adi mengira.

“1, 2, 3… I miss you.” Serentak dengan pintu dibuka dan serentak mawar putih ditangan dihulurkan pada Seri.




“Adi minta maaf, Seri. Adi yang salah selama ini kerana Adi dah salah faham pada Seri. Ayu bukan siapa-siapa. Dia yang bantu Adi untuk buat Seri cemburu.”

Seri tergamam. Lambat-lambat bibir Seri mengukir senyuman. Lambat-lambat juga Seri merangkul tubuh Adi.

“I miss you, too. Jangan tinggalkan Seri lagi.”

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...